Sudah berbulan lamanya pandemik Covid-19 telah menimpa dunia dan gelombang jangkitan yang berlaku tampak belum ada kesan akan reda.
Jika ada pun, hanya reda sementara sebelum kealpaan manusia memulakan kembali rentetan-rentetan jangkitan seterusnya mengakibat jumlah kes dan korban meningkat semula.
Satu ketika dahulu, wujud segelintir pemimpin dunia yang lantang memperbodohkan usaha menangani pandemik yang berlaku. Bagaimana nasib mereka ketika ini?
BESARKAN TEKS A- A+
1. Boris Johnson
Nama Boris Johnson dan negara United Kingdom memulakan kontroversi pada fasa awal pandemik yang melanda, selepas negara itu mengumumkan rancangan mahu menjalankan teknik imuniti berkelompok bagi mencegah Covid-19.
Rancangan itu menimbulkan banyak pandangan khasnya kritikan daripada pakar perubatan yang menyifatkan apa yang cuba dicadangkan Johnson dan kerajaan UK, adalah sesuatu yang tak masuk akal.
Perancangan mereka untuk membenarkan jangkitan melanda warga UK bagi membolehkan imunisasi semulajadi terbentuk, akhirnya terkubur dan kerajaan UK menarik balik cadangan tersebut pada pertengahan bulan Mac tahun 2020. Dalam ucapan selepas itu, Johnson menyifatkan langkah yang bakal mereka perkenalkan bakal membuatkan pandemik di UK terhenti dalam masa 12 minggu. Kita tahu apa berlaku selepas itu.
Pada penghujung bulan Mac itu jugalah, Boris Johnson didapati positif Covid-19 sebelum dimasukkan ke unit rawatan rapi di hospital pada awal bulan April.
Dalam temuramah pada bulan Mei selepas pulih, Johnson menyifatkan ada detik di mana doktor yang merawat beliau sebenarnya sudah diarahkan bersedia untuk mengumumkan kematiannya.
2. Andres Manuel Lopez Obrador
Salah seorang pemimpin dunia yang memandang ringan Covid-19, adalah Presiden Mexico : Andres Manuel Lopez Obrador. Semasa pandemik melanda, dia masih giat menjalankan kempen-kempen politik serta menggalakkan rakyat Mexico berpesta, memeluk dan mencium penyokongnya.
Lawatan dan program yang sepatutnya dihadkan dijalankan seperti biasa sehinggakan nasihat pihak perubatan seolah-olah tidak diendahkan.
Apa yang membuat rakyat Mexico marah adalah satu insiden selepas pengarah keselamatan yang mengiringi beliau dalam pelbagai siri lawatan didapati positif jangkitan; membuatkan semua yang menyertai program-program perlu disaring bagi diuji wujud atau tidak jangkitan.
Tidak bagi Obrador. Dia memilih untuk tidak menjalankan ujian kerana pada dia, dia tidak sakit, dia sihat, dia menjaga diri dan dia mengamalkan penjarakan sosial - walaupun banyak bukti menunjukkan dia berdiri tidak jauh daripada individu yang sah dijangkiti.
3. Alexander Lukashenko
Menyarankan agar rakyat Belarus yang dijangkiti Covid-19 untuk pergi mandi sauna sambil minum vodka bagi membunuh virus jahat tersebut, Presiden Belarus, Alexander Lukashenko merupakan antara individu paling lantang memperbodohkan pandemik.
Belarus menjadi negara paling akhir di Eropah memperkenalkan kawalan pergerakan disebabkan kepercayaan Lukashenko, bahawa tidak ada virus yang perlu ditakuti. Semuanya hanya igauan yang direka-reka.
Selepas beberapa orang suspek positif jangkitan semasa siri lawatannya sekitar bulan Jun tahun 2020, Lukashenko terus kekal dengan sikap keras kepalanya enggan melakukan ujian...sehinggalah dia didapati positif Covid-19 pada penghujung bulan Julai.
Walaupun begitu tidak banyak yang diketahui tentang tempoh jangkitannya.
