Semasa masih dalam penjajahan, negeri Sabah dikenali dengan nama Borneo Utara atau 'North Borneo;' meminggirkan tradisi nama masyarakat asal digantikan dengan istilah yang lebih mesra penjajah.

Penubuhan Persekutuan Malaysia pada tahun 1963, membolehkan negeri Borneo Utara mengalami perubahan ke atas namanya secara rasmi, mula diistilahkan sebagai Sabah. Banyak pendapat menyokong usaha ini kerana frasa 'Sabah' mengembalikan semula tradisi lama masyarakat dan penduduk berbilang bangsa di situ.

Bagaimanapun sekiranya diajukan soalan - apakah asal-usul nama Sabah, tidak ramai yang dapat menjawabnya dengan tepat.

Anda orang Sabah? Tahukah anda dari manakah datangnya nama Sabah?

Kelahiran nama 'Borneo Utara'

peta borneo utara

Sebelum kami mulakan perlu diperjelaskan artikel ini tidak membincangkan topik bagaimana Sabah boleh terkeluar daripada jajahan Kesultanan Brunei sehingga menjadi sebuah wilayah bebas, kerana kami ingin cuba memfokuskan pada asal-usul nama Sabah. OK?

Penubuhan North Borneo Chartered Company atau Syarikat Berpiagam Borneo Utara oleh British pada tahun 1879, menubuhkan apa yang dikenali sebagai Borneo Utara di kawasan tersebut; lengkap dengan bendera sendiri dan jata negeri.

Perubahan ini menyebabkan penduduk kawasan itu mula dirujuk sebagai orang Borneo Utara. Apa nama mereka sebelum itu?

Banyak pendapat serta kajian menunjukkan istilah 'Sabah' sebenarnya sudah wujud sebelum Borneo Utara ditubuhkan, mempunyai asal-usul panjang yang berkait dengan hubungan masyarakat mereka dan kesultanan Melayu Brunei.

Salah satu peristiwa bersejarah yang membuktikan nama 'Sabah' sudah wujud lebih awal melibatkan tindakan Sultan Abdul Mumin, salah seorang pemerintah Brunei yang ketika itu melakukan tuntutan ke atas jajahannya sekitar tahun 1877.

Beliau menabalkan Baron Gustave von Overbeck, seorang ahli perniagaan dari Jerman  yang hadir ke situ dalam ekspedisi meluaskan pengaruh ekonomi dengan gelaran 'Maharaja Sabak', dengan harapan Overbeck akan membantunya kembali menguasai jajahan. 

Bunyi 'Sabak' terhasil daripada sistem tulisan jawi yang digunakan masyarakat Melayu ketika itu, namun ejaannya ditulis 'Sabah' oleh pihak Inggeris semasa perlantikan rasminya apabila Overbeck ditabalkan sebagai 'Maharajah of Sabah'.

Semua ini berlaku sebelum penubuhan kerajaan Borneo Utara lagi, menunjukkan ada susur galurnya mengapa Sultan Abdul Mumin menggunakan gelaran itu bagi menabalkan Overbeck.

Pengaruh bahasa Melayu Brunei dalam pembentukan nama Sabah

gunung kinabalu asal usul nama sabah

Wujud pelbagai jenis pendapat yang cuba menjelaskan asal-usul dari mana datangnya nama Sabah. Ada pendapat menyebut nama Sabah bererti 'seberang' dalam bahasa Melayu Brunei, ada juga yang berpendapat istilah itu dipinjam daripada kaum Dusun.

Malahan ada juga yang menyamakan istilah 'Sabah' mendapat inspirasi daripada nama negeri kuno kaum Saba atau Sheba, yang menjadi salah satu kerajaan yang disebutkan dalam kitab al-Quran.

Dalam tulisan seorang pengkaji sejarah British bernama Allen R. Maxwell - beliau menyifatkan nama 'Sabah' sebenarnya merujuk kepada kedudukan kawasan itu sendiri dengan Brunei.

Menurut kajian Maxwell, istilah 'saba' sebenarnya membawa makna terletak di hulu sungai berdasarkan kepada bahasa orang Kedayan Brunei, yang juga merupakan suku etnik terbesar masyarakat Brunei.

Berdasarkan pemerhatiannya, Maxwell menyifatkan kedudukan Sabah memang menepati kedudukannya dengan Bandar Seri Begawan, di mana Sungai Brunei menghubungkan kedua-duanya.

Oleh kerana itu, Sultan-Sultan Brunei sebelumnya menamakan kawasan itu sebagai 'Saba' berdasarkan kepada orientasi pusat pemerintahan kerajaan mereka dengan Sabah, duduk di seberang Bandar Seri Begawan.

Penggunaan nama Saba ini tidak terhad kepada pemerintahan, malahan istilah kemudiannya turut digunakan penduduk setempat sebelum kedatangan penjajah. ketika era di mana tiada garisan sempadan diwujudkan, hanya berpandukan kepada di mana lokasinya.

Mulanya digunakan hanya sebagai penunjuk arah, akhirnya istilah Saba melekat di kalangan penduduk setempat, sebelum kedatangan penjajah menubuhkan Borneo Utara.

Perubahan besar semasa era Maharajah of Sabah

surat perjanjian sultan brunei overbeck

Atas sebab itulah Sultan Abdul Mumin melantik von Overbeck dengan gelaran Maharaja Sabak atau Maharaja Saba, sebelum pihak Inggeris menukarkan ejaan rasminya kepada Sabah berdasarkan kepada cara sebutan mereka.

Walaupun dinamakan sebagai Borneo Utara atau North Borneo secara rasmi, nama 'Sabah' dan variasinya masih terus digunakan ketika fasa awal penubuhan pemerintahan baru di situ.

Tindakan pegawai-pegawai British yang seakan selesa terus menggunakan nama Sabah, mengakibatkan kerajaan British mengeluarkan arahan agar amalan itu dihentikan. Hanya nama Borneo Utara atau North Borneo diiktiraf dalam semua urusan, baik urusan rasmi atau urusan harian.

Britain juga betindak mengeluarkan kenyataan rasmi dalam memastikan semua pihak mengiktiraf nama baru Borneo Utara yang formal, dinamakan semula sebagai 'British North Borneo' atau 'Borneo Utara British.'

Hampir berbelas tahun lamanya juga fasa perubahan ini dijalankan. Akhirnya penggunaan nama Sabah berjaya dihentikan dalam semua urusan rasmi, digantikan dengan nama barunya.

Semasa era kedatangan Jepun ke Asia Tenggara, Jepun memilih untuk mengekalkan nama 'Kita Boruneo' atau 'Borneo Utara' bagi merujuk negeri tersebut.

Tetapi istilah 'Sabah' atau 'Saba' tidak pernah hilang dari minda masyarakat tempatan yang tahu asal-usul mereka, memelihara nama yang telah mereka warisi walaupun berdepan tekanan pemerintah yang mahu memadamkannya.

Tidak menghairankanlah nama 'Sabah' diangkat semula semasa Sabah menyertai Persekutuan Malaysia pada tahun 1963 berdasarkan sejarahnya. Pertukaran ini diterima baik warga tempatan yang senang melihat identiti warisan mereka kembali diperkasakan.

Rujukan

THE ORIGIN OF 'SABAH' AND A REAPPRAISAL OF OVERBECK AS MAHARAJAH



Hakcipta iluminasi.com (2017)