"Apakah cita-cita anda apabila dewasa kelak?"

Mungkin ini adalah antara soalan yang sering ditanya kepada kanak-kanak. Semasa kita masih kecil, jawapan yang diberikan kemungkinan besar bergantung kepada pengaruh daripada ahli keluarga dan juga tahun kita dilahirkan. Zaman kita dilahirkan mungkin mempunyai persepsi yang berbeza terhadap sesuatu kerjaya berbanding generasi zaman kini.

kerjaya paling dihormati dalam dunia

Jika dahulu, mungkin ramai antara kita menjawab ingin menjadi polis, askar, guru dan sebagainya. Tapi bagaimana pula dengan zaman kini - apakah profesion yang paling dihormati serta diminati ramai?

Satu tinjauan telah dijalankan di 35 buah negara oleh Yayasan Varkey, iaitu sebuah badan kebajikan pendidikan sedunia. Ia membentangkan pendapat berkaitan 14 jenis laluan kerjaya yang biasa dipilih oleh lepasan ijazah. Seramai 1,000 orang awam daripada setiap negara diminta menyusun kedudukan senarai kerjaya tersebut mengikut turutan paling dihormati (skor: 14) sehinggalah yang paling kurang dihormati (skor: 1).

Kerjaya berstatus tinggi

Hasil tinjauan mendapati kerjaya sebagai seorang doktor mengungguli carta diikuti dengan peguam dan jurutera. Guru besar atau pengetua juga memperolehi skor yang agak tinggi namun profesion dalam bidang perguruan lain seperti guru sekolah rendah dan sekolah menengah jauh ketinggalan di belakang pegawai polis, jururawat, akauntan, pegawai kerajaan dan pakar runding pengurusan.

doktor pekerjaan paling dihormati

Pustakawan mempunyai kedudukan paling corot dalam senarai dengan skor 4.6 di samping pereka laman web (5.9) dan juga pekerja sosial (5.8).

PekerjaanSkor purata (1-14)
Doktor11.6
Peguam9.5
Jurutera9.1
Guru besar/Pengetua8.1
Pegawai Polis7.8
Jururawat7.4
Akauntan7.3
Pegawai Kerajaan7.3
Pakar Runding Pengurusan7.1
Guru Sekolah Menengah7.0

Walau bagaimanapun, apabila robot dan algoritma semakin banyak melakukan kerja yang biasa manusia lakukan pada masa hadapan, kemungkinan besar senarai kerjaya ini dan kedudukannya akan turut berubah.

Robot menggantikan manusia?

Kemajuan teknologi dalam Revolusi Perindustrian Keempat sedang mengubah cara manusia bekerja dan kerja yang dilakukan.

Sehingga baru-baru ini, bidang automasi memberi keutamaan untuk meniru tugas-tugas yang tidak memerlukan kemahiran atau tugasan yang berulang-ulang. Namun, kemajuan dalam robotik dan kecerdasan buatan (AI) bermakna yang mesin pada zaman kini boleh 'berfikir' seperti seorang manusia dan membawa automasi kepada bidang kerjaya berkemahiran tinggi seperti perubatan dan undang-undang.

algoritma didapati lebih pantas dan lebih efisyen berbanding peguam terlatih

Sebagai contoh, suatu algoritma telah didapati mampu menyelesaikan tugas-tugas asas perundangan dengan lebih efisyen serta lebih pantas berbanding seorang peguam terlatih. Disebabkan semakin hari algoritma menjadi semakin canggih, maka tidak mustahil jika suatu hari nanti ia mampu menjalankan aspek tugasan yang lebih rumit seperti yang sedang dibuat oleh pakar-pakar perubatan dan perundangan.

Apakah yang akan terjadi sekiranya pada masa hadapan para doktor dan peguam digantikan dengan robot? Adakah manusia akan masih menghormati kerjaya-kerjaya ini?

Bidang kerjaya pada masa hadapan

Semasa Revolusi Perindustrian Pertama pada kurun ke-18, ramai orang berasa khuatir sekiranya akan berlaku pengangguran besar-besaran apabila mesin mengambil alih pelbagai tugas daripada manusia.

Begitu juga semasa ketibaan Revolusi Perindustrian Keempat yang telah mencetuskan kebimbangan seandainya robot mula digunakan secara berleluasa dan bakal menyebabkan jutaan manusia menganggur serta kehilangan mata pencarian.

robot bakal menggantikan manusia pada masa depan pekerjaan paling dihormati dalam dunia 360

Laporan Masa Depan Pekerjaan 2018 yang dikeluarkan oleh Forum Ekonomi Sedunia menyatakan hampir 50% syarikat yang menyertai tinjauan menjangkakan automasi bakal mengambil alih dan mengurangkan bilangan tenaga kerja sepenuh masa di organisasi mereka sebelum 2022.

Walau bagaimanapun, laporan tersebut juga menyebut walaupun automasi akan menggantikan sehingga 75 juta pekerjaan, sebanyak 133 juta peluang pekerjaan baru mungkin bakal diwujudkan. Antara peranan yang mungkin mempunyai permintaan tinggi adalah seperti penganalisis data, saintis serta pembangun perisian dan aplikasi.

tugas yang tidak memerlukan kemahiran telahpun diambil alih oleh robot

Laporan itu juga menyatakan bahawa 38% daripada organisasi yang ditinjau berharap untuk menggunakan tenaga kerja sedia ada bagi memenuhi peranan baru yang lebih meningkatkan produktiviti. Selain itu, 25% daripada responden juga menjangkakan automasi bakal mewujudkan banyak peluang kerjaya baru di organisasi mereka.

Pemacuan kemajuan teknologi memerlukan pakar terutama sekali dalam bidang AI dan pembelajaran mesin, kumpulan data yang besar, proses automasi, keselamatan maklumat dan robotik serta pakar dalam pengetahuan blok rantai.

Namun begitu, dalam dunia kerjaya masa depan, diramalkan permintaan terhadap kerjaya yang memerlukan sentuhan peribadi masih wujud selain akan berlakunya peningkatan dalam peranan yang menggunakan kemahiran dengan pengaruh 'kemanusiaan.'

Kepada sesiapa yang masih punya pekerjaan, bersyukurlah kerana anda masih belum menganggur dan usah terlalu memilih kerjaya. Bukan mudah untuk mendapatkan kerja tetap pada zaman kini. Tambahan pula terdapat persaingan sengit antara ribuan graduan dan juga mereka yang berpengalaman tinggi. Bayangkan pula apa yang akan terjadi pada masa depan jika robot pula menjadi pesaing terdekat kita.

Rujukan:

1. Varkey Foundation

2. World Economic Forum (12)



Hakcipta iluminasi.com (2017)