Sekiranya penulis sebutkan 'bas sekolah' kepada anda, pasti anda akan membayangkan bas berwarna kuning dengan jalur-jalur hitam.

Warna kuning dengan jalur hitam itu sudah menjadi warna rasmi atau standard bagi mewakili bas atau kenderaan lain seperti van, yang digunakan sebagai pengangkut pelajar untuk pulang atau hadir ke sekolah.

Anda mungkin boleh jelaskan kenapa warna kuning dipilih tetapi persoalan yang lebih misteri; kenapa perlunya jalur hitam itu dilukiskan pada badan bas atau van?

BESARKAN TEKS     A-  A+

Apa garis panduan warna bas di negara kita?

bas sekolah cm377

Kenderaan yang digunakan sebagai kenderaan komersial seperti bas dan van, perlu mematuhi banyak syarat yang telah ditetapkan oleh badan penguatkuasa sebelum dibenarkan beroperasi di atas jalan raya.

Bas persiaran misalnya perlu dicat dengan warna asas putih dan 1/3 di semua bahagian badannya perlu diwarna dengan warna hijau konifer.

Bas atau van untuk kumpulan pekerja pula secara asasnya perlu diwarnakan dengan warna biru yang dikenali sebagai 'datsun blue light', dengan hanya kelulusan khas akan diberikan kepada kenderaan kegunaan korporat untuk penggunaan warna berbeza.

Garis panduan bagi warna bas sekolah di negara kita pula memerlukan pengusaha mengecat kenderaan milik mereka dengan warna 'amber' serta memaparkan perkataan 'BAS SEKOLAH', ditulis dengan huruf besar berwarna hitam.

Tulisan itu pula perlulah disertakan dengan dua garisan di atas dan di bawah dengan jarak di antara kedua-dua garisan mestilah sekurang-kurangnya 460 mm.

Bagaimanapun (!!) sekiranya kita hanya bergantung dengan garis panduan yang dikeluarkan di negara kita - tidak jelas kepentingan jalur itu yang sebenar.

Kenapa perlu garis hitam pada badan bas?

yellow school bus kuning

Jadi kenapa jalur pada badan bas perlu dilukiskan?

Bagi pengusaha-pengusaha bas sekolah di negara luar seperti Amerika Syarikat misalnya - jalur hitam yang dicatkan pada badan bas itu sebenarnya menjadi indikator keselamatan penting pada mereka.

Bas sekolah di Amerika Syarikat memerlukan pengusaha untuk mewarnakan tiga jalur hitam pada bahagian badan bas yang dikenali sebagai 'rub rails.'

rub rail bas sekolah amerika syarikat

Namun 'rub rails' yang diletakkan sebenarnya bukanlah sekadar cat sahaja seperti majoriti bas di Malaysia.

'Rub rails' merupakan besi tambahan yang menampung struktur badan bas, diperbuat daripada keluli. Kebiasaannya ada 3 'rub rails' dipasang pada badan bas sekolah di setiap kiri dan kanan badan bas.

Fungsi 'rub rails' selain daripada mengukuhkan struktur badan bas daripada impak kemalangan, adalah sebagai perisai perlindungan untuk mengelakkan kesan calar teruk pada badan bas sekiranya pemandu gagal membelok dengan sempurna.

Tiga 'Rub rails' dipasang pada badan bas biasanya dicatkan warna hitam, yang sebenarnya mempunyai fungsi tersendiri juga.

Kenapa warna hitam?

jalur hitam pada bas sekolah

Kedudukan 'rub rails' di bas sekolah Amerika Syarikat sebenarnya berbeza-beza mengikut model. Ini kerana 'rub rails' yang dicatkan dengan warna hitam turut sama bertindak sebagai indikator bagi menunjukkan kedudukan ruangan penumpang dalam bas.

3 jalur hitam yang dicatkan mempunyai maksud yang berbeza.

Jalur paling atas menandakan pertengahan kedudukan tubuh seseorang pelajar sekiranya dia duduk di kerusi bas.

Jalur pertengahan pula menandakan kedudukan alas kerusi penumpang. Sementara jalur paling bawah pula dicat selari dengan lantai bas tersebut, menjadi indikator kedudukan lantainya.

Kenapa perlu ditandakan 3 kedudukan ini?

Dalam kes-kes kecemasan di mana pihak bomba perlu memotong badan bas bagi menyelamatkan mangsa kemalangan, anggota yang bertugas mempunyai idea jelas tentang rekaan struktur badan bas serta kedudukan mangsa hanya berdasarkan kepada 3 jalur visual yang ada.

Selain itu, sebarang kemek atau kesan remuk yang berlaku di bawah bahagian bawah lantai bas dianggap tidak kritikal kerana tidak membahayakan nyawa penumpang.

bantuan bas sekolah

Bukan semua negeri di Amerika Syarikat mewajibkan 'rub rails' diwarnakan hitam namun pemasangan 'rub rails' diwajibkan berdasarkan kepada tiga kedudukan di atas, bagi memudahkan kerja keselamatan dilakukan.

Berdasarkan pembacaann penulis, penulis tidak nampak sebab sama digunapakai penguatkuasa undang-undang kita, di mana kita tidak mewajibkan pemasangan rub rails dan jalur hitam bas pula hanya diwarnakan atas sebab kosmetik.

Susun atur jalur hitam pada badan bas sekolah di negara kita juga dapat dilihat berbeza-beza, bergantung dengan kedudukan tulisan 'BAS SEKOLAH' yang lebih dijadikan keutamaan utama.

Sekiranya anda tahu punca kenapa kerajaan kita mewajibkan bas dicat jalur hitam, kongsikan pada kami. 




Hakcipta iluminasi.com (2017)