Beberapa tahun dahulu, penulis sempat berkenalan dengan seorang warga Maghribi yang bekerja di negara kita. Mendengar kisah dia, nyata membuatkan penulis terasa mahu menjelajah ke serata dunia seperti dia.

Ketika itu sedang hangat isu penggunaan kalimah 'Allah' melibatkan golongan Kristian serta penyekatan pengedaran buku Bible berbahasa Melayu ke Semenanjung Malaysia. Lupakan topik itu, kerana itu bukan topik tulisan ini.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Dalam salah satu sesi melepak kami di kedai makan, ada pertanyaan kami ajukan pada dia berkenaan isu tersebut dan jawapan dia agak membuka mata kami. Apa yang penting, dalam perbincangan itu - dia memperkenalkan kami kepada allahyarham Sheikh Ahmad Deedat dan juga protegenya ketika itu, Dr. Zakir Naik.

'Berkenalan ' dengan Doktor Zakir

zakir naik semasa muda

Penulis akui, pada zaman tersebut penulis agak kurang berminat mahu meneliti isu-isu agama yang disampaikan penceramah luar jadi penulis sudah biasa dengan cara penceramah tempatan, yang selalunya tidak dapat lari daripada kepompong politik menghantui isi ceramah mereka.

Hujah yang diberikan Dr. Zakir Naik berkenaan isu kalimah Allah yang hangat ketika itu sedikit sebanyak membuka mata penulis berkenaan cara penyampaian seseorang penceramah yang ada di Malaysia. Dr. Zakir sama seperti gurunya, kelihatan sangat berani menyentuh topik yang sensitif serta kebiasaannya dielak daripada dibincangkan berikutan takut ada pihak tersinggung.

Itu sesuatu yang segar serta membuka minda penulis. Wujud sebenarnya seorang penyampai ajaran Islam yang bersifat apolitikal serta tidak malu untuk menjawab persoalan demi persoalan secara terus-terang.

Jadi penulis menjadi peminat kepada siri ceramah beliau, menelaah habis-habisan segala sesi soal jawab khasnya melibatkan sesi yang diadakan di Malaysia dan Indonesia. Berbeza dengan gurunya, slanga yang digunakan Dr. Zakir juga lebih mudah difahami dan dia kerap kali berinteraksi dengan orang kebanyakan, melayan mana-mana pertanyaan sama ada yang remeh atau sekadar ditanya untuk menimbulkan kontroversi.

Era Zakir Naik memuncak di Malaysia

zakir naik bertemu wakil ppim

Kita lupakan soal politik - tetapi pada pendapat penulis tindakan kerajaan Malaysia membenarkan Dr. Zakir Naik menjadikan Malaysia sebagai tempat perlindungan selepas dia dikatakan diletak dalam senarai orang yang diburu kerajaan India, merupakan satu tindakan yang berani dan baik.

Berikutan tindakan itu, Dr. Zakir Naik menjadi lebih aktif di negara kita, menyampaikan syarahan serta ceramah disamping membantu merungkaikan banyak persoalan tentang agama. Sebagai pakar perbandingan agama yang aktif di sebuah negara majmuk di Malaysia, tak dapat dinafikan pengaruh Dr. Zakir akan berdepan penentangnya; khasnya mereka yang berketurunan India beragama Hindu.

Walaupun begitu, kerajaan Malaysia tetap memberikan sokongan pada beliau dengan pelbagai penganjuran sesi besar-besaran yang bukan sahaja melibatkan golongan Muslim malahan turut sama mendapat sambutan masyarakat Cina dan India; sehingga mencetuskan beberapa kontroversi.

Siapa boleh lupa pergaduhan mulut di antara penganut-penganut agama lain dengan beliau yang dilakukan secara terbuka atau bermacam soalan kontroversi yang ditanya, hanya untuk menjerat beliau.

Seronok penulis waktu itu tetapi bukanlah seronok melihat orang bertengkar. Era tersebut agak banyak video ceramah dan sesi soal jawab beliau dimuat naik menyebabkan banyak saja bahan baru untuk ditelaah.

