Adakah anda masih ingat, sekitar tahun 2010, satu video memaparkan seorang anak kecil berusia dua tahun yang obes sedang bermain sambil menghisap rokok? Video itu menjadi tular dan telah mendapat perhatian pelbagai pihak dan agensi berita antarabangsa dari seluruh dunia.
Jika anda masih ingat dengan adik Aldi Rizal, atau nama sebenarnya Aldi Suganda, anda mesti tertanya-tanya apakah yang terjadi kepadanya kini.
BESARKAN TEKS A- A+
Hisap sehingga 40 batang rokok sehari
Semasa masih kecil, Aldi sudahpun mengalami masalah ketagihan rokok kerana menghisap sehingga 40 batang rokok sehari. Kos ini amat membebankan ibu bapanya yang hanya memperolehi pendapatan purata sekitar RM355 sebulan dengan membelanjakan RM20 setiap hari.
Pada mulanya, ramai beranggapan Aldi yang masih kecil itu diberikan bekalan rokok oleh budak-budak lelaki yang lebih dewasa. Namun, setelah diselidiki, rupa-rupanya ibu bapanya sendiri terlibat secara langsung dengan tabiat berbahaya itu. Ibunya mendakwa yang Aldi terlalu ketagihan dan sering mengugutnya agar permintaannya itu dipenuhi. Jika Diana tidak melayan kehendaknya, dia akan mengamuk dan marah sambil menghantukkan kepala ke dinding sehingga pening.
Ayahnya, Mohamad, pula bagaimanapun beranggapan tabiat merokok Aldi itu bukanlah satu kesalahan besar. Dia melihat Aldi sebagai seorang kanak-kanak yang sihat dan cergas.
Dimasukkan ke pusat pemulihan
Malu dengan reaksi yang diterima dari seluruh dunia, kerajaan Indonesia membuat keputusan untuk mendaftarkan Aldi ke sebuah pusat pemulihan. Aldi dibawa pergi dari rumahnya di sebuah perkampungan di pedalaman Sumatra dan dihantar ke Jakarta di mana dia mengambil bahagian dalam sesi terapi selama dua minggu yang memaksanya untuk fokus menjadi kanak-kanak normal serta melupakan ketagihannya.
Di bawah pengawasan ahli psikiatri kanak-kanak iaitu Dr. Seto Mulyadi, Aldi berjaya meninggalkan tabiat buruknya itu walaupun sentiasa menerima 'huluran' rokok percuma daripada orang sekeliling. Aldi juga berazam untuk menjadi kuat kerana dia menyayangi Dr. Seto. Menurut Aldi, dia tidak mahu Dr. Seto berasa sedih jika dia mula menghisap rokok kembali dan memudaratkan kesihatan sendiri.
Malangnya bagi keluarga Aldi, itu hanyalah titik permulaan segala masalah lain yang timbul akibat ketagihannya yang kronik.
Masalah lain yang timbul
Sesiapa yang pernah berhenti merokok mesti tahu bagaimana mudahnya berat badan meningkat disebabkan perubahan hormon dan peningkatan selera makan yang mendadak. Dalam kes Aldi, peningkatan selera makannya telah meletakkan dia dalam satu lagi posisi bahaya yang lain. Hal ini demikian kerana dia telah menggantikan tabiat buruknya dengan tabiat buruk yang lain, iaitu makan tanpa henti untuk mengisi 'kekosongan' hidup.
Selain makan tanpa henti, Aldi juga mempunyai tabiat baru iaitu meminum tiga tin penuh susu pekat setiap hari sebagai sebahagian menu diet tinggi kalorinya.
Apabila berat badannya mencecah obesiti pada tahun 2013, ibu bapanya memohon pertolongan daripada pakar nutrisi tempatan untuk membantu membendung tabiat Aldi itu. Menurut pakar nutrisi yang merawat Aldi, Fransisca Dewi, berat badan Aldi yang ideal sepatutnya adalah sekitar 17kg hingga 19kg namun dia sudah menjangkau 24kg.
