Oleh pada 31 Mar 2018 kategori

Ramai orang sedar akan keburukan merokok kepada kesihatan seseorang. Tapi berapa ramaikah yang tahu bahawa rokok juga menjadi salah satu punca alam sekitar kita tercemar dan boleh menyumbang kepada perubahan iklim sedunia?

Satu puntung rokok mungkin nampak kecil bagi anda, namun dengan anggaran 4.5 trilion puntung yang dibuang merata-rata setiap tahun di seluruh dunia, kandungan bahan-bahan kimia di dalamnya yang beracun itu juga akan berganda jumlahnya.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Setiap puntung rokok mengandungi bahan kimia berbahaya seperti kadmium, arsenik dan plumbum yang telah ditapis semasa proses merokok. Jadi, apabila puntung rokok dibuang merata-rata, angin dan hujan akan membawanya masuk ke saluran air. Bahan-bahan toksik itu tadi akan terlarutresap ke dala ekosistem akuatik dan mengancam kualiti air serta hidupan marin.

ikan pencemaran rokok dan dunhill 7

Puntung rokok diperbuat daripada apa?

Penapis rokok atau puntung rokok diperbuat menggunakan material berserat yang direka untuk memerangkap tar dan pelbagai bahan kimia berbahaya yang lain sebelum tiba ke paru-paru si perokok. Penapis ini dibuat menggunakan asetat selulosa iaitu sejenis material seakan-akan rayon dan dibalut dengan kertas.

Setiap puntung mengandungi sisa-sisa tembakau, kertas dan penapis. Bahan sisa yang terkandung dalam puntung ini adalah bertoksik dan boleh larut dalam air. Ia mendatangkan bahaya kepada manusia dan juga menyumbang kepada pencemaran alam sekitar.

puntung rokok mencemarkan alam sekitar

Pembuangan puntung rokok mencemarkan alam sekitar

Puntung rokok telah menjadi salah satu punca terbesar masalah pembuangan sampah di negara kita. Ke mana-mana sahaja kita pergi, pasti akan nampak puntung rokok dibuang di tepi jalan, di dalam longkang, di tepi pantai, dalam sungai dan sebagainya. Masalah ini berlanjutan sehingga pihak kerajaan terpaksa mengambil inisiatif menggubal undang-undang untuk melarang sesiapa menghisap rokok dalam bangunan dan di tempat awam. Selain itu, pihak restoran juga banyak 'memaksa' pelanggan menghisap rokok di luar sehingga puntung-puntung rokok dibiarkan bertaburan di atas tanah.

burung makan puntung rokok

Puntung rokok yang dibuang ini bukan sahaja merosakkan nilai estetik mana-mana persekitaran, malah ia juga amat memudaratkan. Kawasan dengan bilangan puntung rokok yang bersepah akan kelihatan sangat kotor dan tidak terjaga sehingga 'memanggil-manggil' lebih ramai orang untuk membuang pelbagai jenis sampah di situ.

Apabila satu puntung rokok dilontarkan ke lantai, ia masih boleh membara sehingga tiga jam lamanya. Mungkin anda sudah sedia maklum, asap rokok boleh mengandungi sehingga 4,000 bahan kimia. Jadi, setiap kali puntung dibiarkan dalam keadaan menyala, lebih banyak toksin berbahaya akan dilepaskan ke dalam udara.

puntung rokok yang dihimpunkan

Selain itu, puntung yang dijentik atau dilontarkan juga boleh menyebabkan kebakaran. Apabila dibuang dari dalam kenderaan dan puntung itu mengenai rumput kering, ia boleh menyebabkan kebakaran belukar. Di Australia misalnya, Majlis Perbandaran Kebakaran Australia menganggarkan terdapat lebih kurang 12 kebakaran setiap hari yang disebabkan oleh rokok atau bahan merokok.

Pembuangan puntung rokok memberi kesan kepada hidupan dalam air

Ramai orang tidak mengetahui apabila hujan turun, air yang mengalir di atas jalan raya menuju ke longkang dan melalui paip pengurusan air hujan akan berakhir di pelabuhan, pantai dan sungai. Air hujan tidak dirawat jadi kesemua sampah dan puntung rokok akan dibawa bersama melalui di jalan-jalan air ini.

Sampah-sarap ini akan mengurangkan kualiti air dan berpotensi mendatangkan mudarat kepada hidupan air yang kita sangat hargai. Puntung rokok boleh mengambil masa sehingga 12 bulan untuk diuraikan dalam air tawar dan memakan masa sehingga lima tahun bagi air laut.

ikan yang mati akibat termakan puntung rokok tercemar

Burung dan haiwan akuatik juga boleh tersalah anggap puntung rokok yang terapung sebagai makanan yang akhirnya akan menyebabkan mereka mengalami masalah pencernaan serius sehingga berlaku kematian. Banyak puntung rokok yang telah dijumpai dalam perut anak-anak burung, penyu dan hidupan laut yang lain.

Satu lagi kebimbangan serius adalah melibatkan bahan kimia bertoksik seperti plumbum dan kadmium yang terperangkap dalam penapis rokok dan diserapkan ke dalam air. Apabila terkena air, dalam masa seawal satu jam sahaja bahan-bahan kimia ini boleh terlarutresap ke dalam persekitaran akuatik dan mengancam hidupan marin.

puntung rokok penyumbang perubahan iklim pencemaran pemanasan global perokok 7

Kepada perokok di luar sana, jika anda tidak menyayangi diri sendiri, sekurang-kurangnya sayangilah alam sekitar. Buang puntung rokok di tempat yang sewajarnya. Kita sebagai manusia diberikan tugas oleh Allah SWT untuk mentadbir alam ini dengan baik. Sekiranya andalah yang menjadi punca segala hidupan laut mati dan terancam, ditambah lagi dengan kes tumpahan minyak dan sebagainya, mungkin dalam beberapa tahun lagi anak-anak anda tidak akan mengenali apa itu penyu atau anjing laut.

Jadilah masyarakat dan perokok yang lebih bertanggungjawab mulai sekarang.

Rujukan:

1. PLoS One

2. Tobacco Control - BMJ

3. National Geographic




Hakcipta iluminasi.com (2017)