Waktu pandemik yang melanda menyebabkan kematian lebih kerap berlaku di sekeliling kita, berbanding waktu-waktu biasa.
Itulah pengalaman yang ditempuhi penulis sepanjang 2 tahun kita terpaksa menghadap norma baru, menatap perkongsian berkenaan kematian demi kematian kenalan mahupun saudara kepada kenalan.
Dalam bercakap tentang kematian, kita sering menggunakan istilah-istilah tertentu yang nyata khusus untuk merujuk kepada situasi berkaitan kematian dan si mati. Dari mana datangnya istilah-istilah itu? Jom kita pelajari serba sedikit.
BESARKAN TEKS A- A+
1. Jenazah
'Jenazah' adalah istilah bahasa Melayu yang dipinjamkan dari bahasa Arab 'janazah', yang membawa makna 'si mati.'
Bagaimanapun di kalangan ahli masyarakat kita, kita sering menggunakan istilah ini bagi merujuk kepada si mati yang beragama Islam sementara 'mendiang' pula digunakan untuk bukan Muslim.
Dari aspek bahasanya tidak ada perbezaan wujud, kerana 'jenazah' berpunca dari istilah 'ganaza', sejenis istilah pinjaman bahasa lama orang Semitik yang merujuk kepada 'perbuatan membalut mayat yang telah meninggal dunia.'
Namun definisi Dewan Bahasa dan Pustaka membezakan penggunaannya, menetapkan 'jenazah' dalam bahasa Melayu digunakan khusus untuk merujuk kepada si mati Muslim.
2. Arwah
Bagi mereka yang memahami bahasa Arab, pasti anda menyedari korupsi yang berlaku semasa pinjaman istilah Arab yang membentuk perkataan ini.
'Arwah' datang dari pinjaman istilah 'ruh' atau 'roh' yang digandakan, memberikan istilah penuh 'roh-roh.' Oleh kerana itulah Dewan Bahasa sendiri mendefinisikan 'arwah' sebagai sebuah kata jamak bagi mewakili banyak roh.
Walaupun demikian, penggunaan 'arwah' bagi mewakili satu roh sahaja juga sudah dijadikan satu kebiasaan dari aspek bahasa kita.
3. Mendiang
Jika 'jenazah' khusus untuk masyarakat Muslim di Malaysia, 'mendiang' pula digunakan untuk merujuk si mati bukan beragama Islam. Bagaimanapun, tidak dapat penulis kenalpasti dari mana datangnya istilah ini.
'Mendiang' dari segi bahasa kita secara rasmi membawa dua makna; pertama seperti yang kami sebutkan di atas. Yang kedua, merujuk kepada perbuatan menyalakan api atau lilin.
Adakah ada kaitan istilah ini datang daripada ritual keagamaan masyarakat bukan Islam di tanah Melayu zaman dahulu seperti agama Hindu, yang mengamalkan upacara pembakaran tubuh si mati sebagai proses akhir penyempurnaan kematian seseorang?
4. Mayat
Tahukah anda dari mana datangnya istilah 'mayat'?
Mayat merupakan kata pinjaman dari istilah bahasa Arab 'mayyit' yang membawa tubuh seseorang yang telah meninggal dunia. Jadi seorang yang telah meninggal dunia dirujuk sebagai 'al-mayyit' atau 'si mati.'
Antara penggunaan istilah ini yang cukup popular adalah panggilan sebenar nama Laut Mati atau Dead Sea, yang digelarkan Al Bahr al Mayyit dalam bahasa tempatan.
Apa yang menjadi persoalan penulis, adakah istilah 'mayat' dan 'mati' dalam bahasa Melayu mempunyai asal-usul yang sama iaitu 'mayyit'? Barangkali tidak.
Rumpun masyarakat kita yang mewarisi bahasa proto Melayu, turut mempunyai istilah mirip yang membawa makna sama; seperti di Cebu (matay), Jawa (mati), Fiji (mate), Maori (mate), Palau (mad), Tagalog (mate) dan beberapa istilah lain.
5. Keranda
Keranda kini merupakan kotak atau bekas yang menutup si mati serta membolehkan kita mengusung individu yang telah meninggal dunia.
Satu masa dahulu, 'keranda' sebenarnya turut merujuk kepada susunan batu besar yang diubah bentuknya agar menjadi ibarat lesung boleh ditutup, pernah digunakan untuk menyimpan rangka manusia dalam batu tersebut sebagai tempat pengebumian terakhir.
Istilah 'keranda' dipinjam daripada istilah Sanskrit 'karanda' yang sebenarnya membawa makna am merujuk kepada bekas/kotak diperbuat daripada kayu atau anyaman.
Selain penggunaan untuk merujuk kepada bekas, istilah keranda juga diaplikasikan pada nama buah keranda yang agak 'rare', dikatakan sebagai ubat masyarakat zaman dahulu melawan demam kuning.