Jepun memberikan impak yang sangat besar pada pembentukan budaya-budaya khasnya budaya popular mereka, yang kini menjadi ikutan anak-anak muda.

Populariti budaya bertaraf subkultur mereka cukup terkenal sehinggakan tidak sah sekiranya kita tidak dapat melihat elemen-elemen yang dipinjam dari Jepun, diamalkan walaupun dalam masyarakat Malaysia.

budaya culture jepun yang diterima dunia

BESARKAN TEKS     A-  A+

Daripada generasi muda hinggalah ke generasi berusia, pasti ada satu atau dua subkultur Jepun yang menjadi ikutan kerana kesesuaiannya. Berikut adalah 8 subkultur masyarakat Jepun yang berakar kuat di Jepun namun berjaya mengembangkan pengaruhnya ke serata dunia.

1. Anime

anime budaya jepun

Anime atau animasi Jepun merupakan satu budaya yang mempunyai sifat yang sangat unik, berbeza dengan animasi-animasi yang datang dari negara lain. Sekiranya kita bandingkan pembentukan watak di antara watak anime dengan mana-mana watak lain, amat mudah untuk kita mengenali mana satu yang didatangkan dari Jepun, berikutan ciri-ciri unik yang ada pada konsep lakarannya.

Animasi Jepun seolah-olah wajib menggunakan ciri-ciri mata besar, watak yang kelihatan jauh lebih muda daripada usia dan juga penggunaan kesan khas yang memberikan impak besar pada pergerakan.

Sekiranya kita tonton animasi-animasi lain, dapat dilihat betapa besarnya pengaruh anime pada masyarakat dunia kerana semakin banyak siri-siri animasi daripada Korea dan China khasnya, yang seakan terikut dengan corak anime. Kartun animasi dari Amerika Syarikat juga tidak dapat lari daripada mula menggunakan elemen-elemen ke-anime-an dalam kartun mereka, sekian lama.

2. Super Sentai

tokusou sentai budaya jepun

super sentai power rangers budaya jepun

Salah satu rekaan paling dikenali oleh seluruh masyarakat dunia berikutan popularitinya, konsep 'super sentai' yang kebiasaannya memaparkan sekumpulan individu dapat bertukar kepada satu bentuk lain sehingga mampu menumpaskan penjahat (biasanya makhluk asing) terus relevan sehingga kini.

Mungkin masih ada yang belum tahu siri popular Power Rangers sebenarnya diasaskan oleh salah satu siri televisyen Super Sentai, sebelum digantikan adegan dialognya dengan adegan yang dirakam menggunakan pelakon barat. Kesemua babak pertarungan dalam siri Power Rangers boleh dikatakan datang dari rakaman yang dilakukan di Jepun.

Selain Super Sentai, watak-watak asli ciptaan Jepun seperti Kamen Rider dan siri Shikaider turut sama diikuti hingga kini. Bagi generasi 80-an dan 90-an, mereka pasti mengingati lagi siri Space Cop Gaban dan Satria Baja Hitam yang sangat popular di kalangan kanak-kanak zaman tersebut.

3. Cosplay

cosplay budaya jepun

Budaya 'cosplay' atau 'costume play' sudah menjadi satu fenomena yang mendapat sambutan menggalakkan, khasnya daripada golongan muda dan juga segelintir warga berusia yang belum dapat melepaskan kenangan-kenangan lama mereka. Pelbagai watak yang dibina hasil daripada komik, anime, permainan video dan juga filem kerapkali dilakonkan semula oleh individu yang digelarkan 'cosplayer', menggabungkan rekaan kostum serta seni fotografi yang boleh dikatakan berbakat tinggi.

Walaupun hakikat sebenarnya budaya 'cosplay' ini sebenarnya mempunyai sejarah panjang melibatkan individu berpakaian unik di luar Jepun serta di Jepun bermula tahun 1970-an, hanya selepas pengenalan istilah 'cosplay' oleh Nobuyuki Takahashi dalam majalah minggu 'My Anime' pada 1984 menyebabkan cosplay jadi sangat popular. Jepun mengambil serius trend baru ini dan mula menjadikan cosplay sebagai budaya tetap yang mereka sanjungi.

4. Japanese Idol

aramajapan com morningmusume18happy

Dimulakan untuk menjadi idola kepada orang ramai, industri hiburan Jepun memulakan budaya 'Japanese Idol' bagi mempopularkan nilai-nilai baik kepada masyarakat. Kedua-dua jantina baik lelaki atau wanita boleh menyertai ujibakat dalam pencarian Japanese Idol ini yang dianjurkan oleh agensi-agensi pencari bakat di Jepun.

