duterte tuntutan sabah filipina

Hubungan negara kita dengan negara-negara jiran kita jarang sekali berbaur dengan kontroversi panjang - kecuali keakraban negara kita dengan Filipina.

Kedua-dua negara sudah berdekad-dekad lamanya terpalit dengan isu tuntutan Sabah oleh kerajaan Filipina, yang nampaknya langsung belum nampak tanda ada jalan penyelesaian. Sebagai rakyat Malaysia, kita sudah tentulah akan memihak kepada negara kita dalam mempertahankan kedaulatan tanahair kita.

Bagaimanapun dari perspektif Filipina, kenapa mereka merasakan mempunyai hak untuk menuntut Sabah daripada Malaysia? Jom kita rungkai topik yang tak pernah reda ini.

Biro Borneo Utara mahu digerakkan semula

menteri luar filipina biro borneo utara

Isu tuntutan Sabah oleh kerajaan Filipina kembali disebut secara besar-besaran selepas Menteri Luar Filipina, Teodoro Locsin Jr. memilih untuk membangkitkan kembali gerakan yang dinamakan sebagai 'Biro Borneo Utara' (North Borneo Bureau) semasa sesi pembentangan bajet Kementerian Luar Filipina pada 15 September 2020.

Punca utama isu ini kembali menjadi hangat adalah disebabkan satu insiden yang berlaku dalam media sosial, pada bulan Julai tahun 2020 oleh akaun rasmi kedutaan Amerika Syarikat di Filipina; yang menyebut bahawa Sabah adalah sebahagian daripada Malaysia.

Kenyataan itu dilihat wakil kerajaan Filipina sebagai satu penghinaan ke atas tuntutan negara mereka selama ini ke atas Sabah, apatah lagi selepas 'kesilapan' itu dilakukan salah satu pihak sekutu terkuat mereka selama ini.

Insiden yang mungkin kelihatan kecil pada mata kita, mendapat reaksi besar-besaran netizen negara Filipina yang mengkritik pandangan tersebut seterusnya memulakan perang siber antara warga Filipina dan Malaysia.

Bimbang melihat masyarakat antarabangsa seakan tidak lagi menghiraukan tuntutan mereka, Kementerian Luar Filipina secara rasmi mahu agar kerajaan Filipina kembali serius menangani isu Sabah dengan lebih tegas.

Isu tuntutan kembali dibuka di peringkat antarabangsa

peta borneo utara british north borneo

Selepas hangat di media sosial dan Filipina kembali memainkan bunyi-bunyi tuntutan, Malaysia akhirnya mengambil langkah drastik menghantar kenyataan ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu pada 29 Ogos 2020, menafikan wujudnya hak Filipina ke atas Sabah seperti yang didakwa.

Pandangan Malaysia selari dengan keputusan yang dibuat oleh Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) pada tahun 2001 (pautan PDF), yang secara jelas memihak kepada Malaysia dalam isu berkenaan pemilikan Sabah.

Namun ada juga pihak melihat isu tuntutan ini kembali ditimbulkan disebabkan oleh beberapa faktor politik semasa dan ahli politik hanya mengambil kesempatan memainkan sentimen setempat, ekoran pilihanraya Filipina yang dijadualkan pada awal tahun 2022.

Sentimen tuntutan ke atas Sabah ini dipercayai sengaja dimainkan semula oleh sesetengah pemimpin Filipina dalam memastikan agar memastikan sokongan pengundi dapat ditagih, tanpa menjejaskan reputasi ahli politik kerajaan yang perlu dilihat tetap teguh dengan tuntutan.

Bagaimanapun banyak penganalisis politik percaya permainan tarik tali antara kedua-dua negara dilihat akan terus berterusan saling melakukan provokasi, tanpa benar-benar menjejaskan hubungan diplomatik antara kedua-dua negara demi keamanan serantau.

Kiranya, ramai percaya isu tuntutan ke atas Sabah ini hanyalah retorik yang perlu dimainkan kerajaan Filipina dalam menjaga air muka mereka, kerana secara undang-undangnya jelas dan terang Filipina tidak mempunyai asas untuk melakukan tuntutan.

