budak sekolah bermain handphone mengawal psikologi masyarakat 2

Mempunyai telefon pintar kini sudah jadi perkara biasa. Kebanyakan orang dilihat mampu memiliki telefon pintar yang mempunyai capaian internet bulanan. Kemudahan yang ada tidak dapat dinafikan lagi, memberikan setiap orang antara kita kemudahan untuk berkomunikasi atau berinteraksi dengan mudah.

Kemudahan sistem mesej percuma seperti Whatsapp, Messenger dan pelbagai lagi aplikasi popular membuatkan sistem pesanan ringkas SMS yang cukup popular satu masa dulu, kini menjadi teknologi yang ketinggalan zaman. Bagaimanapun, untuk setiap kemudahan dan faedah yang kita dapat, pasti ada sisi berbeza keburukan yang kurang kita berikan perhatian.

Ikutan nukilan Cikgu Shahirah (nama ditukar atas permintaan penulis asal), seorang pendidik di salah sebuah sekolah rendah di Selangor berkenaan sisi buruk kemudahan telefon yang jarang diperkatakan orang ramai.


Assalamualaikum wbt. semua pembaca Iluminasi tak kiralah di mana saja anda berada,

Maaf kalau aku bahasakan diri aku, aku sahaja dalam nukilan kali ini. Jarang aku menulis panjang tetapi aku terpaksa luahkan juga apa yang tersimpan dalam hati aku.

Aku sedih melihat bagaimana masyarakat kita membiarkan teknologi yang ada melalui telefon mengacau hidup kita. Maksud aku berkenaan cara kita berkomunikasi sekarang ini. Kadangkala, nak saja aku luahkan berkenaan perkara ni dalam mesyuarat tetapi kerana takut dikritik cikgu lebih senior, aku simpan dalam seorang diri. Adakah kita terlalu membiarkan telefon mengawal hidup kita?

kena blue tick mengawal psikologi masyarakat 2

Setiap malam (ya, setiap malam) aku rimas terpaksa menyemak Whatsapp meneliti kumpulan yang kami buat untuk berkomunikasi dengan ibu bapa. Bukan apa, tetapi pihak ibu bapa seperti merasakan kami para guru perlu menyemak mesej whatsapp mereka pada waktu malam. Seperti perkara tu wajib pula dilakukan. Siap sindir-sindir aku lagi bila aku balas keesokannya dengan ayat 'kalau balas lambat, baik tak payah buat ada Whatsapp.'

Perlukah guru melayan pertanyaan ibu bapa sampai ke waktu malam, dalam telefon, sedangkan kumpulan tersebut ditubuhkan hanya atas inisiatif guru itu sendiri? Tak perlu kan?

Perlukah kita senantiasa bersedia untuk berbalas-balas mesej setiap masa? Tidak perlu. Tetapi budaya komunikasi yang kita amalkan zaman sekarang seperti 'mendesak dalam diam' kita untuk menjawab semua mesej yang masuk dengan segera, sekiranya kita berada di pihak penerima mesej.

Penularan budaya 'blue tick' pada masyarakat

bluetick mengawal psikologi masyarajat

Masalah yang lebih besar, tabiat yang sama juga membuatkan pihak penghantar mesej juga dapat dilihat seolah-olah mahu mesej dia dibuka dan dibaca, supaya dapat cepat dibalas dengan segera. Sebarang kelewatan pada balasan mesej akan dipandang sebagai satu perkara yang negatif.

Benar kan perkara itu berlaku pada anda? Anda hantar mesej, kemudian bila anda dah tahu mesej selamat dihantar, kita akan rasa tak selesa sekiranya mesej kita tergantung. Apatah lagi bila mesej tersebut dilihat sudah dibaca oleh penerima, lagilah kita tak senang duduk.

Mengapa ini berlaku?

Pembina aplikasi ini bijak sebenarnya dalam mereka sistem yang kita gunakan, dengan setiap fungsi yang diperkenalkan sebenarnya mahu membuatkan kita terus melekat dengan skrin telefon. 'Blue tick' yang diperkenalkan untuk menandakan mesej kita sudah selamat dibaca pada dasarnya menjadi pemberitahuan komunikasi kita sudah berjaya. 'Blue tick' itu pada zahirnya kemudahan untuk kita namun kesan buruknya dapat dilihat setiap hari dalam kehidupan kita.

Biasa dengan sebuah organisasi di mana pekerjanya perlu membalas sebarang arahan dalam Whatsapp dengan ayat 'noted' atau apa saja reaksi? Pernah dengar kisah majikan yang tidak lagi peduli bila dia dibenarkan berkomunikasi dengan pekerja, kerana sistem komunikasi sudah jadi terlalu mudah dan percuma?

Mungkin juga kesan ini berlaku pada anda tanpa anda sendiri sedari.

