Oleh pada 01 Jan 2023 kategori

Frasa 'G.O.A.T' atau 'greatest of all time' kerap dipopularkan masyarakat dunia, ketika membincangkan tentang seseorang atau sesuatu yang layak dikata terbaik, sepanjang zaman.

Malangnya frasa yang sebenarnya hanyalah satu slanga, mampu menimbulkan polemik masyarakat khususnya berkait dengan perbincangan kita tentang siapa yang 'benar-benar' layak digelarkannya.

Lebih memburukkan situasi ada pihak mula mengaitkan frasa ini dengan kepercayaan agama, menyumbang kepada lebih banyak perbalahan. Persoalannya, siapakah yang memulakan slanga ini dan benarkah dakwaan yang terpalit padanya?

GOAT = Kambing?

goat greatest of all time

Penggunaan istilah dalam aspek bahasa haruslah dilihat sebagai satu perbuatan biasa; jelas hanya merujuk kepada seseorang atau sesuatu yang layak dinobatkan terbaik antara semua.

Selain individu seperti artis, ahli sukan atau pemuzik, karya-karya seni dan sastera juga dilabelkan dengan label 'terbaik' ini walaupun penamaannya akan dipertikaikan.

Untuk membincangkan kenapa haiwan kambing atau 'goat' sering dikaitkan dengan label ini - kita perlu melihat semula apa kaitannya kambing dengan sukan. Ya, jangan terkejut memang ada kaitannya!

Istilah 'goat' yang asalnya merujuk kepada kambing, memang telah mula digunakan dalam sukan besbol sekitar awal abad ke 20 bagi melabelkan pemain yang kerap melakukan kesilapan dan menjadi punca pasukannya tewas. 

Penggunaan istilah dengan makna berbeza ini kekal dalam sukan sebagai satu slanga sindiran, merujuk kepada pemain lemah.

Dalam masa yang sama, media barat sudah mula merujuk atlet handalan dengan label 'greatest of all time'.

Sebagai contoh, majalah Vanity Fair pada tahun 1924 telah menamakan pemain tenis Britain, Laurence Doherty pemenang 6 kejuaraan Grand Slam dan dua pingat emas Olimpik dengan label tersebut.

Walau bagaimanapun, dalam era ini belum ada hubungan di antara goat dengan istilah greatest of all time.

Benarkah 'goat' ada kaitan dengan agama? 

scapegoat kepercayaan yahudi scapegoot

Sekiranya ada pihak menyatakan wujud hubungan istilah goat dengan kepercayaan agama, mereka sebenarnya tersilap. Namun dalam masa yang sama dakwaan mereka itu ada kebenarannya tetapi tersasar.

Dalam kajian bahasa, ada pihak berpendapat istilah goat yang diguna bagi merujuk pemain lemah dalam pasukan seperti yang kami sebutkan di atas, berasal daripada singkatan istilah scapegoat; kita tahu merujuk kepada seseorang yang tidak bersalah, tetapi terpaksa berdepan hukuman atas kesalahan yang dia tak lakukan.

Istilah 'scapegoat' dibentuk daripada kepercayaan masyarakat Yahudi berkenaan upacara mengorbankan kambing bagi menyucikan dosa pemiliknya.

Dalam kepercayaan Yahudi lama ini, seorang pendosa perlu melakukan korban dua ekor kambing; seekor untuk Tuhan dan seekor lagi untuk syaitan Azazel yang dipercayai tinggal di kawasan gurun.

Kambing-kambing ini digelarkan 'scapegoote' yang membawa makna 'kambing yang melepaskan' dan istilah scapegoat kekal diguna dalam bahasa Inggeris sehingga sekarang.

Secara etimologinya itu adalah kisahnya, tetapi ada juga pendapat mengatakan hubungan di antara scapegoat dan terma goat bagi merujuk pemain lemah dalam sukan, tidak berkait antara satu sama lain. 

