Kredit foto: Instagram Amir Raja Lawak

Amir Raja Lawak menegaskan dia tidak akan sekali-kali berputus asa meskipun pernah menempuh kegagalan dalam bidang perniagaan.

Apatah lagi bidang itu merupakan salah satu punca pendapatan utama pelawak dan pelakon berusia 30 tahun ini.

"Insya-ALLAH, selagi ada rezeki saya akan terus berniaga.

"Lagipun, saya perlu fikir lebih ke hadapan kerana saya dah berkeluarga," katanya kepada Sinar Harian di majlis pelancaran filem televisyen (FTV), Suatukala pada Isnin.

Sejak setahun lalu, Amir mengusahakan jenama air jagung sendiri yang diberi nama Air Jagung Amirreka.

"Asalnya, saya hanya buat secara suka-suka. Tapi, tak sangka pula ia mendapat permintaan tinggi," ujarnya.

Dedah selebriti kelahiran Kelantan ini, perniagaannya yang laris mampu menghabiskan hingga 500 paket sehari melalui penyertaan di karnival atau booth.

"Alhamdulillah, adalah sikit rezeki. Biasalah, adat resam berniaga, ada hari untung ada hari tak.

"Ada masanya, saya mampu jual hingga enam balang air sehari, kalau masa perlahan itu, dapatlah dalam tiga balang," katanya.

Tidak sekadar itu, Amir juga mengembangkan perniagaannya secara francais khas buat para peniaga yang berminat.

"Buat masa ini, saya dah ada beberapa stokis di beberapa buah negeri dan ia akan bertambah dari semasa ke semasa.

"Saya jual pati air jagung yang dibancuh sendiri kepada peniaga tersebut.

“Saya harap lebih ramai peniaga akan tertarik untuk usahakankannya kerana ia sangat mudah dan tak rumit untuk membuatnya," katanya.

Pemilik nama penuh Mohammad Amirullah Azmi ini terlebih dahulu menjalankan perniagaan roti bakar di bawah jenama Roti Bakor Amirreka, namun gagal menempatkan diri di pasaran hingga terpaksa ditutup.

Beralih kepada perkembangan kerjaya seni, Amir kini muncul dalam filem televisyen (FTV) terbaru berjudul Suatukala gandingan bersama Kamal Adli, Dynas Mokhtar, Sharifah Shahirah, Liza Othman, Rykal Iskandar, Wafiy Ilhan, Sweet Qismina, Harith Haziq, Qistina Raisah, Arel Azimi dan Firdaus Ghufran.

Suatukala boleh ditempah dengan harga RM15.90 di saluran Astro First Eksklusif (480) untuk tontonan 48 jam, bersiaran mulai 15 Mac ini.




Hakcipta iluminasi.com (2017)