Istiadat perkahwinan yang penuh gilang-gemilang bagi Putera Diraja Pahang, YAM Tengku Arif Bendara Tengku Muhammad Iskandar Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Yang Mulia Tengku Natasha Puteri binti Tengku Adnan, bakal menyemarakkan suasana di Istana Abdulaziz, Kuantan, Pahang. Dirancang berlangsung selama tiga hari pada 24, 25 dan 27 Oktober 2024, acara bersejarah ini dijangka akan menarik perhatian, terutama kerana melibatkan dua figura terkenal dalam kalangan masyarakat.

Selepas istiadat perkahwinan Tengku Puteri Afzan Aminah Hafidzatullah dan FD Idzham FD Iskandar pada bulan Ogos lalu, kini giliran Tengku Muhammad pula menyempurnakan majlis yang telah lama dinantikan.

Sebagai pembuka tirai kepada istiadat perkahwinan, Al-Sultan Abdullah dan Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah telah bercemar duli berangkat ke Majlis Adat Midodareni, atau lebih dikenali sebagai Majlis Suai Kenal yang berlangsung di Taman Duta, Kuala Lumpur pada Ahad, 6 Oktober lalu.

Acara ini dimeriahkan dengan penuh adat resam, di mana Majlis Siraman menjadi salah satu elemen penting yang dilaksanakan pada hari yang sama. Ditambah pula dengan Majlis Khatam Al-Quran untuk Tengku Natasha Puteri, majlis ini menandakan permulaan yang penuh berkat bagi peristiwa ini.

Kehadiran Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah; Tengku Panglima Raja, Tengku Amir Nasser Ibrahim Shah; Tengku Panglima Perang; Tengku Ahmad Ismail Mu'adzam Shah; Tengku Puteri Afzan Aminah Hafidzatullah; Tengku Puteri Ilisha Ameera dan Tengku Puteri Ilyana turut menyerikan majlis tersebut.

Majlis akad nikah pasangan diraja ini dijadualkan berlangsung pada malam Khamis, jam 8 malam. Setelah itu, Istiadat Berinai akan berlangsung pada 25 Oktober, diikuti dengan Istiadat Persandingan Diraja pada malam Ahad di Istana Abdulaziz. Pasangan pengantin diraja ini akan dinikahkan oleh bapa pengantin perempuan sendiri, Datuk Seri Utama Dr Tengku Adnan Tengku Mansor.

Istiadat perkahwinan akan diteruskan mengikut susunan Adat Istiadat Pahang yang merangkumi pelbagai acara, termasuk Istiadat Santap Nasi Adap-Adapan, Istiadat Bersiram dan Istiadat Menutup Kerja pada 28 Oktober. Istiadat Santap Nasi Adap-Adapan yang dijadualkan bermula jam 4 petang akan menyaksikan Tunku Azizah Aminah Maimunah memulakan acara dengan Istiadat Menyuap Nasi Semangat kepada pasangan pengantin, diikuti oleh Istiadat Merenjis dan Bersiram.

Menjelang Istiadat Bersiram, acara ini akan didahului dengan bacaan doa oleh Mufti Pahang, Prof. Datuk Dr. Asmadi Mohamed Naim. Selepas selesai dengan acara Bersiram, pasangan pengantin diraja akan diraikan dalam Majlis Jamuan Teh.

Sebagai tanda penutup kepada semua istiadat yang berlangsung, pengantin lelaki akan melaksanakan upacara simbolik dengan menurunkan Bendera Istiadat Menutup Kerja, diiringi oleh 16 das tembakan meriam oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan bacaan doa oleh mufti sebagai penutup majlis.

Bagi memastikan semua lapisan rakyat dapat menyaksikan kemegahan perkahwinan diraja ini, Istiadat Akad Nikah, Berinai dan Persandingan akan disiarkan secara 'live' melalui dua layar besar di Dataran Majlis Bandaraya Kuantan (MBK) dan satu lagi di Dataran Pekan. Sepanjang majlis berlangsung, kedua-dua lokasi ini akan dimeriahkan dengan pelbagai acara menarik bagi menciptakan suasana gembira di kalangan rakyat yang turut serta dalam kemeriahan majlis.

Dan kini, sedikit perkongsian mengenai Tengku Muhammad Iskandar, pengantin diraja yang menjadi tumpuan seluruh negara dalam istiadat penuh tradisi dan adat mulia ini.

       

Biodata

Nama penuh: Tengku Muhammad Iskandar Ri’ayatuddin Shah ibni Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah

Umur: 27 tahun (2024)

Tarikh lahir: 3 Ogos 1997

Tempat lahir / Asal: Kuantan, Pahang

Keluarga: Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al Mustafa Billah Shah (bapa) dan Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah (ibu)

      

Latar Belakang

1. Tengku Muhammad Iskandar Ri’ayatuddin Shah merupakan salah seorang putera diraja yang lahir daripada keluarga diraja Pahang, Pahang Darul Makmur. Baginda merupakan putera kepada Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al Mustafa Billah Shah dan Tengku Ampuan Pahang, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

Sultan Abdullah dan Tunku Azizah pernah memegang takhta sebagai Yang di-Pertuan Agong serta Raja Permaisuri Agong Malaysia ke-16, tanggungjawab yang dipikul dari tahun 2019 hingga 2024.

2. Tengku Muhammad dilahirkan pada 3 Ogos 1997 di Hospital Tengku Ampuan Afzan, Kuantan, Pahang.

Baginda adalah anak ketiga daripada sembilan orang adik beradik.