Terma goat kekal diamal tanpa berlaku sebarang perubahan makna dalam konteks sukan. Dalam masa yang sama, istilah 'greatest of all time' dan penggunaannya dalam sukan untuk beberapa dekad selepas itu berkembang perlahan, walaupun diamalkan.

Populariti istilah ini mula popular selepas seorang peninju legenda mula menggunakannya dalam karier beliau secara rasmi.

Muhammad Ali - peninju 'the greatest of all time'

muhammad ali boxer petinju goat

Allahyarham Muhammad Ali atau nama kelahirannya Cassius Clay merupakan peninju yang cukup terkenal bukan saja dalam sejarah sukan tinju, bahkan sejarah sukan dunia keseluruhannya.

Terkenal dengan kelincahan dalam gelanggang, Ali juga dikenali dengan ego dan pesona perwatakannya luar gelanggang. Keyakinan Ali terhadap diri sendiri sukar digugat dan Ali tidak segan untuk menamakan dirinya sebagai 'the greatest of all time' apabila ditemuramah wartawan.

Dalam satu temuramah bersama majalah Harvard Crimson pada tahun 1971, Ali bercerita tentang pengalamannya ketika berusia 11 tahun. Dia nekad menjadi seorang peninju selepas mendapat inspirasi daripada liputan radio perlawanan melibatkan peninju Rocky Marciano, yang menang dan bergelar juara dunia.

Suasana yang didengari Ali dalam radio menanam azam untuk beliau menjadi peninju terbaik dunia sepanjang zaman sebagai cita-cita utama, dalam ayatnya sendiri "I wanted to be the world's greatest fighter at 11-years-old... I wanted to be the greatest of all time."

Istilah itu sering disebutkan Ali sebagai satu slogan sepanjang kerjayanya bertinju apabila bercakap tentang dirinya, sehinggalah diabadikan secara rasmi oleh isterinya Lonnie Ali sebagai nama syarikat yang menguruskan bidang komersial karier suaminya.

'G.O.A.T. Inc' ditubuhkan mereka berdua pada tahun 1992, dengan Lonnie bertindak sebagai pengurus syarikat menyelia kesemua hal ehwal perjalanan syarikat mereka.

Mula memecah masuk budaya popular

album ll cool j goat

Inspirasi pengaruh Muhammad Ali dan 'slogannya' mula menelusuri industri muzik kulit hitam.

Duo kumpulan hip-hop De La Soul mempopularkan kepada orang ramai sebutan 'GOAT' yang disebut terus dan masih merujuk kepada ungkapan asal greatest of all time dalam sebuah album mereka terbitan tahun 1993.

Pada tahun 2000, penyanyi hip hop LL Cool J menerbitkan album yang diberikan judul G.O.A.T. (Greatest of All Time), yang dinamakan sempena petinju legenda itu.

LL Cool J mengakui sendiri dalam temuramah bersama majalah Rolling Stone, Muhammad Ali merupakan antara figura dan ikon yang dihormati di kalangan artis hip-hop dan rap moden kerana personaliti dan sumbangannya di luar gelanggang, banyak membentuk mentaliti artis genre tersebut melihat kemampuan diri sendiri.

Majoriti penyelidik bersetuju tahun 2004 adalah detik bermulanya peralihan di mana penutur bahasa Inggeris mula menerima istilah ini bagi merujuk kepada legenda sepanjang zaman dan tidak lagi menyamakan 'goat' dengan pemain paling lemah dalam pasukan.

Sebutan 'goat' dipopularkan oleh media sukan di Amerika Syarikat, sehinggakan kita pun terikut-ikut menyebut sama slanga 'goat' merujuk atlet, individu atau karya yang dianggap tidak ada tolok bandingnya. 

Kini goat boleh merujuk kepada haiwan atau individu terbaik sepanjang zaman, samalah seperti kita di mana kita juga merujuk kambing bukan saja kepada sejenis haiwan malahan kepada individu yang susah betul nak mandi dan membersihkan badan.

Rujukan

G.O.A.T. (Greatest of All Time)




Hakcipta iluminasi.com (2017)