Anda ada kenalan atau rakan yang bergelar Tengku atau Raja?

Bagi yang tidak tahu, individu-individu yang mempunyai gelaran sedemikian merupakan mereka yang ada hubungkait dengan keluarga kerabat di-raja negeri asal mereka - walaupun besar kemungkinan hidup sama seperti orang kebanyakan lain.

Seperti kita, wujud ramai individu berstatus selebriti terkenal yang sebenarnya turut sama berketurunan 'kerabat', tetapi jarang diceritakan latar belakang sebenar mereka.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Berikut adalah lima individu popular dalam industri hiburan Hollywood yang datang daripada keluarga kerabat raja negara asal mereka.

1. Thandie Newton

thandiwe newton

Pelakon cantik yang membintangi siri TV Westworld, filem Mission Impossible serta Solo : A Star Wars Story ini walaupun dilahirkan di London, England. mempunyai latar belakang dari kerabat raja Zimbabwe dari sebelah ibunya.

Ibu beliau, seorang wanita bernama Grace Nyasha Jombe adalah anak kepada raja orang Shona di Zimbabwe semasa negara tersebut masih lagi dikenali sebagai Rhodesia Selatan - berstatus 'puteri raja.'

Walau bagaimanapun ibu Newton memilih untuk meninggalkan kehidupan di sana, berhijrah ke England pada tahun 1966 bekerja sebagai seorang jururawat, sebelum berkahwin dengan seorang juruteknik makmal rakyat tempatan.

2. Kit Harington

kit harington kerabat raja

Bintang siri TV 'Game of Thrones' merupakan anak kepada Sir David Harington, seorang Baron daripada keluarga 'Harington' yang diasaskan pada tahun 1611.

Bagaimanapun malang bagi Kit, dia tidak akan mewarisi pangkat ayahnya. Abangnya John Harington bakal menjadi pewaris status Baron yang rasmi ke 16.

Selain daripada mempunyai keturunan bangsawan, keluarga Harington juga mempunyai hubungan rapat dengan kerabat di-raja Britain. Menerusi keluarga sebelah nenek beliau yang bernama Lavender Cecilia Denny (kini mendiang), nenek beliau adalah generasi ke 8 keturunan Raja Charles II.

Raja Charles II memegang takhta Raja Scotland, England dan Ireland sebelum diturunkan takhta dalam peristiwa yang dikenali sebagai Gerakan Komanwel pada pertengahan abad ke 17.

3. Tilda Swinton

tilda swinton kerabat

Tilda Swinton merupakan anak kepada pasangan campur; ibunya seorang wanita dari Australia sementara ayahnya pula Sir John Swinton merupakan seorang ahli bangsawan dari Scotland, berkhidmat sebagai mejar jeneral dalam tentera British.

Memegang nama Sir John Swinton of Kimmerghame, ayah kepada pelakon terkenal ini adalah pewaris kepada keluarga Swinton, salah sebuah keluarga besar semasa kewujudan kerajaan Northumbria di sempadan England dan Scotland.

Dalam kajian yang lebih mendalam di jalankan penyelidik di Edinburgh, Scotland - kedua-dua ibu bapanya pula mempunyai persamaan dari aspek keturunan, merupakan cucu cicit kepada Raja Robert II yang memerintah Scotland pada abad ke 14.

Sir John Swinton mempunyai hubungkait dengan negara kita - menjadi antara petugas yang berkhidmat di Malaya semasa era konfrontrasi negara kita dengan Indonesia selama 3 tahun, bermula tahun 1948 sehingga 1951.

4. Hugh Grant

hugh grant kerabat raja

Sama seperti Tilda Swinton, bapa kepada Hugh Grant, Kapten James Murray Grant juga pernah berkhidmat di negara kita bersama batalion pertama Seaforth Highlanders dalam tentera British.

James Murray mengahwini seorang wanita bernama Fynvola Susan MacLean. Dari sebelah keluarga ibunya, Grant mewarisi keturunan kerabat raja.

Ibunya merupakan cicit generasi ke 13 Raja Henry VII, pemerintah England daripada tahun 1485 sehinggalah kematiannya pada tahun 1509. Anak kepada Henry VII, Mary Tudor atau Mary I kemudiannya mengambil alih takhta sebagai permaisuri England dan Scotland yang memerintah sehingga tahun 1558.

Bergelar cicit Mary I meletakkan Grant berkait dengan Permaisuri Elizabeth II yang kini masih memegang takhta United Kingdom. Kedua-duanya merupakan sepupu jauh hasil anak pinak Mary I. Grant merupakan generasi ke 14 sementara Permaisuri Elizabeth pula adalah generasi ke 13.

5. Helena Bonham Carter

helena bonham carter kerabat

Dengan nama seunik itu, pasti ada sesuatu yang istimewa berkenaan susur galur keturunan pelakon Helena Bonham Carter bukan? Memang benar.

Keluarga bangsawan Bonham Carter dimulakan secara rasmi oleh John Bonham-Carter, seorang ahli politik pada penghujung abad ke 18. John merupakan anak kepada John Carter, bekas Datuk Bandar Portsmouth di England.

Dia memilih untuk menukarkan nama keluarganya kepada Bonham-Carter selepas mewarisi estet sepupu beliau Thomas Bonham, menggabungkan kedua-dua keluarga ke dalam satu keturunan utama.

Ayah kepada Helena, Raymond Bonham Carter merupakan seorang ahli politik berpengaruh di London, anak kepada Herbert Henry Asquith, bekas perdana menteri United Kingdom yang bertanggungjawab mengepalai negara itu ketika perang dunia pertama.

Selain datang daripada keluarga bangsawan, Helena juga mempunyai pertalian sepupu melalui belah keluarga ayahnya dengan Kate Middleton, kini dikenali dengan nama Catherine, Duchess of Cambridge. Middleton merupakan isteri kepada Putera William, pewaris kedua takhta kerajaan British.




Hakcipta iluminasi.com (2017)