Oleh pada 08 Aug 2021 kategori

Penggunaan teknologi dalam kejohanan sukan sudah lama menimbulkan perbincangan hangat di kalangan peminat dan pengikut sukan dunia.

Teknologi yang dibangunkan kini banyak membantu atlet beraksi, memberikan pengaruh besar kepada prestasi yang mampu ditonjolkan oleh atlet.

Bagi mereka yang menyokong penggunaan teknologi ini, mereka melihat teknologi sebagai pembantu kepada pencapaian yang lebih tinggi.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Manakala yang menolaknya, teknologi yang ada hanya menimbulkan ketidakseimbangan disebabkan produk atau peralatan yang terhasil, tidak semestinya boleh diakses oleh semua atlet seperti kasut atau peralatan lain.

Lain pula ceritanya dengan teknologi trek larian yang dibangunkan untuk temasya Olimpik 2020.

Trek lain yang ada dikatakan mampu mempengaruhi kekuatan larian atlet, sehinggakan mampu mempercepatkan masa yang dicatatkan. Adakah ini wajar?

Trek larian terpantas setakat ini

trek olimpik mondotrack ws laju pantas

Dalam beberapa dekad sebelum ini, sebuah syarikat dari Itali bernama Mondo diberikan penghormatan untuk menyediakan trek larian dalam 12 temasya Olimpik, termasuklah yang terbaru di Jepun.

Bagi semua acara Olimpik, trek yang akan dipasang dikenali dengan nama Mondotrack WS dibangunkan Mondo sebagai solusi permukaan trek menggabungkan teknologi terkini yang mencipta permukaan sempurna berasaskan getah.

Bermula temasya Olimpik 1976, trek binaan Mondo mula diterima untuk penggunaan dalam acara larian sebelum Mondo mula diberikan hak eksklusif menjadi satu-satunya pemasang trek Olimpik di temasya Olimpik Barcelona tahun 1992.

Berdasarkan statistik yang dikeluarkan oleh Mondo sendiri - sudah lebih 280 rekod baru dunia acara larian telah berjaya dicatat semasa atlet berlari di atas trek keluaran Mondo; merangkumi lebih 70% rekod baru yang dicatatkan.

Adakah angka ini menceritakan sesuatu yang aneh?

Semakin mudah memecahkan rekod dunia

pemenang emas olimpik sydney mclughlin

Sekiranya diambil kira prestasi atlet larian Olimpik dalam temasya Tokyo, dapat dilihat bagaimana masa yang dicatatkan para atlet banyak dibantu oleh permukaan trek.

Dalam larian 400 meter berpagar bagi lelaki dan wanita misalnya, rekod dunia yang dicatat sebelum itu berjaya dipecahkan dalam kedua-dua acara.

Buat pertama kalinya dalam sejarah Olimpik, dua orang pelari wanita berjaya mencatatkan rekod bawah 52 saat dalam acara tersebut.

Pelari dari Amerika Syarikat serta bekas pemegang rekod dunia, Dalilah Muhammad percaya permukaan trek itu banyak membantu larian. Menurut Dalilah dia belum pernah berlari di atas trek yang sesempurna dan sepantas itu, sehingga mampu mencatat masa 51.58 saat.

Walau bagaimanapun, larian terbaiknya itu yang memecah rekod dunia hanya sekadar cukup untuk memenangi perak kerana rakan senegaranya Sydney McLaughlin, berjaya mencatat 51.46 saat.

Teknologi Mondotrack diakui membantu mempercepatkan atlet

trek larian mondo track tokyo olimpik 2020

Dua kategori acara 400 meter serta larian 110 meter berpagar dalam acara decathlon menyaksikan rekod baru dunia dicipta dan situasi sebegitu jarang berlaku.

Kali terakhir rekod-rekod dunia banyak dipecahkan adalah pada tahun 1988 semasa Carl Lewis dan Florence Griffith Joyner menguasai acara trek Olimpik.

Kebanyakan pihak khasnya pelari menyifatkan prestasi yang hebat dipamerkan adalah disebabkan oleh persaingan yang lebih kuat di antara atlet, mengakibatkan rekod-rekod baru terus tercipta.

