youtuber mengalami masalah depression depresi tekanan

Pada zaman sekarang, perkongsian tentang kejayaan karier seorang Youtuber seringkali dimuatnaik, memberikan kita inspirasi untuk berani mencuba sesuatu yang baru.

Insentif ganjaran kewangan tinggi serta populariti menjadi dua tarikan utama untuk seseorang cuba menjadi seorang Youtuber berjaya - apatah lagi status sebagai  seorang selebriti mini yang dijulang mempunyai pengaruh dalam masyarakat.

Kita melihat kehidupan seorang Youtuber  indah belaka, tetapi tahukah anda di sebalik semua paparan yang mampu membuatkan kita iri hati dengan kejayaan karier dan corak hidup seorang Youtuber - terselindung berjuta-juta kisah duka yang jarang ditampakkan kepada kita?

Usaha yang kadang kala sia-sia

youtube jumlah penonton rendah

Didorong oleh tarikan monetari dek perkongsian beberapa orang yang berjaya mendapatkan pendapatan ribuan ringgit bulanan, semakin ramai ahli masyarakat kita cuba memberanikan diri menjadi seorang hos saluran Youtube atau pencipta kandungan di belakang kamera; menerbitkan karya untuk tontonan secara percuma.

Namun majoriti daripada karya-karya yang diterbitkan ini sebenarnya jarang sekali menemui sasarannya, menyebabkan kebanyakan usaha yang telah dilakukan gagal khasnya apabila mencapai matlamat ganjaran monetari menjadi fokus utama.

Penulis melihat di kalangan ahli masyarakat kita sendiri pun, semakin ramai yang berani menawarkan 'kursus-kursus tidak rasmi' yang berkisar kepada 'cara menjadi Youtuber berjaya'; dengan potensi pendapatan dikatakan lumayan.

Pada penulis, ini sesuatu yang agak bahaya kerana realitinya tidaklah seindah apa yang digambarkan.

Youtuber popular kerap dipaparkan mewah, hidup senang, tidak perlu bekerja sebaliknya hanya perlu fokus menghasilkan karya untuk tontonan peminatnya - tanpa  dibincangkan aspek psikologi yang sebenarnya berlaku di belakang kamera.

Terlalu ramai Youtuber berhadapan masalah tekanan selepas susah payah mereka merakam, menyunting dan menerbitkan video; hanya mampu beroleh tontonan satu atau dua angka sahaja.

Selepas situasi seperti itu timbul, seorang Youtuber akan mula mencari-cari di mana silap mereka, berusaha untuk memahami kenapa saluran mereka tiada sambutan dan terus mencuba meningkatkan tontonan - senantiasa mengharapkan video mereka tular atau meletup, bagi menjana pendapatan yang diidamkan.

Ini adalah masalah utama yang kerap dihadapi seorang Youtuber yang baru berjinak-jinak dalam bidang ini. Apa yang membezakan mereka pada tahap ini adalah sejauh mana mereka cuba bertahan sebelum berhenti.

Risiko tekanan pada seorang Youtuber popular

youtuber sebagai kerjaya

Tahukah anda secara statistiknya 96.5% daripada kesemua Youtuber, tidak berjaya menjana pendapatan melebihi garis kemiskinan yang ditetapkan di Amerika Syarikat?

Hasil kajian penyelidik dari Offenburg University of Applied Sciences, Jerman mendapati seandainya anda ingin memecah masuk ke dalam 3.5% yang layak dikatakan berjaya, anda perlu mengekalkan kira-kira 1.4 juta tontonan sebulan hanya untuk memastikan pendapatan yang dijana memadai dengan usaha.

Ketidak seimbangan ini diburukkan lagi oleh sistem Youtube sendiri, yang mengutamakan 1% Youtuber teratas dikategorikan sebagai 'pencipta kandungan terbaik' yang mendominasi tontonan sehingga mampu mencecah 2.2 hingga 42.2 juta sebulan.

85% daripada kesemua kandungan saluran Youtube hanya mempunyai angka 458 tontonan secara purata. Sementara 3.5% Youtuber teratas yang kami sebutkan di atas menguasai 9 daripada 10 tontonan yang hadir - dipercayai disebabkan sistem Youtube sendiri yang mahu melonjakkan akses capaian kepada kumpulan ini.

Adakah angka-angka ini menggambarkan situasi yang indah, seringkali dijaja kepada anda berkaitan hidup seorang Youtuber?

Tidak. Ini jelas bukti kewujudan satu ekosistem untuk sebuah peluang karier yang tidak ke mana-mana.