Tabiat pemakanan tidak terkawal
Diana memang mengalami kesukaran untuk menahan Aldi daripada makan secara berlebihan. Namun, itulah natijahnya membiarkan anak kesayangan ketagihan rokok dari usia kecil. Pakar pediatrik, Dr. William Nawawi berkata, nikotin boleh meningkatkan paras hormon endokrin dalam badan. Keadaan ini boleh menyebabkan sekatan ke atas insulin dan darah tidak lagi mampu memecahkan glukosa daripada makanan. Inilah yang membuatkan Aldi membesar dari sehari ke sehari.
Ibu bapa Aldi bukan sahaja risaukan keadaan Aldi, malah mereka juga perlu risaukan warga kampung. Pada tahun 2011, Diana memberitahu ABC News bahawa orang kampung sering menambahburukkan keadaan dengan memberikan dan memujuk Aldi agar menghisap rokok semula.
Selepas video Aldi tular, perhatian daripada pelbagai pihak dari dalam dan luar negara telah membuatkan Aldi menjadi seorang selebriti terkenal di kampungnya. Kehadirannya di tempat awam sering menarik minat orang ramai. Namun, populariti Aldi adalah atas sebab-sebab yang salah dan tidak wajar.
Ibunya juga merasakan populariti Aldi itu adakalanya meluluhkan hatinya. Sudah semestinya Diana gembira apabila orang ramai berkumpul untuk berbual dengan Aldi kerana dikenali, namun dia berasa jengkel apabila mereka memanggilnya "budak rokok". Dia merasakan dirinya dituduh sebagai seorang ibu yang teruk.
Diana dan Mohamad kemudian berjanji untuk menghentikan segala makanan tidak sihat daripada menu harian Aldi dan memaksanya mengikuti diet ketat yang banyak mengandungi buah-buahan dan sayuran walaupun dia membantah. Empat tahun berpenat jerih, berat Aldi Rizal kembali terkawal dan tahun lepas dia dilaporkan berjaya menamatkan pengajian tahun empat dengan cemerlang. Kini kanak-kanak berusia 10 tahun itu mempunyai ramai kenalan dan sukar dikenalpasti sebagai bekas budak montel yang menghisap rokok.
Hidup berubah
Pada bulan Ogos 2017, Aldi pernah membuat satu wawancara dengan CNN. Dia memberitahu yang kini dia gembira dan optimistik tentang masa depannya walaupun telah menempuhi perjalanan bertahun lamanya berperang dengan tubuh badan sendiri. Dulu, kepalanya pening dan mulutnya terasa masam sekiranya tidak dapat merokok. Sekarang tubuhnya berasa lebih segar dan fikirannya juga lebih cerdas.
Walaupun kisah Aldi Rizal merupakan sesuatu yang mengejutkan kerana usianya yang terlalu muda untuk menjadi perokok tegar, sebenarnya masalah merokok di kalangan kanak-kanak di Indonesia sudah mencecah paras epidemik. Saban tahun masalah ini menjadi semakin berleluasa dan sukar dibendung. Dalam satu laporan CNN, dianggarkan lebih 267,000 kanak-kanak di negara itu yang menggunakan produk tembakau setiap hari manakala perokok remaja antara umur 15 hingga 19 tahun meningkat menjadi 23.1% pada tahun 2016 berbanding hanya 18.1% pada tahun 2007.
Menurut Dr. Seto, walaupun pihak Kementerian Kesihatan negara itu sudah mula mengambil langkah untuk membanteras epidemik ini, kejayaan Aldi akan terus menjadi satu kes yang amat jarang dikecapi melainkan pihak kerajaan mengenakan tindakan yang lebih ketat. Selagi iklan rokok dibiarkan tersebar melalui TV, radio, akhbar, papan tanda dan di mana-mana sahaja, selagi itulah masalah perokok cilik ini akan semakin bertambah buruk.
Mungkin itulah salah satu sebab Aldi Rizal berazam untuk membantu kanak-kanak lain untuk meninggalkan tabiat itu.
"Tolonglah jangan merokok. Jangan sesekali mencuba untuk merokok. Teramat perit dan susah untuk berhenti."
Rujukan:
2. Metro UK
4. ABC News
6. CNN
7. Tribun News