Pernahkah anda menghantar mesej dan si penerima membacanya, tetapi dia tidak membalas - lalu anda merasa sedikit kecil hati? Pernahkah anda memandang salah perbuatan seseorang yang mematikan fungsi 'blue tick' dalam Whatsapp kerana anda beranggapan dia bukan seorang yang jujur? Yang paling penting - pernahkah anda sendiri rasa takut nak buka mesej hanya kerana pada waktu itu anda mungkin sibuk atau malas nak menaip, jadi anda elakkan diri anda daripada membaca mesej tersebut kerana anda takut 'blue tick' akan dipaparkan?

Nampak tak bagaimana sistem semudah 'blue tick' ini mengganggu kita dari segi psikologi?

Penting sangat ke sampai 24 jam nak berkomunikasi?

bluetick mengawal psikologi masyarakat 2

Apa yang aku cuba sampaikan, dengan kemudahan komunikasi 24 jam tanpa henti, sedikit sebanyak minda masyarakat kita dikondisi supaya menerima yang kita pun sepatutnya kenalah sanggup berkomunikasi 24 jam tanpa henti, sehingga ramai antara kita dah mula mudah marah bila mesej lambat berbalas.

Ada di antara kita sudah tidak lagi mempedulikan waktu yang kita perlukan privasi peribadi, selepas waktu kerja misalannya di mana kita perlukan waktu untuk membuat perkara yang kita suka tanpa gangguan mesej.

Aku sebagai cikgu dirasakan perlu melayan pertanyaan ibu bapa pada waktu malam. Mesyuarat PIBG diusulkan supaya semua kelas diwajibkan ada kumpulan Whatsapp masing-masing. Nasib baik Guru Besar aku kata itu semua bergantung kepada inisiatif sendiri. Bayangkan kalau Guru Besar kami wajibkan semua kelas ada kumpulan masing-masing dan ada di antara kami tak mampu layan mesej ibu bapa, siapa yang akan kena nanti?

Walaupun aku penjawat awam, aku tahu budaya ni menular di kalangan pekerja swasta juga. Suami aku telefonnya tak henti-henti notifikasi sampai jam 10 malam sehinggakan aku paksa dia tutup bunyi nada tapi dia tetap resah dengan telefon di tangan, kerana takut esok 'kena maki dengan boss.'

Masyarakat apa yang kita akan jadi, bila itu budaya yang kita amalkan Malaysia, sampai nak matikan fungsi 'blue tick' pun ada majikan yang tegur?

Hormati waktu privasi kita semua

akta kerja mengawal psikologi masyarakat 2

Aku sedar aku cikgu, bukan seorang pakar psikologi, pakar komunikasi atau pakar ICT.

Bagaimanapun, tak perlu jadi pakar pun untuk tahu tabiat, budaya dan amalan 24 jam kena komunikasi ni akan memakan diri kita sendiri satu hari nanti. Kita tak perlu buka komunikasi dengan kita setiap masa. Tak ada keperluan pun untuk kita 'wajib' terima dan balas mesej yang masuk sepanjang masa.

Ini kerana komunikasi perlu berlaku dalam jadual yang kita sendiri rasa senang. Tak ada paksaan, tak ada pening-pening kepala nak menghadap telefon melayan orang lain saja.

Penggunaan telefon pintar secara meluas di Malaysia masih lagi dikira muda tetapi kebanyakan minda kita seolah-olah sudah selesai diprogramkan - dengar saja notifikasi masuk terus capai telefon, semak, balas. Ulang beratus-ratus kali sehari sampai perkara itu jadi rutin. Tak payah fikir pun, kerana kadangkala badan bergerak sendiri bila dapat notifikasi telefon.

group whatsapp cikgu yang sangat memeningkan kepala

Sekali-sekala tinggalkanlah telefon. Tutup bunyi notifikasi. Biarkan saja mesej masuk tanpa balasan. Fokuskan hidup kita pada apa yang ada di depan kita, di sebelah kita. Bukan kepada mereka yang berhubung dengan kita melalui wayar sahaja. Jadikan hujung minggu waktu bebas telefon. Bebas Whatsapp. Tetapkan waktu Maghrib sebagai had tamat membalas mesej yang bukan kecemasan.

Matikan bunyi notifikasi masuk dan biarkan nada dering sahaja yang berbunyi seandainya ada panggilan masuk. Kenapa dalam era di mana pihak telco mampu memberikan kita panggilan telefon tanpa had, kita pula semakin kurang bercakap melalui telefon?

Bila kali terakhir anda betul-betul berkomunikasi dengan orang lain secara bersemuka, dalam dunia di mana kita berkomunikasi setiap masa tanpa henti?

Nukilan,

Shahirah (Bukan Nama Sebenar)

Shah Alam, Selangor.


tags : , , , , , , , , , , , , , , , , , , , ,




Hakcipta iluminasi.com (2017)