Apa yang didedahkan oleh Lukashenko sendiri adalah dia positif dan dia seorang yang tidak menampakkan sebarang simptom jangkitan. Yang paling penting, dia mahu rakyat Belarus nampak dia berjaya melawan jangkitan.
Banyak pihak menyalahkan Lukashenko atas kematian yang berlaku, kerana ramai yang percaya dengan kata-katanya bahawa Covid-19 tidak berbahaya. Walaupun bermacam kontroversi, Lukashenko terpilih sekali lagi menjadi presiden dalam pilihanraya bulan Ogos 2020 dengan memenangi lebih 80% undian.
4. Jair Bolsonaro
Walaupun Donald Trump seringkali digembar-gemburkan sebagai pemimpin dunia paling memandang mudah Covid-19, gelaran tersebut sebenarnya lebih layak diberikan kepada Presiden negara Brazil - Jair Bolsonaro.
Semasa pihak perubatan negaranya sedang kelam kabut cuba merawat pesakit yang hadir dalam jumlah besar, Bolsonaro menyifatkan jangkitan yang berlaku hanya ibarat 'selesema biasa.'
Menurut beliau juga, pandemik Covid-19 hanyalah ciptaan media untuk menakut-nakutkan orang ramai. Semasa negara mereka mula berdepan kesukaran, Bolsonaro mempertikaikan semua gabenor negeri yang memperkenalkan perintah kawalan.
Apa yang lebih menghairankan, selepas Bolsonaro disahkan positif jangkitan - dia bertindak untuk merakamkan aksinya dalam video membuka topeng muka bagi menunjukkan dia sebenarnya ok.
Dalam rakaman jelas menunjukkan dia sebenarnya sedang berada dalam kesakitan.
Selepas Bolsonaro dijangkiti dan pulih, isterinya Michelle Bolsonaro dan dua anak mereka turut sama mendapat jangkitan.
Apa yang memeranjatkan, selepas semua ini - tahap sokongan padanya dari masyarakat Brazil didapati meningkat selepas banyak bantuan kewangan dikeluarkan kerajaannya bagi membendung kesukaran orang ramai.
5. Donald Trump
Donald Trump dan isterinya Melania Trump disahkan positif Covid-19 pada awal Oktober tahun 2020, namun Trump memilih untuk melihat jangkitan terhadapnya dari sudut yang berbeza.
Dia menjalani kuarantin dan menggunakan pasukan medianya untuk memutarkan isu tersebut, memainkan mesej bahawa apa yang telah menimpa keluarganya adalah satu petunjuk Tuhan serta simbol bahawa Amerika Syarikat perlu bersatu dalam segala isu.
Minggu berikutnya, anak mereka yang berusia 14 tahun disahkan positif.
Semua itu berlaku selepas berbulan-bulan lamanya Trump menyebarkan pelbagai mesej salah, menggesa agar rakyat Amerika Syarikat tidak mengendahkan ancaman pandemik yang didakwanya "akan berakhir pada bulan April" sejak mula.
Sejak awal Trump menyampaikan mesej seandainya ekonomi Amerika Syarikat ditutup, jumlah kematian yang akan berlaku bakal lebih tinggi. Trump juga direkodkan menyatakan 99% kes Covid-19 adalah tidak berbahaya pada bulan Julai 2020.
Selain itu Trump juga lebih gemar menyalahkan pihak-pihak lain khasnya pentadbiran Barrack Obama serta badan kesihatan negara mereka atas beberapa perubahan, yang didakwa beliau mengakibatkan jangkitan berlaku.
Pada 20 Oktober 2020, Trump mengatakan pakar perubatan Anthony Fauci yang ditugaskan mengetuai pasukan perubatan melawan Covid-19, sebagai seorang dungu kerana masih cuba mengingatkan orang ramai tentang bahaya jangkitan.
Bagi Trump, warga Amerika Syarikat sudah bosan dengan ancaman Covid-19 dan pihak perubatan sepatutnya berhenti menakut-nakutkan orang ramai.