Kebanyakan kumpulan ini mampu membawakan lagu dengan baik serta mempunyai perwatakan ceria, tidak semestinya berbakat sebagai seorang ahli muzik professional yang mampu bermain muzik dengan baik. Budaya ini mendapat nama daripada populariti sebuah filem Perancis berjudul 'Cherchez Idole' yang menjadi kegilaan masyarakat Jepun pada tahun 1963.

Pengaruh Japanese Idol turut sama mempengaruhi pembentukan awal industri hiburan di Korea Selatan pada mulanya, sebelum penggiat industri Korea Selatan menemui identiti mereka sendiri yang kini terkenal sebagai K-Pop diseluruh dunia.

5. Otaku

otaku budaya jepun

Istilah 'otaku' merujuk kepada individu-individu yang obses kepada beberapa jenis subkultur Jepun seperti anime dan manga khasnya. Ramai orang mengaku mereka otaku, tetapi sebenarnya bukan semua layak dikatakan sedemikian.

Pada mulanya istilah otaku digunakan untuk merujuk mereka yang menyertai konvensyen-konvensyen melibatkan animasi. Istilah itu digunakan kali pertama dalam sebuah artikel tulisan Nakamori Akio dalam majalah 'Manga Burikko', pada tahun 1983. Mengalami beberapa perubahan, subkultur 'otaku' kini digunakan secara lebih meluas, bukan saja di Jepun malahan seluruh dunia.

Satu kajian mendalam telah pun dilakukan bagi memberikan klasifikasi khas kepada kumpulan otaku ini pada tahun 2004 dan 2005, dengan kumpulan otaku dibahagikan kepada jenis obsesi mereka - komik, Japanese Idol, kaki mengembara, permainan video, kereta, anime,, peralatan audio visual, kamera, fesyen dan tak lupa juga peminat setia keretapi.

6. Manga

watak manga budaya jepun

Walaupun komik bukannya berasal daripada Jepun, malahan mempunyai sejarah panjang beribu tahun lamanya - sejarah manga di Jepun bermula pada penghujung abad ke 19. Istilah 'manga' itu sendiri memang digunakan secara spesifik merujuk kepada komik-komik yang diterbitkan dari Jepun.

Manga memang meletup di negara-negara luar, dengan Perancis menjadi peminat manga terbesar Eropah, sehingga mempunyai genre komik mereka sendiri yang digelarkan sebagai 'manfra.'

Di negara kita, kemasukan manga pada awalnya diuruskan oleh sebuah syarikat bernama Comics House dan penerbit Tora Aman yang bertanggungjawab menerbitkan karya-karya hebat seperti Mutiara Naga, Misteri Naga, Dik Cerdas, Doraemon dan bermacam lagi jenis komik. Sekiranya anda peminat majalah dan siri komik Gempak, pasti anda dapat melihat pengaruh besar genre manga pada konsep dan lukisan pelukis-pelukis di dalamnya.

7. Bonsai

poko bonsai budaya jepun

Satu masa dulu pokok bonsai menjadi kegilaan ibu bapa anda tak? Kami tak berapa pasti pada tahun berapa fenomena bonsai menjadi kegemaran golongan dewasa di negara kita. Bonsai adalah teknik di mana sebuah pokok kerdil yang menyerupai sebuah pokok bersaiz sebenar cuma ditanam di dalam pasu-pasu.

Terma 'bonsai' sebenarnya membawa makna yang spesifik iaitu pokok kerdil yang hidup dalam pasu, serta dibesarkan menggunakan tradisi dan prinsip masyarakat Jepun. Digunakan sebagai satu bentuk hiasan, pemilik-pemilik bonsai perlu memiliki disiplin yang tinggi dalam memastikan penjagaan pokok-pokok kecil ini berjalan dengan sempurna.

Diminati ramai berikutan keunikannya, peminat-peminat bonsai mengadakan konvensyen pertama mereka di Osaka pada tahun 1980, sebelum mula dianjurkan negara-negara luar seperti Korea Selatan, Jerman, Amerika Syarikat dan Puerto RIco.

8. Hentai

kucing comel budaya jepun

Sebut mengenai hentai pasti semua tahu. Jadi kami biarkan saja gambar kucing berpakaian seragam sekolah ini menjelaskan segala-galanya. Hentai terkenal di seluruh dunia bahkan ada yang mengambil kesempatan menghasilkan produk-produk seperti bantal, pakaian dan peralatan lain bertemakan "hentai".

Perkataan hentai sebenarnya membawa maksud perubahan atau metamorfosis. Perubahan di sini merujuk kepada "manga" biasa Jepun yang bertukar konsep kepada lebih nakal. Itu adalah bagi penjelasan bagi zaman urban kini, namun pada era pemerintahan Meiji, perkataan hentai bermaksud "aktiviti yang tidak normal" termasuklah kebolehan luarbiasa, paranormal dan masalah psikologi.

so re wa haram desu




Hakcipta iluminasi.com (2017)