Adik-beradik Tengku Muhammad yang lain ialah Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah, Tengku Ahmad Ismail Mu’adzam Shah, Almarhum Tengku Ahmad Iskandar Shah (mangkat), Tengku Puteri Iman Afzan, Tengku Ilisha Ameera, Tengku Puteri Ilyana, Tengku Puteri Afzan Aminah Hafizatullah dan Tengku Puteri Jihan Azizah 'Athiyatullah. Juga termasuk, Tengku Amir Nasser Ibrahim Shah (anak angkat).

3. Tengku Muhammad, sebagai pewaris kedua dalam susur galur diraja Pahang, bersedia untuk mewarisi tanggungjawab besar dalam meneruskan legasi keluarganya. Selepas abangnya, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah, yang kini memegang gelaran Tengku Mahkota dan Pemangku Raja Pahang, Tengku Muhammad berada dalam kedudukan untuk mengisi takhta, dengan perbezaan usia antara mereka hanya dua tahun.

        

Fakta Menarik

1. Pada usia awal 20-an, Tengku Muhammad mencuri perhatian ramai, khususnya di kalangan remaja. Gaya hidupnya yang bersahaja dan tidak jauh berbeza dengan anak-anak muda seusia, menjadikan dirinya seorang putera raja yang disenangi rakyat. Keterbukaan baginda dalam berkongsi sekelumit kehidupan harian, sama ada ketika bersukan atau bersantai di waktu lapang, menambah lagi keakraban hubungan baginda dengan rakyat jelata.

2. Pada September 2023, Tengku Muhammad memikat hati rakyat ketika berkesempatan bertemu mereka sewaktu mengikuti Kembara Kenali Borneo di Sabah. Sosok putera ini bukan sahaja mencuri tumpuan kerana perawakannya yang tampan, malah keperibadiannya yang mesra turut membuatkan penduduk tempatan berasa dekat dengan baginda.

Satu momen yang paling menyentuh hati adalah apabila seorang kanak-kanak menerima hadiah istimewa daripada Tengku Muhammad — topi yang dipakai baginda ketika menghadiri satu program di Kundasang. Situasi ini dirakam dan dikongsi oleh ibu kanak-kanak tersebut, @Liyanie menerusi TikTok, yang mana kelihatan Tengku Muhammad sendiri menyerahkan topi itu meskipun dikawal rapi oleh pengawal keselamatan.

3. Seperti amalan yang dilakukan oleh kerabat diraja Pahang lain, Tengku Muhammad juga tidak pernah teragak-agak untuk mencemar duli, melawat rakyat di kawasan bencana, terutamanya apabila negeri itu dilanda musibah seperti banjir, angin kencang dan ribut. Kehadiran baginda di tengah-tengah situasi yang mencabar ini memperlihatkan keprihatinan seorang putera yang benar-benar mendahulukan rakyatnya, tanpa mengira cuaca atau kesulitan yang sedang melanda.

4. Di sebalik tanggungjawabnya sebagai putera raja, Tengku Muhammad juga menunjukkan sisi kemesraan dan hubungan erat dengan ahli keluarganya. Keakraban baginda dengan adik perempuannya, Tengku Puteri Afzan, pernah menjadi perbualan hangat di media sosial. Dalam satu sesi live Instagram (IG), Tengku Muhammad menyakat adiknya mengenai masakan adiknya yang dikatakan tidak menepati seleranya — "Tak sedap. Hari itu dia try racun saya," katanya. Gurauan itu dibalas santai oleh Puteri Afzan menerusi ciapan di X (Twitter) yang berbunyi, "Takpe. Dugaan seorang adik." Interaksi lucu ini menggambarkan hubungan mereka yang penuh kasih sayang dan humor, seterusnya memberi pandangan lebih peribadi terhadap kehidupan keluarga diraja yang sering diselimuti protokol rasmi.

5. Tengku Muhammad juga dikenali sebagai seorang putera yang aktif dalam pelbagai jenis sukan. Dari bola sepak ke sukan polo hingga golf, baginda sentiasa mempamerkan semangat kesukanan yang menarik perhatian.

Pada tahun 2022, kecintaan Tengku Muhammad terhadap bola sepak telah mencuri tumpuan penyokong setia Sri Pahang FC. Ada yang menyuarakan harapan agar baginda mengikuti jejak langkah Tunku Mahkota Johor (TMJ) dan mengambil alih kepimpinan skuad Tok Gajah.

Minat mendalam Tengku Muhammad terhadap bola sepak juga tidak datang dengan sendirinya. Ayahanda baginda, Sultan Abdullah pernah memegang tampuk sebagai Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dari tahun 2014 hingga 2017. Dengan latar belakang ini, tidak hairanlah semangat bola sepak mengalir deras dalam darah putera diraja Pahang itu, menjadikan baginda salah seorang tokoh muda yang diharap dapat meneruskan legasi ayahandanya dalam arena sukan tanah air.

       

Baca: Biodata Tengku Natasha (Natasya) Puteri Tengku Adnan, Isteri Tengku Muhammad Iskandar Ri’ayatuddin Shah

        

Foto

tengku muhammad iskandar ri ayatuddin shah wikipedia siapa ketinggian height age salasilah sebenar pendidikan anak ke berapa abdullah of pahang children

tengku muhammad pahang

tengku muhammad tengku natasya

umur tengku muhammad

tengku muhammad iskandar

tengku muhammad

tengku muhammad iskandar ri ayatuddin shah

tengku natasya adnan 88471

tengku adnan 99663

anak sultan pahang 45698

tengku muhammad kahwin

sultan pahang 96352

tengku arif bendahara

tengku natasya 51423

tengku natasha 51447

Kredit foto: Facebook Kesultanan Pahang , Facebook House Of Pahang , Instagram Tengku Ahmad Ismail Mu’adzam Shah , Facebook McDonald's

       




Hakcipta iluminasi.com (2017)