Foto kredit Kosmo!

Lembaga Tabung Haji telah pun selesai mengumumkan jumlah hibah bagi penyimpan yang mendaftar serta melakukan simpanan di Tabung Haji.

Tidak dapat dinafikan, nilai 1.25% sudah pasti akan mengecewakan banyak pihak - namun diharapkan anda dapat bersabar. Kepada mereka yang banyak menyimpan di Tabung Haji serta menjadikan Tabung Haji pusat pelaburan utama seperti penulis, kita terima dengan redha pengumuman itu.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Banyak persoalan berkenaan hala tuju baru Tabung Haji selepas ini timbul, sehingga menyebabkan penyimpan tertanya apa langkah seterusnya, yang baik untuk kita ambil. Kami kongsikan tulisan seorang penganalisis ekonomi, saudara Khairul Azri yang diharap sedikit sebanyak dapat menjawab persoalan anda.

Apa perlu pendeposit lakukan berikutan perubahan dasar Tabung Haji?

tabung haji hotel pelaburan

Kepada pendeposit, saya mencadangkan untuk anda kekalkan simpanan anda dalam TH, kerana jangkaan saya tahun depan adalah hampir pasti kadar hibah akan meningkat. Isu rosot nilai dan asset liabiliti yang didedahkan, sepatutnya telah diselesaikan dengan pemindahan aset-aset TH ke dalam SPV dan ini akan membantu meningkatkan kadar hibah.

Saya ingin mengajak anda untuk bersama-sama raikan proses 'pemulihan' TH ini.

Ambil peluang ini untuk memahami bahawa Hibah TH adalah “hadiah” yang diisytihar oleh TH, berdasarkan konsep Wadiah Yad Dhamanah iaitu mengikut kemampuan kewangan TH pada tahun semasa - ini bermakna TH tidak mempunyai obligasi atau keperluan untuk membayar hibah.

Amalan pemberian hibah usahlah risau masih dibenarkan, namun kini perlu difahamkan tidak boleh dijadikan sebagai amalan tetap, bagi mengelakkan amalan tersebut dikira sebagai “‘urf” (kebiasaan) yang menyerupai syarat dalam kontrak deposit berasaskan wadi’ah.

Mensyaratkan pulangan dalam bentuk hibah terhadap simpanan wadi’ah boleh menjerumuskan akad tersebut ke dalam riba yang diharamkan syarak dan pulangan itu menjadi sesuatu yang tidak bersih.

Berhentilah mempolitikkan isu ini dan berikan sokongan

tabung haji dipolitikkan

Usah politikkan isu peratusan hibah yang kecil ini secara berlebih-lebihan. Kalau anda berasa marah kerana persepsi anda kerajaan sedang menjual dan memindahkan aset TH akan menghancurkan TH, jangan pula kita memburukkan keadaan, mewujudkan panik dan seterusnya mengakibatkan 'bank run' kepada institusi ini. 'Bank run' adalah istilah yang merujuk kepada situasi yang berlaku apabila pendeposit dalam jumlah yang banyak mengeluarkan deposit.

Pada pendapat saya, pujian harus diberikan kepada YB Menteri Agama, Mujahid Yusof Rawa di atas keberanian beliau menguruskan isu yang amat sensitif ini. Berhentilah mempolitikkan isu ini dan beri peluang kepada pengurusan TH, yang sedang berusaha mengembalikan semula falsafah simpanan TH ke akad asal semasa penubuhan Tabung Haji sendiri iaitu Wadi'ah Yad Dhamanah yang berasaskan Qard.

Terima hakikat bahawa kedudukan defisit TH ini tidak boleh dibiarkan lagi kerana ianya adalah tidak sihat untuk status kewangan TH sendiri, untuk jangka masa panjang - tidak dibantu kelemahan pentadbiran pengurusan TH terdahulu terutamanya dalam isu pemberian hibah, ketika menjadi kerajaan dulu.

Terima kasih kerajaan Malaysia namun..

tabung haji mujahid

Tahniah diucapkan di atas kerja keras , keberanian dan kesanggupan anda untuk mengubah paradigma pemikiran 9.3 juta pendeposit TH yang saya pasti, akan mendapat tentangan juga.

Perkara yang perlu diperhatikan semasa kita bergerak kehadapan kelak, adalah bagaimana kerajaan hari ini akan menguruskan jangkaan atau spekulasi yang berkait dengan hibah/dividen TH bagi tahun-tahun yang akan datang. Bersediakan pendeposit menerima hibah pada kadar yang lebih rendah dan bukan lagi seperti selalu?

Kerajaan harus mengelakkan taktik meletakkan kesalahan pada bahu kerajaan lama sedangkan prestasi pasaran ekuiti yang muram selepas pertukaran kerajaan, turut memainkan peranan yang besar dalam melebarkan lagi kemelut pendapatan TH.

Sudah-sudahlah dengan cubaan mempolitikkan isu defisit TH ini dengan menggunakan perkataan-perkataan yang tidak sepatutnya seperti seleweng, rompak, korupsi ataupun rasuah, walhal isu ini lebih kepada isu piawaian perakaunan, pengurusan dan juga boleh dilihat sebagai satu taktik politik kerajaan yang terdahulu dalam isu pemberian hibah/dividen.

Jika kerajaan Malaysia mempunyai bukti yang kukuh penyelewengan telah dilakukan, maka dakwalah mereka di mahkahmah supaya semua yang terlibat dapat pengadilan.

Persanan akhir dari saya - sayangilah Tabung Haji. Kalau bukan kita, siapa lagi?


Khairul Azri adalah seorang penulis bersama The Patriots Publications. Buku terbaru beliau 'Jangan Selewengkan Ekonomi Negara' baru saja diterbitkan, dalam membantu menjelaskan beberapa perkara kontroversi melibatkan perihal ekonomi dan kewangan semasa. Anda boleh mengikuti penulisan beliau melalui akaun rasmi peribadi Facebook beliau.




Hakcipta iluminasi.com (2017)