negara yang hidup dalam buangan

Konflik politik sehingga perebutan kuasa sudah diketahui memecah-belahkan masyarakat. 

Vakum kuasa yang terhasil setelah tampuk pemerintahan dikosongkan, menyebabkan banyak pihak berebut mengisinya.

Dalam sesetengah kes unik, pihak kerajaan yang sepatutnya mentadbir berjaya diusir digantikan dengan pengusirnya, memaksa bekas kerajaan yang ada 'hidup' dalam buangan. Benarkah wujud situasi-situasi sebegini? Memang ada.

Berikut adalah lima kerajaan yang ditendang keluar walaupun sebenarnya boleh mendabik dada sebagai kerajaan yang sah.

1. Kerajaan Demokratik Republik Arab Sahrawi

wakil kerajaan arab sahrawi

Kerajaan Demokratik Republik Arab Sahrawi atau SADR merupakan kerajaan yang sedang menguasai sebahagian kecil bahagian barat Sahara. 

SADR masih menuntut keseluruhan kawasan Sahara Barat daripada kerajaan Maghribi. 

Semuanya bermula selepas penjajah Sepanyol meninggalkan kawasan yang dikuasai mereka dari tahun 1884 sehinggalah 1976, ketika itu dinamakan Sahara Sepanyol.

Gerakan Polisario, sebuah pertubuhan pemberontakan ditubuhkan masyarakat setempat bagi mendesak kawasan tersebut dibebaskan melalui peperangan bersenjata - dengan tujuan menubuhkan sebuah negara merdeka di situ.

Atas penentangan yang agresif, Sepanyol kehilangan kawalan ke atas beberapa pecahan kawasan itu tetapi Sepanyol bijak mencatur strategi.

Selepas kerajaan Maghribi dan Mauritania mendesak Sahara Sepanyol dipulangkan kepada mereka, Sepanyol melepaskan hak ke atas kawasan tersebut, membolehkan Maghribi dan Mauritania membahagikan kawasan itu sesama mereka. 

Tidak setuju dengan tindakan Sepanyol menyerahkan bahagian barat Sahara kepada Maghribi dan Mauritania, Polisario melalui SADR mengisytiharkan kemerdekaan Sahara Barat.

Mereka juga meneruskan peperangan dengan kedua-dua buah kerajaan. Konflik ini berpanjangan sehingga memaksa Mauritania melepaskan kedudukan mereka di situ. 

Kini SADR masih menguasai kira-kira 20% daripada keseluruhan kawasan yang dituntutnya, mentadbir dari Tindouf, Algeria.

Pada 14 November 2020, pemerintah SADR mengumumkan gencatan senjata yang telah berlangsung selama 29 tahun bakal ditamatkan, bagi menyambung semula konflik tuntutan mereka ke atas kawasan itu daripada kerajaan Maghribi.

2. Kerajaan Republik China

republik china taiwan

Republik China (ROC) yang mentadbir Pulau Taiwan masih meletakkan diri mereka sebagai pemerintah negara China yang sah, sehingga ke hari ini.

Isu ini merupakan antara kemelut terbesar yang sedang dihadapi kerajaan China.

Kuasa pemerintahan ke atas pulau itu pada awalnya telah diserahkan kepada Empayar Jepun pada tahun 1895.

Ekoran tindakan itu masyarakat setempat yang enggan menerima pendudukan Jepun, menubuhkan Republik Formosa tetapi ditewaskan Jepun selepas perang selama beberapa bulan.

Taiwan duduk di bawah pemerintahan Jepun selama lebih lima dekad, sebelum Jepun menyerah kalah dalam perang dunia kedua.

Tertewas memaksa Jepun menyerahkan Pulau Taiwan kepada Republik China, pada tahun 1945.

Bagaimanapun Republik China yang ketika itu sudah beberapa dekad berdepan kemelut ancaman parti Komunis China, tewas dalam perang saudara secara rasmi pada tahun 1949.

Daripada menguasai seluruh China, Republik China terpaksa melarikan diri ke Pulau Taiwan, menjadikan pulau kecil itu sebagai pusat pemerintahan mereka yang baru.

3. Kerajaan kepada Republik Yaman

presiden yaman yang digulingkan

Perang saudara di antara kerajaan Yaman di bawah pimpinan Abdrabbuh Mansur Hadir dengan kumpulan pemberontakan Houthi mencapai kemuncak pada penghujung tahun 2014; selepas kumpulan pemberontak itu berjaya mengambil alih ibu negara Yaman, Sanaa.

Gerakan Houthi atau nama rasminya 'Ansar Allah' merupakan sebuah kumpulan militan berasaskan ajaran Syiah yang muncul sejak dekad 90-an.

Bermula sebagai sebuah kumpulan dakwah moderat, gerakan Houthi akhirnya berkembang menjadi sebuah gerakan militan yang mahu mengambil alih negara itu. 

Akibat daripada kejatuhan ekonomi yang menyebabkan harga barang keperluan harian meningkat serta pengurangan subsidi petrol, gerakan Houthi mula bangkit menganjurkan protes besar-besaran anti kerajaan pada 18 Ogos 2014. 

Bimbang dengan kebangkitan yang ditonjolkan, kerajaan Yaman menawarkan perjanjian kerjasama yang dipersetujui pimpinan gerakan Houthi, dimeterai pada 21 September 2014.

Walau bagaimanapun Gerakan Houthi melanggar perjanjian ini, bertindak menyerang dan mengepung kawasan kediaman rasmi Presiden Yaman pada bulan Januari 2015. 

Abdrabbuh Mansur Hadi berjaya ditawan, bertindak meletak jawatan bersama barisan kabinetnya.

