TikTok. Sama ada anda suka atau tidak dengan platform media sosial tersebut, kami yakin anda sekurang-kurangnya pernah menonton satu atau dua video yang dikongsikan pengguna mereka.

Kritikan terhadap TikTok ada benarnya. TikTok menjadi medium mudah untuk anak muda mempamerkan bakat, namun yang jadi popular adalah video anak muda meniru gaya mulut dan aksi lagu sehingga membuatkan video-video sebegitu sinonim dengan identiti TikTok.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Hendak disalahkan sepenuhnya TikTok, tak boleh juga kerana akar umbi TikTok sendiri datang daripada platform Musical.ly yang memang menjadikan nyanyian semula sebagai fokus, digabungkan dengan platform Douyin di China, aplikasi mirip Musical.ly yang membentuk apa yang kita nampak sekarang sebagai TikTok.

Desas-desus berkenaan hubungan TikTok dan kawalan yang dikenakan oleh kerajaan China sejak awal lagi sudah kedengaran, tetapi benarkah dakwaan-dakwaan yang ada?

Krisis ByteDance dengan kerajaan China

zhang yiming bytedance

Nama ByteDance mungkin kurang dikenali berbanding produk mereka, namun ByteDance merupakan sebuah syarikat gergasi yang sangat terkenal. Dua produk utama mereka iaitu Jinri Toutiao (sebuah agregator berita di China) dan Neihan Duanzi (platform media sosial) mengangkat nama ByteDance serta CEO-nya, Zhang Yiming.

Zhang menubuhkan ByteDance pada tahun 2012, menyaksikan sendiri syarikat miliknya berkembang menjadi syarikat bernilai billion dollar, berjaya mencatatkan jumlah pengguna lebih 1 billion di semua rangkaian produk mereka.

ByteDance cuba memberikan kebebasan pada pengguna mereka berkarya, kerana mereka menghargai kreativiti. Apa yang menggembirakan, kesemua pengguna produk ByteDance memegang etos tersebut.

Bagaimanapun disebabkan populariti ByteDance sendiri yang terkenal menawarkan platform kreativiti pengguna, pasti mula timbul bermacam isu yang tidak disenangi kerajaan China berkaitan perkongsian di Jinri Toutiao serta Neihan Duanzi.

tiktok alat senjata propaganda china untuk kumpul data manusia 607

Pada bulan April tahun 2018, Zhang Yiming diarahkan untuk memberhentikan operasi Jinri Toutiao. Keesokannya, Neihan Duanzi dihentikan.

Selang beberapa hari, Zhang Yiming mengeluarkan kenyataan menerusi semua platform kelolaan ByteDance, mengakui kegagalan syarikatnya mengawal tindak-tanduk pengguna, gagal menjaga daripada isu sensitif diterbitkan serta tidak memandang berat sensitiviti masyarakat.

Kenyataan rasmi oleh Jabatan Siaran, Cetakan, Penerbitan, Radio, Filem dan Televisyen China (SAPPRFT) mendakwa platform-platform ByteDance telah disalahgunakan untuk memecah belahkan masyarakat dan Zhang Yiming menjadi individu utama dipertanggungjawabkan.

Didakwa mendidik sentimen tidak sihat

jinri toutiao china bytedance

Platform seperti Jinri Toutiao sangat bergantung kepada tabiat pembacaan pengguna. Jadi setiap berita yang dikongsikan, akan dipilih daripada apa yang kerap dibaca oleh pengguna. Ini bermakna setiap tawaran berita yang ada berbeza-beza tanpa ada persamaan antara setiap pengguna.

Oleh kerana majoriti pengguna Jinri Toutiao gemar membaca gosip selebriti dan skandal melibatkan nama terkenal dalam masyarakat, itulah yang kerap keluar dan tular; membuatkan kerajaan China menyalahkan sistem ByteDance gemar berkongsikan isu tiada berfaedah sehingga mempopularkan isu-isu bodoh.

Selepas tular perkongsian tentang beberapa orang remaja perempuan yang bangga mengandung pada usia muda 14 dan 15 tahun di sebuah daerah di China, ByteDance dijadikan kambing hitam dituduh menyebarkan pengaruh buruk serta gagal mengawal apa yang disebarkan.

