doktor robot pembedahan gigi 921

Baru-baru ini sebuah 'doktor gigi' robot di China telah berjaya melakukan pembedahan gigi pertama ke atas manusia. 

Robot itu memulakan prosedur sambil diperhatikan oleh sekumpulan doktor manusia - dikhuatiri jika berlaku sebarang kesilapan sepanjang pembedahan. Walau bagaimanapun, robot yang bergerak sendiri dengan arahan yang telah diprogramkan itu akhirnya berjaya mengimplan dua batang gigi ke dalam mulut pesakit tanpa sebarang gangguan.

doktor gigi robot

Sehingga ke hari ini, dianggarkan lebih 400 juta orang pesakit yang memerlukan gigi baru di China. Disebabkan kekurangan bilangan doktor gigi di China dan kemalangan semasa pembedahan yang berpunca daripada kesilapan manusia, Hospital Stomatologi Universiti Wuhan dengan kerjasama kumpulan penyelidik robotik dari Universiti Beihang mencipta teknologi moden ini. 

Implan bagi pesakit itu dibuat menggunakan pencetak 3D dan dipasang dengan jidar selisih antara 0.2 hingga 0.3 milimeter iaitu standard biasa bagi pembedahan implan sebegini. Sebelum surgeri, saiz mulut pesakit wanita yang tidak mahu dikenali itu telah diukur menggunakan pengimbas CT. Kemudian, doktor robot itu diprogramkan dengan beberapa siri arahan pergerakan termasuklah nilai sudut dan kedalaman yang tepat sepanjang pembedahan.

doktor digantikan dengan robot

Selepas beberapa kali pusingan ujian berjaya dijalankan, prosedur implan gigi tersebut dibuat ke atas wanita yang berasal dari Xi'an itu. Berbekalkan anestetik setempat, robot itu boleh menyesuaikan diri dengan sebarang pergerakan pesakit dan membuat pelarasan sepatutnya.

China bukanlah negara pertama yang memperkenalkan teknologi pergigian robotik sebagai pilihan melakukan surgeri. Pada bulan Mac 2017, Food and Drug Administration telahpun meluluskan Yomi, iaitu sebuah robot pembantu pergigian yang dicipta oleh Neocis Inc. Yomi boleh menghasilkan reka bentuk prosedur pergigian berdasarkan imbasan CT seseorang pesakit, namun ia masih dikawal oleh pakar bedah manusia.

Selain itu, pada tahun 2015 sebuah robot yang dinamakan Alla Dente juga pernah digunakan untuk mencabut gigi bongsu seorang pesakit berusia 55 tahun di Tokyo, Jepun.

robot yang digunakan untuk mencabut gigi

Teknologi hari ini menjadi semakin canggih sehingga boleh menggantikan manusia dalam pelbagai tugas dan bidang. Cubalah bayangkan 10 atau 20 tahun yang akan datang, apa akan terjadi pada kita?

Rujukan: SCMP, Junior Dentist


tags : , , , , , , , , , ,



Hakcipta iluminasi.com (2017)