Oleh pada 14 Sep 2017 kategori

merokok 758

Susah nak berhenti rokok sehingga ke akhir hayat!

Masih teringat lagi seorang pesakit lelaki, berumur 41 tahun. Beliau seorang buruh, memang kerja beliau berat. Isteri tidak bekerja. Mempunyai 2 orang anak, masih di sekolah rendah. Beliau tidak sihat sudah lama; batuk dan tidak lalu makan. Mula-mula beliau tidak endahkan simptom beliau. Akhirnya sampai dah tak tahan sangat sebab sesak nafas, beliau datang ke hospital. 

paru paru berair

Paru-paru sebelah kiri beliau penuh air. Lihat contoh Xray di atas, sebelah paru-paru beliau putih. Maksudnya penuh air. Terpaksa dilakukan prosedur memasukkan tiub plastik ke dalam rongga paru-paru untuk mengeluarkan air (gambar ketiga).

pleural effusion

Air ini kami panggil "pleural effusion". Kalau air yang mengalir keluar dari paru-paru berwarna merah/berdarah kami panggil "haemorrhagic pleural effusion". Bila macam ini, kami kebiasaannya adalah suspek barah paru-paru.

haemorrhagic pleural effusion

Haemorrhagic pleural effusion

Mana tidaknya, beliau merokok sejak umur 15 tahun! Sekurang-kurangnya 20 batang sehari. Ya Allah!  26 tahun jadi PEROKOK TEGAR! 

Setelah buat ujian bronkoskopi, memasukkan kamera ke dalam corong pernafasan beliau, sahlah beliau ada barah paru-paru. Bila nampak sahaja ketumbuhan seperti di gambar dibawah, kami sudah tahu. Sudah sampai ke tahap 4. Terlambat. Dah merebak.

ketumbuhan akibat merokok

Ketumbuhan pada paru-paru

Kehidupan beliau susah; nak mengikuti rawatan pun sukar. Anak isteri perlu sesuap nasi setiap hari. Sedih melihat beliau, masih terpaksa teruskan bekerja. Beliau tidak boleh berhenti merokok walaupun sudah sakit.

Tidak sampai beberapa bulan, beliau koma. Terpaksa dikejarkan ke hospital. Kali ini, sel barah sudah merebak ke otak beliau.

mayat

Gambar hiasan

Pada hari-hari terakhir beliau di hospital, sangat sebak kami melihat isteri dan dua orang anak kecil beliau yang senantiasa berada di sisi. Tidak dapat kami bayangkan apa akan terjadi kepada mereka nanti. Ayah mereka pergi didalam usia muda, 41 tahun. 

Maaf, saya tidak faham kenapa sesiapa pun perlu merokok.

Nasihat saya :

  1. 1. Membahayakan kesihatan. Bukan seorang ini sahaja kami lihat. Malah hari-hari. Macam-macam kesan sampingan. Yang muda sakit jantung pun semakin ramai; 20-an dah selalu kami lihat di hospital.
  2. 2. Mohon berhenti TERUS sesiapa yang merokok. Nak berhenti perlu semangat dan kekuatan sahaja. Lihat sahaja anak-anak anda yang masih comel itu, cukup. Ramai yang bertanya: "boleh berhenti terus ke". Pendapat saya, berhenti terus lah yang terbaik. Tidak ada kesan sampingan dari sudut kesihatan.
  3. 3. Mohon kita ramai-ramai bantah kiddie pack. Apa ke benda nak jual rokok pek sebegini pulak. Dah lah tak menolong langsung, merosakkan lagi adalah. Mahu lebih ramai kanak-kanak dan pelajar muda yang akan terjebak.

Mari sertai kempen kami di sini.

Kalau tanya pendapat saya, ban terus rokok-rokok ini. Cukup-cukup lah. Tak pasal-pasal risiko keluarga anda pun jadi tinggi sebab dekat dengan anda.  Tak sayang mereka ke? 

#BantahKiddiePack

Rafidah Abdullah

Pakar Perunding Perubatan

Nota : Kesemua gambar ini di ambil dari internet, bukan gambar pesakit sebenar.


tags : , , , , , , ,











Hakcipta iluminasi.com (2017)