Penamat kepada kebebasan dalam soal jawab agama

zakir naik memegang quran

Pertukaran kerajaan memang memberi kesan yang sangat nyata pada aktiviti beliau. Selain daripada kekangan yang dikenakan ke atas Dr. Zakir, beliau kini mula berdepan dengan kerajaan Malaysia yang tidak lagi membenarkan beliau berceramah tanpa ada garis panduannya.

Kenyataan Menteri Agama, Dr. Mujahid Yusof Rawa bahawa cara ceramah Dr. Zakir Naik tidak sesuai untuk diamalkan di Malaysia mendapat reaksi orang ramai - kerana Dr. Mujahid menyifatkan apa yang beliau lakukan menimbulkan provokasi masyarakat, khasnya masyarakat Hindu di negara kita.

Apa yang menghairankan, kenyataan Dr. Mujahid ini sama sekali bercanggah dengan kenyataan beliau pada tahun 2016, yang (ketika itu pembangkang) mendesak supaya kerajaan Malaysia berdiri di belakang Dr. Zakir Naik dalam kes kontroversi di antara beliau dan gerakan HINDRAF.

Dr. Mujahid juga memuji Dr. Zakir sebagai seorang yang berani bersuara menyatakan kebenaran, serta menjemput mana-mana pihak yang tidak berpuas hati untuk bangkit melawan hujah Dr. Zakir Naik dengan hujah sendiri - bukan dengan ugutan atau cercaan.

Dr. Zakir Naik dalam 'Malaysia Baru'

zakir naik dan mujahid

Tidak dapat penulis nafikan kaedah dakwah yang dilakukan Dr. Zakir Naik pasti akan menimbulkan kontroversi, bagaimanapun persoalan yang penting dan perlu dirungkai lebih dalam; adakah kaedah dakwah perbandingan agama itu menghina agama lain?

Setiap ceramah dan sesi soal jawab beliau yang melibatkan masyarakat di Malaysia, India dan Indonesia khasnya memberikan ruang bertanya yang jarang sekali diwujudkan kepada golongan bukan Muslim. Yang lebih lunak, kedatangan individu bukan Muslim ke situ bukanlah atas dasar paksaan malahan mereka menyertai kempen syarahan dan soal jawab beliau, atas kerelaan sendiri.

Sama ada mereka suka atau tidak apa yang dibentangkan, yang jelas ruang perbincangan secara dua hala serta terbuka disediakan bagi mereka yang mahu bertanya, memahami dan mungkin juga mahu berlawan hujah serta kata.

Penulis mengakui banyak sebenarnya persoalan-persoalan yang dilontarkan kepada Dr. Zakir Naik kadangkala sama seperti perkara yang umat Islam sendiri sering bertanyakan, namun takut tidak mahu dicop 'buta Islam.' Sesi soal jawab bersifat kritikal kepada agama lain diperjelaskan tanpa rasa takut akan menyinggung mana-mana pihak, kerana bagi Dr. Zakir - dia hanya bertanggungjawab menyampaikan apa yang dia tahu.

Penulis tahu desakan masyarakat khasnya penganut Hindu (yang seakan-akan kurang senang dengan beliau) perlu diambil kira, tetapi dalam zaman moden di mana pemikiran kita lebih mudah terdedah dengan pelbagai topik - persoalan dan rasa ingin tahu sudah pastilah akan muncul dalam minda sesiapa saja yang tertanya-tanya.

Tidakkah pihak kerajaan melihat 'kekangan' ke atas aktiviti Dr. Zakir Naik samalah seperti satu cubaan menyempitkan minda masyarakat daripada lebih berkembang? Dalam melahirkan minda yang kritis serta lebih berani menyampaikan buah fikiran - bukankah tindakan kerajaan menyekat Dr. Zakir Naik seakan satu langkah ke depan, tiga langkah ke belakang?

Seandainya ada pertanyaan berkenaan Islam yang agak sensitif ingin diajukan oleh golongan bukan Muslim - kepada siapa mereka akan bertanya? Yang lebih penting - adakah kerajaan Malaysia sedia menjawab soalan yang ditanya, dengan mementingkan fakta serta kebenaran; bukan dengan jawapan yang hanya untuk menyedapkan hati semua?




Hakcipta iluminasi.com (2017)