Kenapa Filipina rasa mereka layak menuntut?

british north borneo chartered company

Persoalan utamanya di sini, jika ICJ dan PBB sendiri tidak pernah mengiktiraf tuntutan Filipina ke atas Sabah sebagai satu perkara yang ada asas - apa hujah Filipina terus berkeras melakukan tuntutan, sehingga mahu menggerakkan semula Biro Borneo Utara pada tahun 2020?

Puncanya bermula semasa era Kesultanan Sulu yang didakwa memajakkan Borneo Utara (Sabah ketika itu) kepada sebuah syarikat British bernama British North Borneo Chartered Company (NBCC), yang bernaung di bawah sistem kolonial Britain pada tahun 1878.

Bagi Filipina, penyerahan Borneo Utara kepada syarikat tersebut hanyalah satu bentuk pinjaman sementara bukanlah penyerahan penuh yang sepatutnya memerlukan Borneo Utara dikembalikan semula kepada Kesulatanan Sulu.

Perjanjian berbentuk dokumen geran ditandatangani Sultan Jamal al Alam, Sultan Sulu ketika itu dengan wakil NBCC, Baron van Overbeck dan Alfred Dent didakwa secara jelas hanya 'memajak' Borneo Utara kepada NBCC - membenarkan NBCC mentadbir Borneo Utara atas perkenan dan keizinan Kesultanan Sulu.

Kerajaan Filipina kini diiktiraf pewaris kepada kerajaan Kesultanan Sulu yang sah, menyebabkan Borneo Utara atau Sabah sepatutnya dipulangkan semula kepada mereka oleh British beberapa dekad lalu.

Semasa berlakunya transisi pertukaran kesemua hak milikan kendalian NBCC yang diambil alih secara rasmi oleh kerajaan Britain pada tahun 1946, kerajaan kolonial Britain dikatakan hanya mendapatkan hak milik sementara yang dipersetujui oleh Kesultanan Sulu ke atas Borneo Utara, berdasarkan kepada perjanjian tahun 1878.

Kerajaan Filipina pewaris hakmilik Kesultanan Sulu namun..

puncak kinabalu filipina sabah tuntutan

Tuntutan Kesultanan Sulu ke atas Borneo Utara sebenarnya sudah dimulakan selepas era pemerintahan Sultan Jamalul Kiram yang berakhir pada tahun 1936 oleh pihak warisnya, namun tindakan British mengisytiharkan pemilikan mutlak mereka ke atas Borneo Utara tanpa mahu berunding merumitkan isu ini.

Pada tahun 1957, Sultan Ismail Kiram, pewaris Kesultanan Sulu mengisytiharkan pembatalan perjanjian antara NBCC dan kerajaan Sulu yang telah termeterai, memulakan tuntutan rasmi ke atas Borneo Utara diperingkat antarabangsa.

Deklarasi pembatalan perjanjian itu dihantar 3 pihak iaitu PBB, kerajaan Britain dan wakil NBCC di Jesselton (Kota Kinabalu sekarang) bagi membolehkan proses tuntutan mereka dimulakan ke atas Britain yang dikatakan merampas Sabah lalu menyerahkannya kepada kuasa lain.

Perjanjian Manila tahun 1963 antara kerajaan Malaya (ketika itu), Indonesia dan Filipina bagi membincangkan isu referendum rakyat Borneo Utara atau Sabah yang memilih untuk membentuk sebuah persekutuan bersama negeri Tanah Melayu, cuba dicabar keputusannya oleh Filipina sebagai tidak sah.

Sabah selamat menyertai Persekutuan Malaysia pada bulan September tahun sama, mengakibatkan Filipina memutuskan terus hubungan diplomatik dengan negara kita yang baru terbentuk; kerana mereka benar-benar percaya Sabah milik mereka.

Hubungan Malaysia dan Filipina kekal dingin walaupun kedua-duanya saling berdamai dan hanya pada tahun 1989, hubungan diplomatik antara kedua-dua negara terbentuk secara rasmi.

Namun bagi Filipina, pendirian mereka kekal - tuntutan ke atas Sabah akan tetap diteruskan dan Malaysia janganlah menganggap isu ini telah selesai.



Hakcipta iluminasi.com (2017)