Walaupun harus diakui memang kandungan sedemikian memang mempopularkan elemen buruk dalam masyarakat, banyak pihak menganggap kerajaan China sebenarnya hanya mencari helah dalam memastikan perancangan dalam mengawal media di China sepenuhnya; tiada penghalang besar.

Dengan mendiamkan terlebih dahulu rangkaian platform seperti dimiliki ByteDance yang nyata berpengaruh kepada masyarakat, reaksi buruk terhadap kerajaan China dalam pelaksanaan langkah sepenuhnya dapat dikawal.

Memastikan ByteDance tunduk kepada garis panduan akan memudahkan peminat ByteDance turut sama akur dengan semua 'saranan' kerajaan.

Perancangan dalam mengawal media

amazing china filem wajib tayang

Sebulan sebelum kontroversi melibatkan ByteDance melanda China, kerajaan China telah pun memulakan rancangan bagi memansuhkan SAPPRFT untuk digantikan dengan satu agensi lain yang diselia terus kabinet China, di bawah kawalan CCP.

Dalam draf pindaan besar-besaran yang dijalankan melibatkan media di negara itu, wujud beberapa cadangan pro-kerajaan yang menjadi mandatori untuk semua pengamal dan pengkarya media turuti, termasuklah pengelola platform.

Kesemua filem yang diterbitkan di China perlulah melalui penapisan ketat serta terhindar daripada elemen pengaruh anti kerajaan. Media sama ada tradisional atau digital yang mahu ditayangkan juga perlulah membawa mesej baik serta mempunyai elemen mendidik masyarakat.

Arahan agar semua pengelola platform untuk memastikan tidak ada ada media yang mengkritik kerajaan China disiarkan menjadi keutamaan, walaupun dalam bentuk parodi. Apa saja karya digital yang mempermain dan mempersendakan karya klasik masyarakat China, sama ada dalam bentuk media atau literatur perlulah ditarik balik dan dibuang.

Pengusaha platform seperti ByteDance bertanggungjawab untuk menjalankan regulasi bagi memastikan 'moral' masyarakat terjaga. Seandainya ada pihak gagal mematuhi saranan kerajaan dalam memastikan tradisi megah China dilindungi, surat tunjuk sebab akan dihantar bagi memastikan pemilik berdepan dengan siasatan.

Video dalam talian juga tidak terkecuali menjadi salah satu format yang diletakkan bawah kawalan kerajaan dengan perubahan tersebut.

Bagi memulakan perubahan ini, semua pengusaha panggung wayang di China diwajibkan untuk menayangkan sebuah filem berdurasi 2 jam yang diberi judul 'Amazing China', memfokuskan kepada pencapaian Presiden Xi Jinping memacu negara mereka dalam tempoh lima tahun sebelum itu.

Zhang Yiming memohon maaf dan berjanji akan akur

toutiao ceo zhang yiming

Dalam permohonan maaf Zhang kerana 'merosakkan moral' masyarakat China, empat elemen menjadi keutamaan maaf beliau; Zhang mengakui kesilapan yang berlaku disebabkan dia dan ByteDance kurang kesedaran politik, kurang faham tentang situasi semasa, kurang prihatin dengan tradisi masyarakat serta tiada integriti dalam menjalankan amanah melindungi masyarakat.

Memikul tanggungjawab penuh, Zhang Yiming berjanji akan meletakkan empat asas ini dalam memacu ByteDance di masa depan serta hanya mengangkat nilai-nilai yang baik, agar selaras dengan niat usaha murni kerajaan China.

Dengan persetujuan itu, ByteDance telah melantik lebih ramai pekerja sebagai moderator bagi memastikan tiada kandungan yang anti China dapat disiarkan. Sistem mereka juga ditambah baik bagi memastikan kandungan 'tidak sepatutnya' terlepas.

Ini termasuklah apa saja kandungan berkaitan Winnie the Pooh, dipercayai mampu menyinggung perasaan Presiden China, Xi Jinping. Bukan saja Jinri Toutiao dan Neihan Duanzi mula ditapis agar selari dengan dasar kerajaan sepenuhnya, Douyin (nama TikTok di China) juga mula melalui proses sama.

Adakah TikTok dikawal kerajaan China?

pejabat tiktok china

Pada bulan September 2019, satu pendedahan berkenaan memo senarai topik yang dilarang di TikTok mula tersebar.

