Industri elektronik China akan disebut sekiranya isu berkenaan tekanan kerja yang mengakibatkan kemurungan sehingga berlakunya bunuh diri dibangkitkan.

Nama pengeluar gergasi elektronik seperti Foxconn dirujuk sebagai contoh budaya kerja buruk, diburukkan lagi dengan stigma ketidak pedulian pengusaha di negara itu dalam menjaga kebajikan pekerja mereka.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Walaupun demikian - percaya tak, insiden paling dahsyat melibatkan kes bunuh diri pekerja akibat desakan syarikat sebenarnya berlaku di Perancis? Lebih mengejutkan kes itu melibatkan bekas jabatan awam negara itu iaitu France Telecom.

Tekanan mental dan kemurungan yang menjadi-jadi

notis tunjuk perasaan france telecom

Pada bulan Januari tahun 2008, satu ke bunuh diri yang berlaku di Marseille melibatkan seorang pekerja lelaki berusia 51 tahun mengejutkan semua pihak, akibat dari sepucuk nota tulisan mendiang yang menyalahkan France Telecom sebagai punca.

Siasatan pihak berkuasa Perancis mula menyiasat kembali rentetan-rentetan kes hampir serupa yang berlaku sebelum itu dalam tempoh 3 tahun.

Penyiasatan mereka mendapati dalam tempoh 3 tahun - dari tahun 2006 sehinggalah 2009, 19 orang pekerja France Telecom telah membunuh diri, 12 orang cuba membunuh diri dan 8 orang mempunyai rekod perubatan berhadapan kemurungan kritikal.

Laporan media pula menunjukkan tidak lama sebelum kes bunuh diri lelaki itu, seorang juruteknik telah bertindak menikam diri sendiri ketika dalam mesyuarat selepas diberitahu dia akan dilepaskan dari pekerjaan.

Kes bunuh diri itu menjadi petunjuk awal yang sahih wujudnya hubungan buruk di antara budaya kerja yang diamalkan France Telecom sehingga memberi kesan besar kepada tahap kesihatan mental pekerja mereka.

Pencarian rekod-rekod lebih lama juga menemui situasi sama.

Pada tahun 2002, 23 orang bertindak membunuh diri sementara dalam tahun 2003, 22 orang bertindak nekad serupa.

Kes kematian lelaki itu yang berlaku awal tahun 2008 walaupun mendapat liputan luas media tidak menghentikan masalah yang nyata berleluasa. 22 orang lagi pekerja France Telecom menamatkan hayat mereka dalam tahun sama dengan bermacam cara.

Perubahan teknologi yang gagal diselia

masalah hutang france telecom

Berbeza dengan negara kita yang dapat menyelia dengan baik pertukaran status Telekom Malaysia daripada sebuah jabatan kepada sebuah syarikat awam, nasib France Telecom jauh berbeza.

Pada penghujung dekad 1990-an, kerajaan Perancis mula melonggarkan monopoli France Telecom dalam industri telekomunikasi tempatan, membolehkan syarikat-syarikat luar masuk ke dalam pasaran Perancis untuk bersaing secara terbuka.

France Telecom yang pada ketika itu masih bergantung majoritinya dengan talian dalam tanah, mula perlu menangani perubahan teknologi yang mendadak berlaku disebabkan pengenalan teknologi komunikasi tanpa wayar.

Bimbang ketinggalan, France Telecom mengeluarkan pelaburan secara agresif membeli teknologi tersebut pada harga tinggi.

Walaupun demikian, syarikat itu gagal meramal kejatuhan industri dot-com sehingga mengakibatkan kejatuhan nilai saham syarikat tersebut yang akhirnya mula menggigit mereka.

Berdepan kerugian teruk

france telecom suicide case

Nilai kerugian yang dialami France Telecom pada tahun 2001 adalah 8.3 billion EUR, dicatatkan sebagai kerugian kedua terbesar melibatkan syarikat di Perancis tahun tersebut.

Situasi ini mengakibatkan hutang syarikat itu mula meningkat, akhirnya berada pada tahap 71 billion EUR - tiga kali ganda nilai sebenar syarikat itu. Usaha untuk menyelamatkan France Telecom mula diperkenalkan, dengan kaedah mengurangkan jumlah pekerja yang kekal berkhidmat sebagai solusi utama.

Walau bagaimanapun France Telecom berdepan kesukaran besar, disebabkan oleh status majoriti pekerja di bawah kendalian mereka.

Majoriti pekerja di bawah France Telecom adalah kumpulan penjawat awam yang telah berkhidmat semasa France Telecom masih bergelar sebuah jabatan kerajaan - mengakibatkan kontrak yang ditandatangani oleh pekerja bersikap kekal.

Perjanjian lama itu juga menyebut pekerja tidak boleh sewenang-wenangnya ditamatkan walaupun untuk mengurangkan kos. Bagi mencapai jumlah sasaran pekerja yang perlu diturunkan, kumpulan pekerja France Telecom mula digalakkan untuk mengambil pakej persaraan awal yang telah diperkenalkan pada tahun 1996.

Kempen itu berjaya mengurangkan jumlah pekerja mereka seramai lebih 40,000 orang namun angka itu belum cukup untuk menyelamatkan syarikat itu. Untuk menunggu pekerja membuat keputusan sendiri berhenti pula, memakan masa menambahkan lagi nilai kerugian.

Langkah drastik perlu diperkenalkan.

