Oleh pada 26 Sep 2017 kategori

Festival Filem Malaysia ke 29 baharu sahaja melabuhkan tirai.

Pujian harus diberikan kepada kualiti karya-karya yang bertanding kerana kebanyakan filem yang memenangi anugerah dalam Festival Filem Malaysia adalah filem yang bukan sekadar membawa tema stereotaip filem Malaysia sama ada cinta, samseng atau hubungan cinta sesama samseng.

Filem-filem yang mendapat pencalonan kali ini nampak jelas peningkatan kualiti dari segi penceritaan dan isi jalan cerita. Senang cerita, filem yang terpilih adalah filem yang mempunyai isi yang perlu dikupas dan bukan sekadar filem ringan yang hanya memerlukan penonton tutup otak dan tonton.

BESARKAN TEKS     A-  A+

shamsul desolasi

Namun jika disemak jumlah kutipan filem-filem yang dicalonkan ini, amatlah mengecewakan. Bukan setakat mengecewakan, malahan boleh dikatakan langsung tidak mendapat sambutan penonton. Entah di mana silapnya.

Jika kita semak rekod FINAS kita akan dapati filem Adiwiraku, pemenang anugerah Filem Terbaik hanya mencapai kutipan RM118 ribu. Filem Redha yang dipuji pengkritik serta menggodol 3 anugerah - pelakon lelaki terbaik, pelakon kanak-kanak terbaik dan pengarah harapan hanya mendapat RM468 ribu. Filem Pekak yang dibintangi dua nama besar lakonan Malaysia iaitu Zahiril Adzim serta Sharifah Amani hanya mengutip RM380 ribu.

Filem Hanyut yang memenangi 3 anugerah hanya mendapat pulangan RM128 ribu dengan kos filem sebenar dianggarkan RM18 juta. Filem Interchange hanya mendapat kutipan RM497 ribu walaupun membariskan pelakon terkenal Indonesia, Nicholas Saputra.

Hanya 'Desolasi' arahan Syafiq Yusoff membariskan abangnya, Shamsul Yusoff dan Bella Dally berjaya mendapat kutipan melebihi RM1.3 juta.

abang long fadil 2 wak doyok zizan razak

Sementara itu, 'Abang Long Fadil 2' diiktiraf filem box office selepas mendapat RM17 juta dan jika dibandingkan kutipan 'Abang Long Fadil 2' dengan 6 filem yang disebutkan di atas, tak cukup untuk menandingi kehebatan kutipan filem box-office tersebut.

Adakah boleh kita hendak letakkan tanggungjawab ini pada citarasa penonton?

Jika kita duduk sejenak dan fikir, tidak ada sebarang tanggungjawab yang perlu dipenuhi oleh penonton untuk pergi menonton mana-mana filem mengikut citarasa mereka. Sokongan adalah satu benda subjektif yang tidak boleh dipaksa dan setiap orang ada kehendak mereka sendiri, apabila bercakap tentang hiburan.

Menyalahkan citarasa masyarakat yang gemar sesuatu yang ringan dan tutup otak bukanlah jalan penyelesaian kepada isu ini, kerana hendak tak hendak kita harus akui, pembuatan filem adalah satu bentuk perniagaan yang perlu diterima naik jatuhnya jadi dengan terus menyalahkan masyarakat kerana tidak mahu menonton filem berat, samalah seperti menyalahkan orang yang membeli kereta Perodua - sedangkan Mercedes lebih baik.

redha namron pelakon lelaki terbaik ffm29

Kata kuncinya adalah pilihan terletak pada tangan masing-masing dan para pendokong filem berat seharusnya menilai semula kenapa masyarakat kita tidak gemar filem-filem berat yang menang anugerah filem negara.

Pasti ramai individu yang akan menyalahkan punca semua ini datang dari kurangnya penekanan pendidikan kita pada aspek seni dan sastera, yang membuatkan masyarakat kita gemar media ringan tetapi itu jalan mudah. Menyalahkan peminat adalah jalan mudah.

Hendak membentuk atau mencenderungkan minat masyarakat ini bukanlah sesuatu yang mudah. Apatah lagi apabila berada dalam masyarakat yang gemar mengecam mereka yang gemarkan sesuatu yang ringan. Itu masalahnya sekarang ini. Golongan yang 'celik filem' merasakan mereka 'celik' sementara orang lain buta.

Lalu kecaman demi kecaman terhadap masyarakat untuk menjadi luahan rasa kecewa kerana kurangnya sambutan masyarakat Malaysia terhadap filem 'berat' ini disebut dan diulang-ulang. Sedangkan apa yang diharapkan dari mereka iaitu peminat, adalah rasa hendak cuba ke panggung menonton filem yang jarang mereka mahu tonton. Bagaimana hendak pujuk dengan kecaman? Maaflah. Sampai kiamat pun tak akan berjaya.

adiwiraku cikgu filem

Sudah ada beberapa filem yang membawa tema berbeza dan mendapat sambutan hangat, antara contoh paling mudah adalah filem 'Ola Bola' yang berjaya menyatukan sokongan peminat filem berat dan filem ringan untuk menonton. Dengan kutipan hampir RM17 juta, formula 'Ola Bola' sepatutnya menjadi acuan atau pemangkin kepada pembentukan apresiasi filem yang lebih meluas pada masyarakat kita.

Susah sebenarnya hendak memujuk masyarakat menonton filem berat selagi wujudnya jurang di antara pembikin filem dan penonton. Jurang yang ada bukan sekadar satu jurang besar, malahan melibatkan pembentukan kasta-kasta tertentu pada tahap kemampuan seseorang menelaah filem.

Mungkin bagi peminat filem ringan, mereka melihat filem-filem berat yang mempunyai banyak maksud tersirat sebagai satu karya syok sendiri, yang mesejnya tidak sampai. Yang menyakitkan kepala. Yang membuatkan mereka bosan.

Pembikin filem perlu terima kewujudan peminat filem di negara kita yang hanya melihat filem ini sebagai satu bentuk hiburan semata-mata, tanpa mahu menyulitkan minda memikirkan makna sebenar karya.

Realitinya, jika penonton rasa mereka tidak akan terhibur atas pandangan pertama mereka terhadap poster, teaser, promo, trailer, iklan dan media yang mempromosikan filem-filem layak anugerah ini, kenapa perlu mereka perlu mengeluarkan duit untuk menontonnya di pawagam?




Hakcipta iluminasi.com (2017)