Rekaan kenderaan fantasi mempunyai peminat tersendiri, khususnya kenderaan ikonik yang pernah muncul dalam filem atau drama.

Biasanya dibentuk berasaskan model kenderaan sebenar, banyak rekaan kenderaan imaginasi yang diperkenalkan berdekad-dekad lamanya kini masih segar, dek bentuknya yang seakan tak dimakan zaman.

Berikut adalah 8 kenderaan ikonik yang cukup diminati peminat filem dan drama. Yang mana satu kegemaran anda atau anda ada pilihan lain pula?

BESARKAN TEKS     A-  A+

1. KITT

kitt knight rider

KITT adalah nama kepada kenderaan dalam siri TV popular 'Knight Rider' yang mempunyai kepintaran sendiri, mampu merancang strategi optimum serta berbual dengan pemiliknya.

pontiac trans am asal knight rider

Dibina daripada rekaan asal kereta Pontiac Trans Am tahun 1982, model yang telah diubahsuai ini cukup mudah dikenali kerana jalur lampu merah di depannya, yang memberikan identiti futuristik jika dibandingkan dengan rekaan asalnya.

2. Mystery Machine

mystery machine replika van

Mystery Machine menjadi kenderaan utama mengangkut kumpulan penyiasat bernama Mystery Inc., setiap kali mereka bertemu misteri dalam siri animasi/filem popular Scooby Doo.

ford taunus transit

Rekaan van ini tidak diambil daripada model dunia nyata sebaliknya mengadunkan elemen-elemen beberapa van panel berbeza. Rekaan peringkat awalnya kelihatan mirip dengan sebuah model dekad 60-an keluaran syarikat Ford, iaitu model Ford Taunus Transit.

3. DMC Delorean

delorean dmc 12

Filem Back to the Future bertanggungjawab mempopularkan model ini ke serata dunia, walaupun realitinya kereta ini tidak mendapat sambutan menggalakkan.

DMC Delorean ikonik kerana rekaannya yang cukup mempesonakan khususnya bahagian pintu sayapnya serta warna perak kusam yang membuatkan tampak dari masa depan.

Bagaimanapun kualiti kenderaan itu dikritik sehinggakan jualannya perlahan, menyebabkan syarikat pengeluarnya DMC diisytiharkan bankrap setahun selepas Delorean dilancarkan.

Terjual hanya 9,000 unit, dianggarkan masih ada 6,000 model ini aktif berkhidmat untuk pemilik mereka.

4. Van A-Team

gmc vandura a team

Diasaskan daripada model sebenar GMC Vandura yang sangat popular di Amerika Syarikat, van terkenal dalam siri TV klasik 'The A-Team' ini merupakan antara van idaman penulis semasa kecil. Tengoklah rupanya itu. Evergreen betul.

gmc vandura bas sekolah

Warna hitam dengan jalur merah yang dipadankan pada model keluaran tahun 1983 ini cukup mudah dikenali, apatah lagi dengan penambahan aksesori dibeberapa bahagian badan van ini yang membuatkannya tampak jauh lebih agresif berbanding model asalnya.

Bagaimanapun, penggunaan GMC Vandura dalam realiti lebih kepada praktikal. Mudah diubahsuai, Vandura boleh ditemui dengan modifikasi seperti ambulans, kereta mayat dan juga bas sekolah; seperti gambar di atas.

5. Thunderhawk

thunderhawk animasi mask

Sebelum siri filem Transformers mempopularkan model kereta Chevrolet Camaro, model sama sebenarnya telah dipopularkan terlebih dahulu dalam siri animasi klasik MASK yang pernah popular di negara kita.

1982 camaro z28

Kenderaan yang diberikan nama 'Thunderhawk' ini jelas direkabentuk daripada rekaan kenderaan Chevrolet Camaro Z28 tahun 1982, diberikan warna merah serta dipadankan dengan pintu jenis sayap berbeza dengan rekaan asalnya.

Namun secara rasmi, penerbit animasi ini tidak menamakan kenderaan itu sebagai model acuannya kerana rekaan yang dicedok ini dilakukan tanpa kebenaran Chevrolet sendiri.

6. Ecto-1

ecto 1 ghostbuster

Filem dan siri animasi Ghostbuster telah melahirkan banyak rekaan yang ikonik dalam budaya popular dunia. Yang paling terkenaladalah kenderaan yang mereka gelarkan sebagai Ecto-1.

cadillac meteor

Dibentuk daripada model Cadillac Miller Meteor keluaran tahun 1959, kenderaan ini sangat jarang ditemui kerana hanya ada 25 unit sahaja dikeluarkan. Dua daripadanya sudah diubah untuk menjelma menjadi Ecto-1 yang digunakan dalam filem.

7. Reliant Regal

regal

Siapa yang meminati siri popular Britain 'Mr.Bean' pasti mengenali model kereta ini.

Menjadi musuh ketat Mr. Bean sekian lama, kenderaan ini agak aneh kerana hanya mempunyai 3 tayar kesemuanya - 1 tayar depan, dua tayar belakang. Dikeluarkan daripada tahun 1953 sehinggalah tahun 1973, model yang diguna dalam siri TV ini adalah model keluaran tahun 1972 dengan warna biru muda.

Dalam semua episod, tidak sekalipun kelihatan siapa pemandu kenderaan itu.

8. Toyota Sprinter Trueno AE86

ae86 trueno

Dikeluarkan oleh syarikat Toyota dari Jepun, model ini adalah satu-satunya model kenderaan yang pernah penulis nampak di atas jalan raya kita.

Lebih dikenali dengan nama kodnya iaitu 'AE86', kenderaan keluaran Toyota ini dipopularkan ke seluruh dunia menerusi siri animasi, komik dan filem Jepun 'Initial D.'

keiichi tsuchiya drift king initial d

Spesifikasi AE86 jelas dibuat untuk dipandu laju, ringan dan mudah dipandu.

Mempunyai kestabilan yang tinggi, model AE86 mula terkenal di Jepun selepas seorang pelumba bernama Keiichi Tsuchiya (gambar atas) menjadikan kenderaan ini kereta latihan yang dilakukan secara rahsia, mempamerkan aksi gila di laluan bukit.

Dikenali dengan nama jolokan 'Drift King', legasi Tsuchiya dalam arena perlumbaan profesional Jepun membawa kepada idea asal penerbitan siri Initial D. Populariti siri itu menjadikan model ini ikonik bukan saja dikalangan peminat animasi, bahkan di kalangan pengumpul kereta dunia.




Hakcipta iluminasi.com (2017)