Oleh pada 23 Feb 2018 kategori

Sebagai ibu bapa, kita menghantar anak ke sekolah agar mereka beroleh pendidikan sewajarnya dan bersiap sedia untuk menghadapi masa hadapan. Oleh sebab itulah ramai ibu bapa berasa amat terkesan sekiranya pihak sekolah melaksanakan apa-apa polisi baru yang tidak masuk akal dan tidak memberikan apa-apa kesan pada pembelajaran anak-anak.

Jika di Malaysia, ramai ibu bapa sudah cukup gelisah dengan kenaikan yuran PIBG ataupun kenaikan harga buku sekolah, namun di Jepun lain pula ceritanya. Baru-baru ini sebuah sekolah di negara matahari terbit itu telah dikecam hebat selepas mewajibkan pelajar untuk memakai uniform sekolah yang direka oleh pereka fesyen terkemuka, Giorgio Armani.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Apa yang lebih menyakitkan hati para ibu bapa ini adalah harga uniform baru itu mencecah 80,000 yen (RM2,929). Harga ini merupakan tiga kali ganda lebih mahal daripada harga uniform asal.

Satu artikel dari Japan Times melaporkan yang pihak Sekolah Rendah Taimei telahpun membuat penjelasan berkenaan isu tersebut. Menurut wakil pihak sekolah, keputusan itu dibuat berdasarkan niat untuk mengadakan satu uniform khas bagi sebuah 'sekolah Ginza' yang merupakan kawasan elit dan berprestij. Keputusan itu diwar-warkan selepas lawatan ke pusat membeli-belah berdekatan dijalankan dan pihak Armani bersetuju untuk mereka baju uniform tersebut.

kedai armani di ginza

Menteri Kewangan Jepun, Taro Aso, juga telah membuat kenyataan berkenaan uniform yang mencekik darah ini. Menurut Taro, ia adalah terlalu mahal dan keadaan akan bertambah rumit jika pelajar tidak mampu untuk membayarnya.

Sejak berita itu tersebar, sekolah itu telah mendapat pelbagai reaksi negatif daripada ibu bapa serta netizen.

Salah seorang ibu amat terkejut dengan keputusan pihak sekolah. Menurutnya, tidak ada keperluan untuk mengenakan pakaian berjenama atau uniform hasil rekaan pereka fesyen tersohor bagi kegunaan sekolah rendah awam.

sekolah jepun armani uniform mahal 2

Menteri Pendidikan Jepun, Yoshimasa Hayashi juga telah menyebut yang pihak kementerian akan memeriksa dan meneliti perkara itu.

Walau bagaimanapun, pengetua sekolah telah mengeluarkan satu kenyataan melalui laman web rasmi sekolah:

Saya membuat keputusan ini sambil memikirkan masa depan sekolah. Dengan rasa rendah diri, saya menerima segala kritikan walaupun penjelasan yang diberikan tidak akan pernah cukup."

Pelaksanaan uniform itu masih berjalan dan akan mula berkuat kuasa pada bulan April. Namun, ia dikatakan hanya menjadi "pakaian standard" dan tidak diwajibkan bagi kesemua pelajar.

Tindakan dan peraturan tak munasabah beginilah yang patut diselar oleh ibu bapa. Bukannya marahkan guru atas alasan membiarkan pelajar duduk di atas lantai ketika perhimpunan.

Sumber: Japan Times




Hakcipta iluminasi.com (2017)