Ketagihan anak-anak kecil terhadap gajet seperti tablet dan telefon pintar sememangnya satu perkara yang merisaukan golongan ibu bapa di zaman milennial ini.

Ketagihan yang melampau terhadap gajet boleh merencatkan pertumbuhan otak dan fisiologi kanak-kanak, selain boleh menjadikan mereka lebih agresif. Oleh itu, setiap ibu bapa perlu memainkan peranan masing-masing dan bersikap proaktif untuk membendung atau mengurangkan ketagihan ini.

Apabila anak-anak masih kecil, menggunakan kekerasan atau memarahi mereka bukanlah langkah yang bijak bagi mengurangkan pendedahan mereka terhadapa telefon pintar. Berikut merupakan beberapa cara yang lebih lembut yang boleh anda gunakan pada mereka.

1. Jangan Biarkan Mereka Guna Smartphone Seorang Diri

ketagihan smartphone pada kanak kanak 846

Ini merupakan kesalahan utama ibu bapa. Anak-anak seringkali dibiarkan berseorangan menggunakan gajet tanpa panduan. Gajet sering dijadikan alat oleh ibu bapa agar anak-anak leka dan tidak mengganggu mereka.

Membiarkan anak-anak menggunakan gajet secara berseorangan menyebabkan mereka leka dalam dunia sendiri dan mendorong kepada ketagihan. Selain itu, mereka juga berkemungkinan terdedah kepada perkara-perkara yang tidak sesuai buat umur mereka.

2. Hadkan dan Tetapkan Masa dan Tempat Menggunakan Telefon

ambil gambar makanan

Semasa kecil, anak-anak lebih mudah terikut dengan tingkah-laku ibu bapa mereka. Apa yang ibu bapa buat, mereka akan ikut. Sekiranya ibu bapa membuat sesuatu yang tidak elok tetapi pada masa sama melarang mereka membuat perkara yang sama, ianya tidak akan didengari oleh anak.

Pada peringkat ini, ibu bapa perlulah memperkenalkan undang-undang penggunaan gajet dan mereka sendiri haruslah menjadi tauladan kepada anak-anak. Sebagai contoh, apabila sedang menikmati makanan bersama keluarga, ibu bapa juga haruslah mengelakkan penggunaan telefon.

3. Jangan Caj Bateri Sehingga Penuh

bateri low

Ini antara trik yang menarik untuk anda cuba. Apabila memberikan gajet pada anak-anak, jangan beri mereka gajet yang mempunyai bateri penuh atau hampir penuh.

Sebaliknya, berikan mereka gajet yang mempunyai bateri sedikit dan apabila bateri sudah hampir habis, katakan pada mereka bahawa mereka perlu berhenti menggunakannya kerana gajet tersebut perlu dicaj.

4. Rahsiakan Katakunci Telefon

kata kunci smartphone

Memberi katakunci telefon kepada anak-anak merupakan kesalahan biasa yang dibuat ibu bapa. Memberi anak-anak katakunci samalah seperti anda memberi kebebasan kepada anak-anak untuk menggunakan gajet bila-bila masa yang mereka mahu.

Anak-anak perlu diajar menghormati anda sebagai ibu bapa mereka. Mereka perlu diajar siapa sebenarnya 'bos'. Dengan menyorokkan kata kunci anda, ada mengajar anak-anak supaya meminta izin daripada anda dan menghormati anda sebagai 'bos' atau pemilik telefon tersebut.

5. Cari Alternatif Lain dan Alihkan Perhatian Mereka

taman permainan kanak kanak

Sebelum kemunculan telefon pintar, kanak-kanak banyak meluangkan masa melakukan aktiviti yang memerlukan pergerakan anggota badan mereka seperti bermain basikal dan kejar-kejar. Selain bagus untuk kesihatan mereka, aktiviti yang melibatkan peggunaan anggota badan ini bagus untuk melatih ketajaman otak dan sensori motor anggota badan.

Sebagai ibu bapa, kita haruslah kreatif. Jangan jadi ibu bapa yang pemalas, asal anak menangis sahaja diberikan telefon pintar.


tags : , , , , ,




Hakcipta iluminasi.com (2017)