CEO France Telecom yang dilantik tahun 2005, Didier Lombard mengisytiharkan France Telecom tidak lagi mampu melindungi kumpulan pekerja di bawahnya ekoran desakan hutang yang besar.

Dalam mesyuarat yang dihadiri lebih 200 orang eksekutif atasan, Lombard mengumumkan sebanyak 22,000 jawatan perlu dikosongkan secara berkala dan berikrar demi menyelamatkan France Telecom, dia akan menggunakan apa saja cara sekalipun - walaupun perlu berkeras.

Budaya kerja 'baru' diperkenalkan

nasib pekerja france telecom

Bahagian pengurusan mula dilatih untuk menukarkan budaya kerja lama mereka kepada bentuk yang lebih agresif.

Pekerja-pekerja yang disasarkan untuk pemberhentian, mula diberikan kerja-kerja tambahan pada tahap yang tak masuk akal hanya untuk membuatkan mereka mengalah.

Sekiranya pekerja gagal menyiapkan kerja-kerja tambahan yang ada, rekod prestasi mereka di atas kertas akan dicatatkan sebagai 'negatif' serta disenaraikan sebagai pekerja kurang produktiviti.

Untuk pekerja-pekerja lebih senior khasnya dalam bidang kejuruteraan, mereka distrukturkan semula untuk bertugas dalam bidang komersial. Jurutera-jurutera ini akan diletak dalam divisyen jualan, diarahkan untuk melakukan panggilan telefon ibarat seorang jurujual setiap hari.

Bagi kumpulanan pengurus yang tidak bernasib baik, mereka akan dipindahkan ke cawangan-cawangan berjauhan dari rumah atas alasan keperluan syarikat. Majoriti pengurus ini rata-ratanya selepas ditukar, tidak lagi mengetuai apa saja divisyen serta dikatakan sengaja diabaikan rakan sepejabat yang baru.

Demi menjimatkan kos, pakej persaraan awal yang telah diperkenalkan ditarik balik.

Strategi baru pengurusan tertinggi France Telecom jelas - mereka mahu pekerja sendiri berhenti bagi mengurangkan kos pampasan yang perlu mereka bayar.

Malangnya, kebanyakan pekerja yang disasarkan untuk pemberhentian sudah berusia, telah lama menjawat jawatan yang mereka pegang ketika France Telecom diurus kerajaan sendiri. Pada tahun 2009, purata usia pekerja France Telecom adalah 47 tahun.

Kumpulan pekerja ini terpaksa bertahan walaupun terseksa disebabkan tidak ada jalan keluar untuk memulakan karier baru, atas faktor usia serta keperluan untuk mengekalkan tahap gaji sedia ada.

Ibarat diluah mati emak, ditelan mati bapa - mereka yang tidak tahan ditekan pengurusan akhirnya memilih jalan keluar yang lebih ringkas - dengan membunuh diri.

Situasi murung yang berkekalan berdekad lamanya

didier lombar france telecom bersalah

Selepas beberapa insiden bunuh diri mula mendapat liputan meluas media, Didier Lombard meletak jawatan sebagai CEO digantikan dengan Stephane Richard pada tahun 2010.

Pihak polis dan agensi terlibat mula menjalankan siasatan ke atas dakwaan-dakwaan yang sebelum ini tidak bersifat sahih, berjaya menemui hubungan jelas di antara kebanyakan kes bunuh diri yang berlaku dengan budaya kerja yang diperkenalkan Lombard sebelum dia digantikan.

Berdasarkan bukti serta pengakuan bekas pekerja yang telah ditemui, Lombard didakwa pada tahun 2012, melibatkan 60 kes pelbagai yang berlaku daripada tempoh 2006 sehinggalah 2009.

Perbicaraan yang hanya berjaya dimulakan pada tahun 2019, mendapati pihak France Telecom serta Didier Lombard bersalah, kerana menjalankan sistem penghinaan terhadap pekerja secara sistematik yang akhirnya membawa kepada tekanan mental pekerja.

Lombard dikenakan hukuman penjara 1 satu tahun dan denda EUR15,000 sementara France Telecom (kini dikenali sebagai ORANGE) didenda EUR75,000.

Walaupun ada usaha syarikat itu membayar pampasan kepada keluarga mangsa yang terlibat dalam 60 kes yang berjaya dibicarakan di mahkamah, angka yang disebutkan hanyalah sekitar EUR2 juta untuk kesemuanya.

Tidak diketahui dengan jelas berapa jumlah sebenar pekerja France Telecom yang bertindak membunuh diri, akibat perubahan cara kerja yang dibentuk secara sengaja memperkotak-katikkan nasib mereka.

Daripada 60 kes yang dibicarakan, 35 daripadanya melibatkan kes bunuh diri. Sekiranya secara purata 15 orang meninggal dunia akibat tekanan bermula awal dekad 2000, angka sebenar kes bunuh diri yang berkait France Telecom pasti jauh lebih tinggi.

Belajarlah daripada peristiwa hitam ini sekiranya anda seorang majikan.

Sebagai majikan, anda memikul tanggungjawab yang sangat besar dalam melindungi pekerja bukan saja dari aspek monetari bahkan turut merangkumi aspek kesihatan mental.

Sekiranya benar-benar perlu, lakukanlah proses pemberhentian dengan berpandukan nilai sebenar seorang insan, bukannya memperlakukan pekerja ibarat sampah yang boleh ditolak ke sana ke mari seolah mereka tiada hati dan perasaan.

Rujukan

NPR

The Guardian

HBR.org




Hakcipta iluminasi.com (2017)