Setelah berdekad-dekad dianjurkan, penganjuran majlis Anugerah Academy pasti mempunyai naik turun prestasinya.

Walaupun ada pihak mengatakan formula acara penganugerahan bagi menghargai karyawan terbaik setiap tahun sebagai lapuk - kemampuan Anugerah Academy untuk menarik minat orang ramai masih utuh.

Terdapat banyak detik manis telah direkodkan namun dalam masa sama, beberapa insiden yang kurang sopan serta tidak sepatutnya berlaku turut sama menjadi anekdot sejarah penganjuran.

BESARKAN TEKS     A-  A+

1. Will Smith tampar Chris Rock

will smith tampar orang atas pentas isteri

Penganjuran majlis anugerah Academy belum pernah menyaksikan aksi kekerasan fizikal yang didorong emosi berlaku di kalangan mereka yang hadir.

Bagaimanapun pelakon terkenal, Will Smith hilang sabar, selepas penyakit kehilangan rambut isterinya Jada Pinkett dijadikan bahan komedi pengacara iaitu Chris Rock.

Detik ini pasti akan terus disebut-sebut di masa akan datang.

Apa yang nyata : pada awalnya Smith turut sama mentertawakan lawak Rock sebelum dia tiba-tiba mengubah pandangan - besar kemungkinan selepas menyedari reaksi isterinya yang diketahui sensitif dengan penyakit dialaminya.

Berjalan pantas ke pentas, Smith menampar Rock tepat di pipi. Harus diakui Chris Rock bijak mengawal situasi bahkan masih mampu menjernihkan suasana dengan komen komedi, walaupun jelas sakit di tampar.

Sama ada tindakan Chris Rock itu salah atau Will Smith sendiri perlu belajar lebih bersabar, anda pilihlah sendiri.

Insiden yang baru berlaku ini pasti akan terus dikenang sebagai adegan sebenar yang berlaku dalam majlis yang meraikan adegan lakonan.

2. Marlon Brando menolak anugerah dengan protes unik

sacheen littlefeather marlon brando

Enggan mengiktiraf kaedah Hollywood yang sering menstereotaip paparan watak orang asal Amerika dalam filem, pelakon Marlon Brando memboikot terus majlis anugerah Academy ke 45 yang berlangsung pada tahun 1973.

Disebut-sebut bakal pemenang anugerah pelakon lelaki terbaik tahun itu, Brando melantik seorang pelakon wanita etnik orang asal Amerika bernama Sacheen Littlefeather untuk membacakan ucapan pemenang.

Littlefeaher yang hadir dengan pakaian tradisi masyarakat beliau dalam ucapan awalnya menyebut Brando tidak hadir hari itu kerana memang tidak mahu menerima anugerah tersebut.

Sebagai pengganti, Littlefeather membacakan mesej yang dikarang Brando; mengkritik layanan studio di Hollywood terhadap ketidak adilan yang menimpa masyarakat orang asal. Insiden itu menyebabkan reaksi bercampur baur di kalangan penggiat Hollywood.

Ada yang menyokong tindakan Brando dan keberanian Littlefeather muncul menggantikannya. Ada yang mengkritik tindakan itu hanyalah satu helah publisiti.

Pelakon terkenal filem aksi koboi, John Wayne pula lebih keterlaluan; bertindak menyerang Littlefeather di belakang pentas sehingga memerlukan 6 orang pengawal sekuriti menahannya.

3. Roman Polanski - pedofil yang terus diiktiraf karyanya

roman polanski pengarah pelarian jenayah banduan

Adakah sesebuah majlis anugerah harus mengenepikan tuduhan jenayah yang melibatkan pemenangnya?

Itulah kontroversi yang timbul selepas pengarah Roman Polanski memenangi anugerah pengarah terbaik dalam majlis anugerah Academy ke 75, yang berlangsung dalam tahun 2002. Polanski menang menerusi filem biopik 'The Pianist.'

Beliau pada tahun 1977 telahpun mengaku bersalah atas dakwaan dengan memberikan dadah sehingga mengkhayalkan kemudian merogol seorang anak gadis berusia 13 tahun (ketika kejadian) bernama Samantha Geimer.

Selepas bersetuju untuk mengaku bersalah bagi mendapatkan hukuman lebih ringan, Polanski melarikan diri ke Paris, Perancis pada tahun 1978 sebelum hukuman dapat dibacakan.

