Zaman sekarang, peralatan alat tulis sekolah rendah sudah jadi terlalu mudah untuk dibeli. Jika bajet besar, bolehlah dapatkannya di pasaraya. Jika bajet anda kecil, kualiti peralatan di kedai RM2 pun masih boleh diterima.

Kesenangan yang semakin dirasai masyarakat kita membuatkan pelajar zaman sekolah mudah mendapat akses kepada peralatan sekolah yang mencukupi, kadangkala sampai sudah terlalu mewah juga seperti jenama Smiggle yang menjadi kegilaan kanak-kanak perempuan.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Dua ke tiga dekad dahulu, ketiadaan pelbagai variasi peralatan sekolah menyebabkan ramai pelajar berkongsi minat alat tulis yang serupa. Berikut adalah 10 alatan sekolah yang ikonik satu ketika dulu, bagi kanak-kanak di Malaysia.

1. Pensil kaler LUNA

pensil warna luna staedlter

Fuh! Dari dulu sampai sekarang, pensil warna LUNA yang menampilkan gambar kapal layar di kotaknya menjadi idaman pelajar. Namun kini terdapat dua versi LUNA yang ada.

Versi baru mempunyai corak pensil sekata sementara versi tradisional yang masih dijual, mengekalkan corak jalur-jalur pada setiap batang pensilnya. Yang sekata, murah harganya. Yang tradisional, harganya masih menyucuk-nyucuk jiwa. Kualitinya harus kami akui, ketara berbeza.

2. Pilot The Shaker

pilot the shaker

Pensil keluaran syarikat Jepun Pilot ini, satu ketika dulu adalah idaman semua. Ini kerana berbanding dengan pensil mekanikal jenama lain, pensil ini hanya memerlukan penggunanya menggoncangkan badan pensil tersebut untuk mengeluarkan matanya.

Mekanisme tersebut membolehkan mereka yang mempunyai jari yang lebih pendek, mudah untuk mengeluarkan mata tanpa perlu mengalihkan ibu jari dan mengganggu kelancaran menulis.

3. Tipp-Ex

liquid paper lama

Untuk pelajar yang baru belajar menulis dengan pen, biasanya mula sekitar darjah 4, pemadam pen adalah satu kemestian. Nak beli pen Liquid Paper keluaran Papermate memang mahal.

Bagi yang kurang berkemampuan, terpaksalah berpuas hati dengan produk Tipp-Ex yang perlu disapu menggunakan berus atas kertas. Pada pengalaman penulis, inilah antara produk paling tak praktikal yang diguna masa sekolah rendah.

Mudah mengalir, mudah tumpah dan mudah keras kalau tak ditutup rapat, penulis memang iri hati saja tengok pelajar yang pakai Liquid Paper. Senang je dia padam. Bila dah sekolah menengah barulah merasa senangnya. Tapi lenguh jugalah nak goncang supaya dakwatnya lancar.

4. Pemadam logo negara/negeri

pemadam logo bendera

Sebelum ada pemadam-pemadam lebih moden zaman sekarang, kebanyakan pelajar di sekolah gemar menggunakan pemadam yang memaparkan bendera-bendera negara dunia dicetak dibadannya.

Nak beli sebiji pun fikir lama depan kedai buku, kerana selalunya penjaga kedai buku sekolah akan letak terus sekotak di depan. Kita pilih saja negara mana kita nak, kemudian bayar. Kalau kaki bola, dia mesti pilih bendera Brazil atau England. Nak dapat bendera Malaysia ikut nasib. Selalunya cepat disambar pelajar lain.

5. Pensil box bertingkat

pensil box kayangan sekolah rendah

Zaman sekolah penulis dulu, siapa yang mampu pakai kotak pensil bertingkat siap ada pengasah pensil dan ruangan-ruangan tersorok memang orang yang berkemampuan.

Datang dengan ilustrasi logo kartun popular yang dicetak besar kemungkinan tanpa kebenaran, kotak pensil bertingkat adalah simbol status pelajar. Bila ada dua atau tiga kotak pensil sebegini, mesti ada yang ambil buat main perang-perang.

6. Set geometri Oxford

set geometri oxford

Bila dah besar ni barulah penulis tahu kenapa set geometri Oxford, dinamakan sebagai Oxford Geometry Set. Syarikatnya bernama Helix Oxford, sebuah syarikat dari United Kingdom. Memang harganya paling mahal berbanding jenama lain, tetapi kualitinya A+.

Jenama lain pemegang pensil pada alat jangka lukisnya mesti longgar dan pensil akan bergoyang-goyang bila kita cuba buat bulatan. Pakai jenama ni, bulatan cantik aje terhasil dan kawan-kawan pun akan tengok dengan kagum.

7. Pensil NORIS

pensil noris 2b

Dulu ramai pelajar memang gemar menggunakan pensil jenama Staedtler. Jenama ni ada dua jenis, satu pensil berbadan merah dengan gred HB dan pensil berjalur warna kuning hitam dengan gred 2B.

Yang merah, murah. Yang jalur kuning hitam, mahal. Bila ada duit lebih, dapatlah juga merasa kelegapan kualiti Staedtler NORIS ni. Kualiti tulisan yang terhasil memang jauh berbeza, cikgu nak baca pun mudah berbanding pensil Staedtler merah.

8. Kad nama

kad nama kanak kanak nostalgia

Pernah tak kawan anda yang agak berminda 'bisnes' cuba menjual kepada anda kad nama? Mesti ada kan? Semasa cikgu tak ada dalam kelas, mulalah dia keluar katalog nak promosikan kad nama.

Mempunyai banyak pilihan, pembeli kad ini boleh memilih pelbagai jenis corak yang akan dicetak pada kad nama kita. Biasanya meliputi visual berkait hiburan, animasi, pemandangan atau sukan, satu set rasanya 20 keping dijual pada harga RM4.90.

Memang ramai sanggup tak makan waktu rehat semata-mata nak kumpul duit pesan kad ni.

9. Pengasah pensil bulat cermin

pengasah pensil cermin 499

Pengasah pensil ini adalah antara peralatan paling popular di kalangan pelajar, kerana praktikalitinya. Selain mampu mengasah pensil, cermin kecil yang ada juga boleh digunakan untuk memeriksa wajah agar rambut kekal rapi dan pelajar wanita lain nampak kita cool.

Bagaimanapun, populariti produk ini tetap tidak menutup kelemahannya. Badan pengasah yang memegang cermin tu mudah pecah sehingga mengakibatkan cermin mudah terkeluar dan skru yang pegang mata pisau pada badan pengasah, mudah hilang.

Tetapi kepada siapa yang terfikir nak gabungkan pengasah pensil dengan cermin ni, kami tabik pada anda. Anda memang genius.

10. Pemadam merah biru

pemadam merah biru

Sehingga ke hari ini pemadam merah biru ini menimbulkan misteri kepada orang ramai. Apa sebenarnya tujuan bahagian biru pemadam itu dibuat? Ramai kanak-kanak zaman dahulu menganggap biru itu untuk kita memadam tulisan dengan pen. Habis koyak buku kita dibuatnya.

Bagaimanapun selepas era informasi, barulah kita tahu bahagian merah yang lembut adalah untuk memadam tulisan hasil pensil pada kertas lembut dan bahagian biru tu pula adalah untuk memadam tulisan pensil yang dibuat pada kertas lebih kasar.

Tetapi apa yang menjadi misteri, ada juga pengeluar yang mencetak indikator bagi memudahkan penggunaanya; merah dicetak indikator pensil dan biru pula dicetak dengan logo pen. Misteri betullah!




Hakcipta iluminasi.com (2017)