Pada tahun 1812, di sebuah kampung bernama Courvray yang terletak di Perancis, Louis Braille sedang bermain di bengkel ayahnya Simon, seorang pembuat tali pengawal kuda. Ayahnya terkenal sebagai seorang tukang kulit yang teliti dan hari-harinya dipenuhi aktiviti perusahaan memotong kulit dengan peralatan tajam, untuk dijadikan tali.
Louis yang lahir pada 4 Januari 1809, pada ketika insiden yang membutakan matanya baru berusia 3 tahun. Simon telah pergi berbincang dengan seorang pelanggan meninggalkan Louis sendirian di dalam bengkel. Louis mengambil salah satu alat yang ada kemudian cuba meniru lagak ayahnya yang disaksikan setiap hari.
BESARKAN TEKS A- A+
Peralatan tajam untuk membuat lubang pada kulit yang digunakan ayahnya terlepas dari tangannya, tercampak mengenai mata kirinya.
Dicucuk peralatan tersebut dengan darah mengalir keluar, Louis cepat-cepat dibantu ibu dan ayahnya serta adik beradiknya. Sebelah matanya yang berdarah dibalut dengan kain namun malangnya, kawasan mereka tiada kemudahan hospital berdekatan.
Ibu bapa Louis membawa Louis menemui seorang pengamal perubatan tradisional yang membalut mata Louis dengan kain yang sudah direndam dengan herba. Bagaimanapun, jangkitan kuman mula merebak di mata kirinya sebelum beberapa minggu kemudian, bkuman mula merebak pada mata kanannya.
Walaupun berjaya dirawat, jangkitan kuman pada mata Louis sudah merosakkan matanya. Bagi seorang kanak-kanak yang tidak memahami, dia tertanya-tanya kenapa semakin lama hari dia dapati semakin gelap sebelum satu hari, dia buta sepenuhnya. Louis berumur 5 tahun ketika itu.
Menyambung pelajaran
Bagi meneruskan hidup, Simon memberikan Louis sebatang tongkat untuk berjalan. Pendidikan memang menjadi satu perkara penting dalam keluarga mereka, jadi ibu bapa Louis tetap berusaha memasukkan Louis ke sekolah walaupun tidak ada sekolah khas untuk individu buta.
Setiap hari Louis ke sekolah dengan bantuan kawan-kawannya yang memimpinnya dan di dalam kelas, dia belajar dengan mendengar suara gurunya.
Louis belajar untuk beberapa tahun di sekolah biasa sebelum seorang paderi yang keluarganya kenali, memujuk ibu bapa Louis menghantar dia ke Royal Institute of Blind Youth. Permohonan Louis untuk belajar diterima walaupun berat hati ibu bapanya melepaskan dia tinggal di Paris, yang terletak agak jauh dengan usia Louis yang ketika itu baru 10 tahun. Pada bulan Februari 1819, Louis mula bersekolah dan tinggal di asrama yang uzur, namun pendidikan yang diterimanya kini lebih sesuai dengan keadaannya yang tidak mampu melihat.
Perasaan ingin tahunya dikuatkan lagi, namun buku untuk individu cacat penglihatan amat sukar didapati. Buku untuk mereka pada ketika itu mencetak huruf rumi yang timbul pada kertas yang tebal, membuatkan setiap buku tebal dan berat. Mmenyukarkan seorang remaja seperti Louis membacanya. Satu muka surat hanya boleh memuatkan satu ayat, menjadikan proses membaca memerlukan masa yang panjang dan perlahan.
Bertemu Charles Barbier
Lawatan seorang pesara tentera bernama Charles Barbier menjadi detik penting dalam hidup Louis.
Charles yang datang melawat Institut mereka menceritakan tentang teknik tulisan yang diciptanya bagi membolehkan tentera membaca ketika malam hari, agar mereka tidak perlu menyalakan lampu atau membuat bunyi yang boleh menyebabkan mereka dikesan musuh.
Menggunakan alat khas, Charles akan mengetuk bulatan-bulatan dan simbol-simbol pada kertas yang tebal untuk membina ayat bagi menghasilkan perkataan dalam sistem yang dinamakan sebagai 'night writing' atau tulisan malam. Namun pihak askar mendapati agak sukar untuk mereka menggunakan teknik itu. Jadi Charles ke Royal Institute of Blind Youth untuk berkongsi ideanya, kerana dia nampak penggunaannya pada individu yang tidak mampu melihat.
Idea Charles itu cuba diajarkan kepada pelajar-pelajar di Institut, termasuklah Louis namun mereka berpendapat sistem 'night writing' yang digunakan oleh Charles agak sukar untuk dihasilkan malahan dibaca. Bagaimanapun, Louis nampak faedah sistem yang Charles bawa pada mereka. Ruang yang digunakan untuk mencetak kod pada kertas lebih kecil berbanding mencetak huruf-huruf rumi jadi satu muka surat mampu menempatkan lebih banyak ayat.
Selama 3 tahun Louis berusaha untuk memperbaiki sistem 'night writing' - dia tahu dia perlu memudahkan sistem itu. Dengan menggunakan alatan khas hampir serupa dengan alat ayahnya yang mencederakan matanya, Louis mula membina semula sistem kod yang digunakan, menggantikannya dengan cara tulisan kod yang baru dengan penambahan nombor dan tanda baca. Pada umur 15 tahun, Louis sedar sistem yang direkanya sudah mampu membuatkannya membaca lebih pantas.
