Anda pasti pernah mendengar dan terbaca tentang istilah 'kambing hitam' atau dalam bahasa Inggeris disebut sebagai 'scapegoat'. Istilah kambing hitam ini merujuk kepada individu, kumpulan, haiwan atau benda tidak bernyawa yang dipersalahkan atas sesuatu kesalahan yang dilakukan oleh orang lain.

kambing hitam dikambinghitamkan scape goat

Sebagai contoh, seorang pendatang baru bernama Si Polan di kampung A telah dituduh mencuri haiwan ternakan penduduk tempatan sedangkan dia tidak melakukannya. Dalam hal ini, Si Polan telah dijadikan kambing hitam. 

Mempertahankan ego memainkan peranan penting dalam kes kambing hitam ini di mana perasaan tidak selesa seperti marah, kecewa, iri hati, rasa bersalah, malu dan tidak selamat dilepaskan ke atas orang lain. Orang yang menjadi kambing hitam pula biasanya adalah orang luar, pendatang, minoriti dan mereka yang mudah diinaya.

Asal-usul kambing hitam

kisah kambing hitam dalam bible

Namun, apakah sebenarnya yang dilakukan oleh kambing (haiwan yang tidak bersalah) sehingga dikaitkan dengan mereka yang dipersalahkan atas sesuatu kesalahan palsu ini? Berikut adalah asal-usul perkataan kambing hitam atau scapegoat.

Perkataan scapegoat atau kambing hitam ini pertama kali dicipta oleh sarjana Protestan Inggeris bernama William Tyndale dalam terjemahan Bible yang dihasilkan pada tahun 1530.

Menurut David Dawson dalam buku yang diterbitkannya pada 2013 "Flesh Becomes Word : A Lexicography of the Scapegoat Or, the History of an Idea", Tyndale mendapat perkataan kambing hitam itu ketika menafsirkan satu deskripsi Ibrani (Hebrew).

Yom Kippur

upacara scapegoat yom kippur

Deskripsi Ibrani yang dimaksudkan itu menceritakan tentang upacara Yom Kippur dari Kitab Leviticus, di mana salah seekor daripada dua kambing telah dipilih oleh orang ramai.

Dalam upacara itu, seorang paderi besar akan meletakkan tanggannya di atas kepala kambing yang terpilih. Dia kemudian akan mengaku semua dosa-dosa yang dilakukan oleh seluruh umatnya.

Dengan melakukan perkara itu, seluruh dosa dipercayai telah dipindahkan ke atas kambing itu sebelum haiwan itu dihalau keluar jauh ke tanah gersang. Manakala kambing yang seekor lagi pula akan dijadikan korban kepada Tuhan.

Azazel

ritual yom kippur scapegoat

Tyndale mencipta perkataan scapegoat atau kambing hitam untuk menggambarkan makhluk yang menanggung dosa itu daripada perkataan Ibrani iaitu 'Azazel', 'Ez Ozel' atau "La-Za-Zey" yang bermaksud "kambing yang berpisah atau terlepas". Ada juga rekod yang mengatakan ia diambil dari perkataan "Saʿir La-ʿazaʾzel" (kambing untuk Azazel).

Sesetengah sarjana Kristian tidak bersetuju dengan Tyndale kerana mendakwa bahawa Azazel sebenarnya adalah nama syaitan yang menyerupai kambing liar, di mana korban yang digunakan dalam upacara Yom Kippur adalah dilakukan untuknya.

Selama berabad-abad lamanya, perkataan kambing hitam atau scapegoat dilihat tidak berhubung kait dengan makna sebenar dalam kitab Bible. Akhirnya, ia lebih kerap digunakan sebagai metafora untuk menggambarkan orang-orang yang disalahkan atas kesalahan orang lain.

kristian percaya jesus adalah lamb of god

Kristian percaya Jesus adalah Lamb of God yang akan menanggung dosa semua umat

Dalam pandangan Kristian, proses korban ini lebih merujuk kepada pengorbanan Jesus yang disalib di mana Tuhan menggambarkan sesuatu dosa itu dapat dibebaskan.

Jesus yang juga mendapat gelaran "Lamb of God" dilihat memenuhi semua ciri-ciri yang disebutkan dalam kitab. Orang Kristian percaya bahawa orang berdosa yang rasa bersalah serta mengaku kesalahan mereka, beriman dan percaya kepada orang lain akan diampuni melalui pengorbanan yang dilakukan Jesus.

Upacara yang serupa dalam budaya lain

kambing hitam 2

Pada zaman Syria Purba, satu konsep yang sangat mirip dengan upacara kambing hitam Yom Kippur dibuktikan dalam teks lama yang dipercayai dihasilkan pada 2400 SM. Ritual itu dilakukan sewaktu majlispernikahan raja-raja. 

Dalam upacara itu, seekor kambing betina yang dipakaikan dengan rantai perak akan dihalau oleh komuniti penduduk ke satu lembah tandus. Kambing itu tidak menanggung dosa manusia tetapi ia dipercayai sebagai kenderaan kejahatan.

Masyarakat Greek Purba juga melakukan satu upacara seumpama ritual scapegoat. Pelbagai kaedah ritual yang dilakukan di seluruh Greek Purba tetapi biasanya ia dijalankan ketika berlakunya kebuluran, kemarau atau wabak penyakit yang teruk.

greek purba

Walau bagaimanapun, kambing hitam dalam ritual Greek Purba tidak menggunakan haiwan. Mereka sebaliknya menggunakan individu bersosial rendah seperti penjenayah, hamba atau orang miskin.

Menurut kisah mistik Greek Purba, seseorang yang berkedudukan tinggi sepatutnya dijadikan korban untuk kebaikan seluruh kaum (biasanya raja atau putera raja). Namun, memandangkan tiada raja atau orang penting yang sanggup berkorban, mereka memilih seseorang dari kedudukan paling rendah.

Korban biasanya akan diberi layanan istimewa seperti dipakaikan dengan pakaian cantik dan diberi jamuan mewah sebelum upacara dilakukan. Korban kemudian akan dibawa berarak mengelilingi dinding kota sebelum diusir dengan membaling batu ke arahnya. Di sesetengah tempat, ada korban yang akan dijamu selama setahun sehingga bencana yang berlaku hilang.

Rujukan:

1. Mengapa kita memanggil orang kena tuduh sebagai Kambing Hitam?

2. Asal-usul perkataan Kambing Hitam

3. Perkataan Kambing Hitam diambil sempena upacara purba



Hakcipta iluminasi.com (2017)