Antara isu yang tidak dibenarkan serta perlu segera dipadamkan melibatkan Tiananmen Square, lokasi insiden kekejaman tentera China pada tahun 1989, isu kemerdekaan Tibet, aktiviti gerakan Falun Gong serta beberapa isu lain mula dipadam dari kandungan.

Dalam memo tersebut, TikTok dilaporkan mengarahkan agar mana-mana perkongsian sensitif dikategorikan mengikut tahap sensitivitinya; sama ada perlu disekat dan hanya ditayangkan untuk diri sendiri atau lebih teruk, disekat, dipadamkan dan penggunanya perlu dinyah aktifkan.

Tidak lama untuk kita mendengar laporan pertama berkenaan pengguna TikTok mula dibuang akaun mereka. Satu kes melibatkan seorang wanita berusia 17 tahun bernama Feroza Aziz dari Amerika Syarikat memuatnaik video mengkritik layanan kerajaan China terhadap masyarakat Uighur pada 25 November tahun 2019, mencetuskan kontroversi.

Uniknya kes ini, video yang dimuat naik Feroza dibuat menyamar sebagai video tutorial solekan tetapi dialog yang diutarakan Feroza pula lebih berkait tentang sentimen anti China. Tigas hari selepas memuat naik video tersebut, akaun Feroza tidak lagi dapat diakses.

Selepas tidak dibenarkan memasuki akaunnya dan kes itu tular di media sosial, TikTok mengeluarkan kenyataan maaf atas kesilapan yang tidak disengajakan berlaku, dipercayai atas kecuaian moderator TikTok yang tersilap menghalang akses.

TikTok juga mengakui Feroza tidak melanggar sebarang garis panduan walaupun pada awalnya Feroza dipersalahkan kerana memuat naik kandungan yang bersifat sensitif.

Kenyataan TikTok cuba memperjelaskan bahawa Feroza pernah menggunakan akaun lain miliknya, memuat naik video berkaitan Osama bin Laden yang menyebabkan akaunnya perlu disekat.

Tidak jelas kenapa hanya selepas video kritikan ke atas layanan China ke atas masyarakat Uighur, barulah tindakan diambil.

Adakah China mahu anda jadi seperti mereka?

feroza aziz tutorial solekan

Dalam kontroversi ini yang didakwa medi barat sebagai bukti campurtangan kerajaan China mengawal penghasilan karya bukan warganegara mereka, TikTok menafikan sekeras-kerasnya tuduhan. 

TikTok mengakui mereka tidak perlu mengikut garis panduan yang ditetapkan kerajaan China kerana mereka beroperasi di luar China dan sebarang bentuk sekatan yang ada, hanya terpakai di China sahaja. Bagaimanapun, kenyataan tersebut nyata gagal meyakinkan orang ramai, khasnya pengguna TikTok seperti Feroza.

Daripada perspektif Feroza, dia melihat TikTok sebagai sebuah syarikat China yang dikongkong kerajaan mereka.

Bagi TikTok pula, syarikat mereka harus dilihat bebas beroperasi bukan sebagai sebuah syarikat China, tetapi sebagai sebuah syarikat antarabangsa yang bebas dan mengangkat kreativiti penggunanya tanpa sebarang sekatan.

Oleh sebab itulah pada ketika ini TikTok sedang giat menjalankan penstrukturan semula, mahu memadam terus persepsi mereka hanyalah 'syarikat China' yang dikawal kerajaan China; walaupun secara asasnya TikTok memang dimiliki syarikat China.

Kami tahu ramai pengguna TikTok di Malaysia.

Apa kata selain daripada memuat naik video anda menari, cuba anda selang-selikan video anda dengan video mengkritik kerajaan China serta cara mereka cuba menekan negara kita sempena mengambil inspirasi Feroza Aziz.

Sentuh semua topik panas seperti isu pulau Spratly, One Belt One Road, kemasukan pelancong China ke Malaysia yang gagal dikesan dan apa saja topik berkait. Dengan cuba mencabar kerajaan China, itu adalah langkah yang sangat baik untuk memperbaiki reputasi pengguna TikTok di negara kita, yang sedikit sebanyak tercalar kerap mempopularkan hiburan kosong semata-mata.




Hakcipta iluminasi.com (2017)