Dari satu generasi ke generasi, trend fesyen berubah bentuk dan gaya.
Ada yang bermula sebagai sebuah budaya bawahan masyarakat barat, ada yang bermula disebabkan populariti industri hiburan dan ada juga yang secara tak sengaja menjadi ikut-ikutan.
Memandang balik ke belakang, banyak sebenarnya trend fesyen yang agak lucu apabila difikirkan pernah kita cuba-cuba lakukan. Berikut adalah lima yang kami rasa kelakar apabila difikirkan.
BESARKAN TEKS A- A+
1. Mullet
Kami tidak tahu apa nama trend ini dalam bahasa Melayu, jadi lebih senang kita memanggilnya 'mullet' sahajalah. Gaya rambut yang menampilkan rambut pendek di bahagian atas dan panjang di bahagian belakang ini cukup popular satu masa dahulu.
Dipercayai diceritakan kali pertama dalam sejarah sekitar tahun ke 6 sebelum Masihi, menjadi fesyen rambut popular di kalangan tentera yang dipanggil 'fesyen Hun'. Mereka menggayakan fesyen tersebut bagi mengelakkan mata ditutupi rambut tetapi dalam masa yang sama mempunyai rambut di belakang yang mampu memanaskan bahagian leher.
Populariti 'mullet' benar-benar memuncak pada era moden selepas kumpulan muzik berpengaruh seperti The Beatles menggayakannya. Namun kumpulan muzik hip-hop Beastie Boys bertanggungjawab memperkenalkan terma 'mullet' menerusi lagu 'Mullet Head' pada dekad 90-an yang terus kekal sehingga kini, sebagai istilah rasmi fesyen ini.
2. Rambut perm
Satu ketika dulu di negara kita sekitar dekad 80-an dan 90-an, wujud salon-salon khas untuk wanita hadir bagi mengeritingkan rambut - atas pilihan sendiri. Pada era tersebut, semakin besar rambut seseorang wanita, semakin kelihatan cool wanita itu.
Untuk mencapai matlamat itu, kaum wanita akan ke salon bagi menjalani sesi rawatan yang akan menambahkan saiz rambut agar mengembang serta bertukar menjadi bentuk simpulan kecil.
Anda masih boleh melihat ada kedai-kedai yang kekal menamakan perniagaan mereka sebagai kedai keriting rambut, di papan tanda mereka. Mungkin pemilik perniagaan ini enggan menukar papan tanda kedai mereka kerana rasa sayang atau mungkin juga mereka masih berharap fesyen ini akan kembali popular.
'Perm' popular di kalangan wanita tetapi malangnya ketika era kemuncak kumpulan heavy metal barat lebih 2 dekad dahulu, golongan lelaki juga mula menjadikan rambut kembang sebagai satu gaya wajib identiti setiap kumpulan.
Peminat yang terpengaruh juga mula mengikut yang akhirnya membawa kepada ledakan lelaki-lelaki berambut kembang, apabila dilihat dari belakang tak pasti jantinanya lelaki atau perempuan.
3. Overall
Jika anda ke pasaraya beli belah popular sekitar dekad 90-an, anda dapat melihat kanak-kanak dan anak muda di negara kita cukup gemar menggayakan baju 'overall' yang diperbuat daripada kain denim.
Biasa datang dengan warna biru cerah, fesyen ini menjadi kegilaan masyarakat kita yang berkemungkinan besar tidak tahu keperluan sebenar fesyen ini. Baju 'overall' direka pada awalnya berdasarkan kepada golongan pekerja khasnya mereka yang menjalankan kerja rencam.
Diperbuat daripada kain denim yang kukuh serta mempunyai bukaan pada bahagian bahu yang memudahkan pergerakan, rekaan ini dipopularkan dengan penjualan paten-paten jahitan sendiri oleh syarikat McCalls disebabkan oleh keperluan wanita era Perang Dunia pertama di Amerika Syarikat yang perlu membantu usaha perang.
Pakaian wanita zaman tersebut lembut dan kurang sesuai bagi kerja berat, jadi overall dijadikan standard utama bentuk pakaian yang sesuai mempopularkan pemakaian fesyen itu di kalangan wanita.
4. Seluar koyak
Seluar jeans koyak di tempat-tempat tertentu menjadi ikutan orang ramai satu masa dahulu, apatah lagi selepas meledaknya gerakan muzik Seattle pada dekad 90-an yang mempopularkan fesyen sedemikian rupa.
Walaupun demikian, fesyen jeans koyak ini sebenarnya sudah bermula lebih awal semasa zaman populariti muzik punk pada dekad 70-an dan hair/heavy metal di barat pada dekad 80-an, sebelum dekad 90-an menjadikannya satu perkara biasa.
Impaknya dapat dilihat sehingga sekarang. Dulu seluar jeans yang koyak ini koyaknya biasanya berlaku secara semula jadi, disebabkan oleh insiden atau telah dipakai terlalu lama.
Zaman sekarang kalau anda ke kedai seluar jeans, anda boleh membeli seluar jeans baru yang koyaknya itu, adalah sebahagian dari rekaan pengeluar. Proses menembak pasir (sandblasting) kepada seluar yang telah siap dijahit akan dilakukan oleh pekerja, bagi mendapatkan hasil koyakan yang diingini.
Kita semua tahu apabila pengeluar sendiri sudah dengan sengaja mengeluarkan produk koyak yang mampu dijual pada harga lebih tinggi, telah tiba masanya trend ini perlu diberhentikan sampai mati.
5. Seluar jatuh
Setiap kali kami nampak ada anak muda atau anak 'separa muda' cuba menggayakan trend fesyen ini satu masa dahulu, banyak sekali cemuhan, kutukan dan kritikan tidak terhambur bermain di kepala. Kenapa nak kena pakai seluar jatuh sampai nampak seluar dalam dengan sengaja?
Dari segi sejarah, wujud banyak teori yang menyebut asal-usul fesyen ini. Pendapat paling popular tetapi sering disangkal berkait dengan budaya banduan lelaki dalam penjara, yang akan menurunkan seluar bagi menandakan mereka mahu menjalinkan hubungan seksual sejenis.
Ada pendapat turut berkait dengan penjara menyebut disebabkan masalah larangan pemakaian tali pinggang dalam penjara, banduan kerap memakai seluar yang jatuh. Trend ini kemudiannya diikuti masyarakat luar.
Pendapat paling masuk akal pula menyebut oleh kerana berlakunya masalah ekonomi di kalangan masyarakat kulit hitam Amerika Syarikat satu masa dahulu, ibu bapa berjimat dengan memberikan seluar milik abang kepada adik yang saiznya lebih besar.
Oleh kerana ukuran pinggang yang kurang sesuai, seluar yang dipakai akan jatuh sehingga ke bahagian peha. Apabila sesuatu gaya itu dibuat beramai-ramai dalam satu komuniti, akhirnya budaya yang tidang sengaja itu ditukar menjadi trend seterusnya menyebabkan gaya ini kekal popular hingga kini.