Kematian merupakan suatu perkara yang pasti akan berlaku kepada setiap makhluk yang hidup di atas muka bumi ini. Ia merupakan sesuatu perkara yang menyedihkan bagi setiap manusia yang masih hidup. Namun, terdapat sesuatu perkara pelik yang berlaku di sebuah negara kepulauan Hindi. Kematian tidak dianggap sebagai sesuatu yang memilukan tetapi ia merupakan suatu upacara yang harus diraikan di kalangan masyarakat tersebut. Sehingga sekarang budaya tersebut masih ada di kalangan penduduk Madagascar.
BESARKAN TEKS A- A+
Madagascar adalah sebuah pulau keempat terbesar di dunia. Dari sudut geografi, pulau ini terletak berhampiran dengan Afrika namun dari sudut sejarah,kebudayaan,adat dan kehidupan masyarakat adalah amat berbeza. Penduduk di sini mempunyai satu ritual pelik yang dikenali sebagai Famadihana iaitu upacara memperingati kematian. Upacara ini dilakukan dengan tujuan untuk mewujudkan rasa cinta dan memperingati ahli keluarga yang telah meninggal dunia.
Kewujudan dan amalan ritual
Famadihana telah wujud sejak abad ke 17 dan upacara ini cuma dilakukan antara bulan Jun dan September setiap 7 tahun sekali oleh orang-orang dari suku kaum Malagasi. Menjelang upacara Famadihana ini, para ahli keluarga dan sanak saudara sama ada yang jauh atau dekat akan berkumpul bersama untuk menyambutnya. Upacara itu juga merupakan satu peluang dan kesempatan untuk ahli keluarga berkumpul bersama. Ritual ini bakal menggamit kenangan dan memori setiap ahli keluarga bersama dengan si mati.
Setelah ahli keluarga berkumpul, mereka akan menggali setiap kubur ahli keluarga dan mengambil keluar bungkusan berisi mayat dari lubang kubur tersebut. Selepas mengeluarkan mayat tersebut, setiap keluarga akan berteriak gembira sambil mengangkat mayat di atas kepala mereka. Kenapa mereka bergembira?. Berdasarkan kepercayaan suku kaum Malagasi, orang yang telah meninggal dunia sebenarnya tidak mati sepenuhnya kerana semangat dan roh si mati dikatakan masih mampu untuk berkomunikasi dengan ahli keluarga yang masih hidup. Mayat yang dikeluarkan dari kubur tersebut akan digantikan dengan persalinan yang baru menggunakan kain sutera yang disiram dengan air anggur dan minyak wangi.
Mayat yang telah siap disalin akan diarak mengelilingi kampung dengan sorak gembira. Upacara tersebut bagaikan sebuah pesta dimana muzik akan dimainkan dan seluruh ahli keluarga dan penduduk mula menari bersama mayat. Mereka akan mengenang semula kebaikan dan kenangan saat bersama si mata sepanjang hayatnya. Setiap khabar berita keluarga juga disampaikan kepada si mati. Setelah puas melepaskan rindu kepada si mati, mayat tersebut akan ditanam semula ke kuburan masing-masing bersama iringan muzik sehingga terbenamnya matahari. Setelah mayat siap ditanam maka tamatlah upacara ritual tersebut dan mereka akan menunggu saat tibanya hari tersebut selama 7 tahun lagi.
Penyebab penyakit tular
Disebabkan ritual ini, ramai dikalangan penduduk tersebut dikhuatiri terkena wabak penyakit. Ia terjadi disebabkan oleh mereka yang menari bersama mayat yang dikhuatiri mempunyai bakteria Yersinia Pestis. Kes pertama wabak ini berlaku pada 23 Ogos 2017 apabila seorang lelaki berusia 31 tahun yang datang melawat Madagascar telah terkena gejala seperti malaria dan meninggal empat hari kemudian. Sejak kejadian tersebut berlaku, dilaporkan sebanyak 1,192 kes wabak telah direkodkan dan 124 orang telah meninggal dunia akibat penyakit itu yang berpunca dari ritual menari bersama mayat.