Bagaimanapun selepas satu operasi yang dibantu perisik Arab Saudi, Abdrabbuh berjaya melarikan diri dari kurungan sehingga hadir di Arab Saudi.

Dia mengumumkan bahawa dia dan kabinetnya masih merupakan pemegang jawatan kuasa yang sah - meneruskan urusan pentadbiran kerajaan Yaman secara rasmi dari Riyadh.

Dengan bantuan Arab Saudi, beberapa kawasan yang dikawal Houthi berjaya diambil semula. Bagaimanapun kedudukan Houthi dibeberapa kawasan kubu kuat mereka sukar ditembusi.

Usaha untuk mencapai solusi kepada konflik ini dikatakan sukar, kerana tiada pihak mahu beralah. 

Kerajaan Yaman terus dibantu Arab Saudi dan Emiriyah Arab Bersatu melalui siri-siri serangan udara.

Dibimbangi seandainya keseluruhan Yaman berjaya dikuasai puak Houthi, Yaman bakal menjadi salah satu sekutu kuat Iran di rantau itu.

4. Kerajaan Perpaduan Republik Myanmar

aung san suu kyi myanmar rampasan kuasa

Pilihanraya umum yang dilangsungkan pada 8 November 2020, menyaksikan Myanmar melalui pimpinan Aung San Suu Kyi kembali mendapatkan mandat bagi menubuhkan kerajaan, meneruskan rentak kemenangan yang dicapai pilihanraya sebelum itu. 

Walaubagaimanapun, keputusan pilihanraya itu didakwa tidak sah oleh beberapa pihak membolehkan pihak tentera Myanmar iaitu Tatmadaw menggunakan kuasa mereka yang terkandung dalam perlembagaan - untuk mengambil alih kuasa bagi tempoh setahun.

Pengisytiharan rampasan kuasa itu pula dibuat sehari sebelum majlis mengangkat sumpah kerajaan baru Myanmar sempat dilangsungkan.

Selepas mengambil alih kuasa secara rasmi bermula 1 Februari 2021, Tatmadaw mengumumkan perintah darurat setahun dilaksanakan di seluruh negara di bawah pemerintahan Jeneral Min Aung Hlaing, sementara menunggu pilihanraya semula diadakan.

Nama-nama besar yang memenangi pilihanraya dan sepatutnya mengangkat sumpah sebagai wakil kerajaan baru, mula berdepan dakwaan sehingga diheret ke mahkamah.

Bagi calon Presiden Myanmar yang sepatutnya mengangkat sumpah Win Myint, dia disabitkan kesalahan menganjurkan perhimpunan ketika pandemik - dikenakan hukuman penjara 3 tahun.

Aung San Suu Kyi yang sepatutnya naik sebagai Canselor, disabitkan kesalahan serupa yang membawa hukuman penjara 4 tahun.

Pada 10 Januari 2022, hukuman tambahan sebanyak 4 tahun dikenakan ke atas tokoh wanita itu, selepas Suu Kyi dilaporkan cuba menyeludup masuk alat perhubungan ketika dalam tahanan.

5. Kerajaan Demokratik Republik Belarus

presiden rada bnr belarus

Kini beroperasi dari Ottawa, Kanada - Kerajaan Demokratik Republik Belarus yang lebih dikenali dengan nama Rada BNR, merupakan sebuah kerajaan tidak rasmi yang ditubuhkan sejak tahun 1918. 

Kisah penubuhan kerajaan ini cukup unik.

Selepas penubuhan Republik Russia pada tahun 1917, pemimpin masyarakat di Belarus menubuhkan majlis penasihat kebangsaan bagi menentukan hala tuju masyarakat mereka; sama ada untuk menyertai Russia sebagai sebuah wilayah autonomi atau merdeka sebagai sebuah negara berdaulat.

Bagaimanapun malangnya pada 16 Februari 1918 ketika usaha giat sedang dijalankan, Minsk, ibu negara Belarus jatuh ke tangan tentera Jerman.

Sebagai tindak balas ke atas kejutan itu, majlis penasihat kebangsaan Belarus mengumumkan pembentukan dasar perlembagaan masyarakat mereka yang pertama seterusnya mengisytiharkan organisasi kelolaan mereka sebagai satu-satunya badan kerajaan yang sah di Belarus.

Pihak Jerman bertindak mengabaikan pengisytiharan itu, mula berunding terus dengan Russia bagi menentukan kedudukan sebenar Belarus.

Satu pengumuman kerjasama di antara Jerman dan Russia yang dibuat pada 3 Mac 1918 menyebabkan nasib orang Belarus ditentukan kuasa luar.

Takut dengan ancaman yang bakal berlaku, badan kepimpinan Belarus mengumumkan kemerdekaan negara mereka dengan penubuhan Republik Rakyat Belarus pada 25 Mac 1918. 

Bagaimanapun, pengsiytiharan itu pasti mengundang amarah - apatah lagi apabila apabila melibatkan dua kuasa dunia ketika itu.

Disebabkan oleh status sebagai sebuah kerajaan yang kecil serta belum dipilih oleh proses undian formal yang boleh mengabsahkan tuntutan mereka, Rada BNR memilih untuk keluar dari Belarus menjadikan Lithuania sebagai pusat pentadbiran sementara.

Terus aktif menjalankan kempen penubuhan Republik Belarus melalui proses diplomasi sehingga ke hari ini, wakil Rada BNR kini sudah ditempatkan di Amerika Syarikat, Kanada, United Kingdom dan beberapa negara lain bagi melobi pengiktirafan kerajaan mereka.

Daripada berpengkalan di Lithuania, Rada BNR berpindah ke beberapa negara lain sebelum beroperasi sepenuhnya dari Kanada sejak dekad 80-an.



Hakcipta iluminasi.com (2017)