Namun bagi pereka trek yang digunakan temasya Tokyo 2020, Andrea Vallauri, dia sudah menjangkakan situasi ini akan timbul disebabkan oleh rekaan trek tersebut.

Trek yang dibangunkan Mondo itu menurut Vallauri, mampu menambah prestasi larian atlet di antara 1 ke 2 peratus disebabkan rekaan permukaannya.

Trek yang dihamparkan mempunyai ketebalan 14 mm, diperbuat daripada lapisan granul getah yang turut mempunyai lapisan udara di bawahnya.

Lapisan udara yang terbentuk berdasarkan kepada rekaan granul yang dipasang direka untuk menyerap hentakan bagi meminimakan risiko kecederaan atlet semasa larian.

Namun dalam masa yang sama, tenaga yang terhasil daripada setiap langkah pelari akan dihantar semula ke kaki pelari, lalu menghasilkan kesan mirip trampolin yang membantu atlet bergerak lebih pantas.

Kebanyakan pelari menggambarkan larian di atas trek tersebut sebagai sebagai sangat pantas, di mana setiap langkah diambil sangat teratur dan perasaan lariannya sangat lancar 

Adakah teknologi sudah mula menjadi penentu?

pemenang norway karsten warholm kontroversi kasut

Walaupun ada perbincangan berkenaan pengaruh trek ke atas prestasi atlet, sekurang-kurangnya trek dibuka untuk semua.

Selain trek, kontroversi berkenaan penggunaan kasut larian juga timbul sehingga mengakibatkan konfrontasi antara atlet bertanding - khasnya melibatkan siri kasut larian keluaran Nike yang digelarkan atlet sebagai 'super spike.'

Pemenang pingat emas serta pemegang rekod dunia baru acara 400 meter berpagar Karsten Warholm, dari Norway merupakan antara individu yang lantang menyuarakan pendapat ini.

Dalam perlumbaan yang dimenanginya, 3 orang atlet yang memenangi pingat berjaya memecahkan rekod dunia yang dicatat 29 tahun lalu oleh Kevin Young dari Amerika Syarikat dengan catatan 46.78 saat.

Warholm mencatatkan 45.94 saat, seteru utamanya Rai Benjamin dari Amerika Syarikat 46.17 dan Alison Dos Santos dari Brazil 46.72 saat.

Warholm secara terbuka menuduh Benjamin yang berlari menggunakan kasut keluaran Nike mempamerkan aksi baik kerana dibantu keupayaan kasut itu, disebabkan kesan lonjakan yang mampu dihasilkan dari perubahan struktur kasut tersebut setiap kali atlet melangkah.

Menurut Warholm yang tidak menggunakan kasut kontroversi itu, pelari yang menggunakan 'trampolin' untuk membantu lariannya adalah seorang penipu.

Kasut 'super spike' akan terus jadi kontroversi

karsten warholm rai benjamin olimpik akhir rekod dunia

Kontroversi  berkaitan kasut ini sudah mula dibincangkan beberapa tahun kebelakangan ini, mengakibatkan ada gesaan agar kasut keluaran Nike itu dilarang penggunaannya bagi mana-mana acara besar dunia.

Semuanya disebabkan kasut tersebut dikatakan memberikan kelebihan tidak adil kepada penggunanya, mampu meningkatkan prestasi atlet setinggi 2%.

Apa yang jelas, perbincangan berkenaan teknologi sukan dan impaknya terhadap prestasi sebenar atlet akan terus dibincangkan.

Setiap pihak terlibat pasti mempunyai hujah masing-masing sama ada untuk menyokong atau membangkang kesan teknologi dalam setiap pertandingan.

Bagaimana dengan pandangan anda?

Adakah anda rasa peralatan yang membantu seperti kasut dan trek larian berteknologi tinggi satu kelebihan yang perlu kita terima atau dikawalselia?

Atau pengendali sukan perlu meminimakan pengaruh teknologi ke atas atlet, bagi membolehkan setiap acara dipertandingkan dalam kondisi sama rata?




Hakcipta iluminasi.com (2017)