Ekoran ketiadaan perintah ekstradisi di sana, Polanski terlepas daripada hukuman. Sehingga kini dia diburu sistem undang-undang Amerika Syarikat. Kemenangan Polanski menyebabkan banyak pihak mempersoalkan tahap etika juri anugerah Academy terlibat.

Situasi ini berulang lagi baru-baru ini, dalam sebuah majlis anugerah karyawan Cesar di Perancis tahun 2020, apabila Polanski diisytiharkan pemenang kategori pengarah terbaik melalui filem 'An Officer and A Spy.'

Pengumuman itu menyebabkan beberapa orang hadirin memilih untuk keluar dewan sebagai tanda protes atas 'keterbukaan' penganjur membenarkan Polanski bertanding dan menjadi pemenang.

4. Kesilapan sebutan nama pemenang anugerah filem terbaik

kesilapan moonlight la la land

Tersalah sebut sesuatu, memang menjadi satu kebiasaan semua orang.

Bagi gandingan penyampai veteran Warren Beatty dan Faye Dunaway, kesilapanakibat kekeliruan yang tidak sengaja berlaku menjadi detik anugerah Academy yang sukar sekali dilupakan di masa akan datang.

Semasa majlis penyampaian, Beatty terbuka kad yang salah semasa mengumumkan kategori filem terbaik tahun 2017, tidak tahu bagaimana boleh tertukar dengan kad pemenang kategori pelakon wanita terbaik - yang dimenangi Emma Stone dari filem 'La La Land.'

Dunaway di sebelahnya yang mungkin melihat Beatty terkedu terus membaca nama filem dalam kad itu sebagai pemenang anugerah utama malam itu, membuatkan keseluruhan kru produksi La La Land naik ke pentas dengan wajah ceria menerima anugerah.

Ketika ucapan penghargaan sudah masuk separa jalan, barulah penyampai dan hos majlis diberitahu apa yang telah berlaku. Kru produksi filem 'Moonlight' yang sepatutnya diumum pemenang dijemput naik ke pentas.

Kumpulan produksi 'La La Land' terpaksa beredar dari pentas, ramai yang terpinga-pinga dengan apa yang telah berlaku selepas kemenangan mereka ditarik balik sekelip mata.

5. Pemenang anugerah diasingkan dari hadirin kerana warna kulit

hattie mcdaniel anugerah academy

Berbeza dengan situasi sekarang di mana Chris Rock seorang karyawan kulit hitam dijemput mengendalikan majlis anugerah Academy, satu ketika dulu akibat segregasi etnik Amerika Syarikat - hanya hadirin berkulit putih layak menghadiri majlis anugerah Academy.

Bagi calon anugerah pelakon pembantu wanita terbaik anugerah Academy ke 12, Hattie McDaniel, pengalaman beliau menghadiri acara berprestij itu merupakan satu pengalaman pahit.

Dianjurkan di The Ambassador Hotel, Los Angeles dalam bulan Februari tahun 1940 - hotel itu ketika itu melarang mana-mana individu kulit hitam memasukinya. Untuk McDaniel, satu pengecualian khas diberikan atas permintaan David O. Selznick, produser kepada filem lakonan McDaniel iaitu filem klasik 'Gone With the Wind.'

McDaniel hadir diberikan meja berasingan yang terletak agak jauh dari tetamu lain, duduk bersama pemandunya hari itu dan juga ejen beliau.

Selepas diumumkan sebagai pemenang, McDaniel yang sepatutnya turut dijemput ke parti sebagai pemenang anugerah terpaksa pulang. kerana parti yang dianjurkan hanya terbuka untuk individu kulit putih.

Walaupun detik itu dilihat sesuatu sejarah memalukan masyarakat Amerika Syarikat, kemenangan McDaniel yang juga anak kepada pasangan hamba di sana sehingga bergelar individu kulit hitam pertama memenangi anugerah Academy, merupakan satu detik perubahan penting sistem sosial negara itu.

Hampir dua dekad selepas itu, dasar segregasi warna kulit di sana berjaya dilenyapkan pada tahun 1959.

Walaupun demikian, komuniti kulit hitam di Amerika Syarikat terpaksa menunggu sehingga tahun 1991, untuk menyaksikan Whoopi Goldberg menjadi wanita kedua memenangi anugerah Academy dalam kategori serupa.

Kini, karyawan kulit hitam boleh dikatakan menguasai carta populariti industri hiburan di sana. Pergaduhan Will Smith dengan Chris Rock tidak boleh berlaku, sekiranya perubahan ini gagal dilaksana.




Hakcipta iluminasi.com (2017)