Haters gonna hate

pewdiepie youtuber nombor satu dunia

Katakanlah anda berjaya melepasi peringkat awal, melayakkan diri memenuhi kriteria minima Youtube bagi menjana pendapatan seterusnya memiliki kumpulan peminat yang setia dengan saluran anda.

Demi menjaga status, anda berusaha sebaik mungkin menghasilkan karya dan kandungan bersifat neutral, tidak melakukan provokasi atau memainkan isu sensitif.

Namun pasti akan wujud juga masalah komen-komen orang ramai yang entah kenapa tetap 'benci' dengan anda - hanya kerana saluran anda mendapat sambutan.

Masalah ini tidak terhad hanya kepada masyarakat kita, sebaliknya turut sama berlaku kepada semua Youtubers yang berjaya. Komen-komen negatif yang ditinggalkan walaupun nampak tidak berbahaya, mempunyai kesan buruk jangka panjang kepada seorang Youtuber.

Itu baru komen, belum diambil kira reaksi-reaksi Youtuber atau penggiat media sosial lain, yang memuatnaik perkongsian mereka sendiri hanya semata-mata untuk mengkritik atau menghentam kandungan anda pula.

Dua perkara ini biasa berlaku dan sudah menjadi satu ekosistem norma dalam Youtube itu sendiri.

Pada dasarnya situasi itu nampak tidak memberikan apa-apa impak, tetapi percayalah racun-racun negativiti yang akan perlu anda hadapi akan memberikan kesan kepada anda.

Kami di Iluminasi sendiri ada yang menyorok di tepi bucu katil selepas terpaksa menghadap komen-komen pembaca yang mengkritik kami. Nasib baik komen positif lebih banyak dari negatif, memberikan kami kekuatan untuk terus bertahan. Namun kesannya pada kami tetap ada dari segi mental.

Youtube pula memang sudah sedia ada fungsi butang 'dislike' video yang tak digemari penonton. Tengok berapa 'dislike' saja sudah boleh mental seseorang pencipta kandungan.

Adakah anda mampu jadi Youtuber selamanya?

sugu pavithra malaysia masakan

Kami tidak mahu menidakkan karier sebagai Youtuber seolah sesuatu yang berbentuk trend atau 'fad', kerana di luar sana ada Youtuber yang benar-benar berjaya.

Namun persoalan utamanya - adakah anda melihat kerjaya sebagai seorang Youtuber sesuatu yang mampu dilakukan hari demi hari, sehinggalah anda bersara?

Berapa lamakah anda mampu mengekalkan momentum penghasilan karya sebelum anda terpaksa mengalah, mengaku tidak berbaloi untuk terus berusaha menarik minat penonton bila hanya mendapat tontonan 1 angka atau berhadapan kutukan?

Adakah anda mampu menghadapi tekanan untuk terus mencari idea penghasilan video, agar saluran Youtube anda terus kekal relevan? Berapa lama anda rasa anda akan sampai ke tahap kehabisan idea?

Semua persoalan di atas merupakan antara tekanan yang dihadapi Youtuber tanpa sedar setiap masa, yang kebiasaannya perlu dihadapi seorang diri.

Bagi pencipta kandungan Youtube berkumpulan, mungkin bebannya tidak dirasai sangat tetapi pendapatannya pula perlu dibahagikan sama rata.

Pasti ramai di antara kita mengidamkan pendapatan lumayan seorang Youtuber, seperti yang kerap kali dikongsikan.

Kisah Youtuber tempatan seperti Sugu Pavithra yang menjana lebih RM8,000 sebulan hanya dengan Youtube memang mengujakan.

Namun seperti yang sudah kami nyatakan dengan panjang lebar di atas, memiliki saluran Youtube yang tidak dikenali membawa kepada banyak tekanan dan masalah yang perlu dihadapi sendiri.

Memiliki saluran Youtube yang terlalu popular dengan jutaan tontonan sebulan juga membawa kepada masalah yang unik dan berbeza tekanannya - termasuklah kehadiran automatik pihak-pihak yang secara tiba-tiba mula membenci anda.

Sebelum anda mula mengidamkan impian untuk jadi seorang Youtuber berjaya, tanyalah pada diri anda sendiri - berapa pendapatan yang anda rasa berbaloi untuk anda hilang privasi anda?

Dalam era internet, individu berniat baik pun setiap masa terpaksa berhadapan dengan orang yang cuba menjatuhkan mereka. Berapa ribu anda perlu sebulan, untuk anda berhadapan dengan orang yang akan ketawa melihat anda merana?



Hakcipta iluminasi.com (2017)