Sistem Louis hanya menggunakan enam bulatan yang diaturkan dalam dua kolum. Dia meletakkan setiap kod pada setiap corak yang mampu dihasilkan dengan sistemnya dan berjaya mencipta 64 kod. Setiap satu corak dipadankan kepada satu jenis simbol sama ada huruf, tanda baca atau nombor
Ujian penggunaan pertama sistem Louis Braille
Sebelum dibenarkan untuk diperkenalkan pada pelajar-pelajar lain, Louis diminta untuk mempersembahkan sistem ciptaannya pada pengarah Institut tempat dia belajar. Dibacakan beberapa ayat daripada satu artikel oleh pengarahnya,
Louis menyalin semula ayat yang dibacakan. Dia kemudiannya diminta membaca semula apa yang telah dibacakan dan hasilnya, sistem tulisan yang dicipta beliau berjaya membolehkan dia membaca ayat tersebut semula.
Gembira dengan hasil ini, pelajar-pelajar di Royal Institute of Blind Youth diajar oleh Louis sistem yang telah dihasilkannya dan mereka mendapati sistem Louis jauh lebih mudah bagi mereka, kerana kini mereka bukan sahaja boleh membaca malahan mereka juga mampu menulis sendiri menggunakan alat seperti Louis.
Atas kebolehannya, Louis dilantik sebagai guru pembantu bagi mengajar sistem tersebut kepada pelajar di situ. Cita-cita Louis tidak sampai di situ sahaja kerana dia mahu semua orang buta boleh membaca. Melalui Institutnya, Louis melakukan permohonan kepada kerajaan Perancis untuk menjadikan sistem beliau sebagai sistem rasmi bacaan dan tulisan untuk orang buta namun tidak ada maklum balas diterima.
Louis mengumpulkan hasil kajian dan ciptaannya, lalu menerbitkan buku 'Method of Writing Words, Music, and Plain Songs by Means of Dots for Use by the Blind and Arranged for Them', pada tahun 1829 seiring dengan minatnya dalam muzik yang mendalam, dalam usaha membantu lebih banyak penerbitan buku menggunakan sistem beliau.
Pada 1839, Louis memperkembangkan lagi sistemnya dan memperkenalkan sistem decapoint, di mana tulisan yang ditulis oleh orang cacat penglihatan lebih mirip kepada huruf rumi, membolehkan orang yang mampu melihat membaca tulisan mereka. Melalui rakannya yang bernama Pierre Victor Foucault, mereka bekerjasama membangunkan mesin taip yang diberi nama 'raphigrapher' bagi memudahkan individu buta menaip menggunakan sistem decapoint.
Halangan terakhir
Sistem yang diperkenalkan oleh Louis bagaimanapun berdepan halangan di Institutnya sendiri, tempat dia mengajar. Selepas kematian pengarah yang telah menyokong hasilnya, seorang pengarah baru bernama PIerre Armand Dufau yang naik menjadi pengarah Royal Institute of Blind Youth pada tahun 1840 mengharamkan penggunaan sistem Louis di Institut mereka.
Tahap kesihatan Louis semakin menurun akibat penyakit tuberkulosis yang mengganggu beliau bekerja. Ketika berumur 40 tahun pada tahun 1849, atas tahap kesihatan yang semakin terganggu, dia mengumumkan persaraannya. Pada ketika itu, pengharaman sistem beliau masih berkuatkuasa.
Hanya pada 1854, Royal Institute of Blind Youth menarik balik larangan penggunaan sistem ciptaan Louis dan ini menyebabkan populariti tulisannya mula meningkat naik di seluruh Perancis. Mesin 'raphigrapher' yang dibangunkan berjaya dipamerkan dalam acara World's Fair sekaligus mempopularkan lagi sistem lengkap tulisan dan bacaan untuk individu cacat penglihatan ciptaan Louis.
Malang bagi Louis, dia meninggal lebih awal dua tahun sebelum melihat hasil susah payahnya selama ini diterima orang ramai. Dia meninggal di Paris selepas sengsara akibat sakit selama berbelas tahun pada 6 Januari 1852, 2 hari selepas ulang tahun kelahirannya yang ke 43. Kerajaan Perancis mula mengiktiraf sistem tulisannya dan menamakannya dengan nama 'Braille' sempena nama keluarganya. Bagaimanapun, sistem Braille lambat diguna pakai negara luar.
Hanya pada 1873 negara Eropah lain mula menggunakan sistem Braille dan berkembang ke serata dunia. Amerika Syarikat mula mengiktiraf Braille pada tahun 1916 dan kod Braille untuk Bahasa Inggeris dimuktamadkan pada tahun 1932.
Atas jasanya, abu badan Louis Braille kini disemadikan di dua tempat, di kampung halamannya Courvray, dengan rumahnya kini dijadikan Muzium dan di makam terhormat Pantheon, Paris sebagai menghargai jasa Louis, mencipta satu sistem tulisan Braille yang masih lagi menjadi format rasmi untuk individu cacat pengliharan membaca.