Sekiranya anda gemar menonton filem dokumentari mengenai haiwan seperti di National Geographic, anda mungkin pernah melihat dokumentari mengenai satu spesis kambing yang mempunyai kemampuan unik berjalan di tebing-tebing gunung dan empangan yang curam.

Dengan kecuraman sebegini, tidak banyak haiwan yang mampu berjalan di atasnya dengan selamat. Walau bagaimanapun, bagi kambing daripada spesis Alpine Ibex atau Ibex, berjalan di kawasan merbahaya dan curam seperti ini merupakan satu keperluan dan kebiasaan pada mereka.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Kehidupan di kawasan tanah tinggi

kambing alpine ibex 823

Kambing Ibex hidup di kawasan pergunungan Alps di Eropah. Mereka hidup di kawasan pergunungan yang curam pada altitud antara 2000 hingga 3000 meter daripada aras laut. Pada ketinggian ini, tiada pemangsa kambing Ibex yang mampu hidup, menjadikan mereka lebih bebas dan mudah membiak.

Walau bagaimanapun, haiwan tidak berada pada ketinggian ini sepanjang masa memandangkan kesukaran untuk mendapatkan makanan pada ketinggian seperti ini. Pada musim bunga dan musim panas, kambing ini berhijrah ke kawasan yang lebih rendah dimana terdapatnya tumbuhan konifer dan padang rumput yang merupakan makanan utamanya.

Oleh itu, sebelum tibanya musim sejuk, haiwan ini akan makan dengan banyak dan menyimpan lapisan lemak yang tebal untuk mengharungi musim sejuk berbulan lamanya. Apabila musim sejuk tiba, haiwan ini akan mendaki dan tinggal di kawasan yang lebih tinggi.

Keperluan mendapatkan garam semulajadi

kambing panjat bukit

Seperti haiwan herbivor yang lain, kambing Ibex mengalami kekurangan garam dan pelbagai mineral penting yang lain melalui pemakanan rumput. Bagi haiwan ternakan, pemilik haiwan biasanya akan menyediakan keperluan ini kepada haiwan ternakan mereka. Walau bagaimanapun, bagi haiwan liar seperti kambing Ibex, mereka perlu kreatif dan berdikari mendapatkan sendiri keperluan garam dan mineral ini.

Oleh itu, haiwan ini perlu mencari sumber lain bagi mendapatkan garam dan mineral yang lain ini.  Pada musim bunga, apabila keperluan garam adalah yang tertinggi, Ibex boleh dilihat menjilat permukaan batu untuk mendapatkan garam terlarut daripada batu tersebut.

Permukaan tebing empangan secara semulajadinya mempunyai sumber garam dan mineral yang sangat diperlukan oleh haiwan ini. Dinding empangan terdiri daripada konkrit dan konkrit ini biasanya akan menghasilkan mineral kalsium-aluminium yang dipanggil ettringite sebagai sebahagian daripada proses pengawetan.

kambing panjat gunung

Ettringite boleh terhasil daripada konkrit yang membentuk dinding empangan kerana tekanan kimia atau termik yang dialami oleh konkrit itu sendiri. Oleh kerana ettringit adalah garam dan sebahagiannya larut dalam air, air daripada empangan boleh melarutkannya dan menjadikannya menempel di permukaan empangan.

Dalam kajian yang dilakukan, dianggarkan kira-kira 20% daripada konkrit keras terdiri daripada mineral yang dikenali sebagai ettringit ini. Menariknya, hanya haiwan yang mempunyai kelebihan unik seperti kambing Ibex sahaja yang mampu memanfaatkan mineral ettringite ini.

Walaupun kajian yang dilakukan sangat terhad dalam topik ini, tiada kerosakan pada dinding empangan yang dilaporkan setakat ini akibat daripada tindakan haiwan ini "memakan" mineral ettringit ini.

Keunikan struktur tapak kaki

kambing ibex pakar hiking

Ibex adalah antara satu-satunya haiwan yang dapat mengeksploitasi sumber garam ini. Berbanding dengan haiwan lain, Ibex adalah pendaki yang luar biasa dan kemampuan mendaki di tebing curam ini banyak dibantu oleh keunikan struktur kaki dan kukunya.

Kuku Ibex terdiri daripada dua jari kaki yang boleh bergerak secara bebas. Bahagian bawah setiap jari kaki terdiri daripada bahagian luaran yang kuat dan bahagian dalaman yang lembut yang membolehkan Ibex memegang pada permukaan yang sangat sempit.

Walau bagaimanapun, tidak semua Ibex mampu mendaki dinding empangan yang curam ini. Kambing Ibex jantan dewasa kebiasaannya tidak mampu berjalan di kawasan yang curam ini disebabkan berat badan mereka. Malah, tanduk pada kambing Ibex jantan juga menyukarkan haiwan ini berdiri di dinding dengan sudut yang diperlukan untuk menjaga keseimbangan. 

Empangan Cingino di bahagian utara Itali yang tidak jauh daripada sempadan Swiss merupakan antara tempat anda boleh melihat kewujudan haiwan ini di dinding empangan tersebut. Selain itu, antara tempat lain yang boleh dilihat kewujudan haiwan ini adalah empangan Barbellino di Lombardy dan empanga Lago della Rossa di Piemonte.

Kredit: 

  1. Penn State University
  2. Water Power Magazine
  3. Wikipedia



Hakcipta iluminasi.com (2017)