Jika filem-filem superhero atau adiwira dari Barat ditayangkan, penonton dari seluruh dunia termasuklah di Malaysia berpusu-pusu memenuhi pawagam pada hari pertama.
Keterujaan untuk tidak melepaskan peluang menjadi yang terawal menonton filem adiwira dari Barat sangat tinggi dalam diri kita sehingga mengagung-agungkan dan melupakan hasil kerja tempatan.
BESARKAN TEKS A- A+
Antara salah satu sebabnya adalah industri perfileman Malaysia sendiri tidak begitu kompetetif dan kurang kepakaran dalam menghasilkan filem dengan genre sebegini.
Jika dihasilkan sekalipun, ia kekurangan dari pelbagai segi membuatkan penonton tempatan tidak berminat. Akan tetapi, filem atau drama adiwira tempatan masih mempunyai peminat tersendiri.
iluminasi.com kongsikan 10 drama dan filem superhero Melayu yang popular satu ketika dahulu
1. Chempiang
kredit foto MeorHashimManap
Kemungkinan ramai pembaca yang masih muda tidak mengenali akan adiwira ini, namun ia merupakan antara yang paling popular satu ketika dahulu.
Siri Chempiang ini berdasarkan watak dari sebuah komik tempatan, sama seperti Marvel Comics namun dengan sentuhan Malaysia.
Ia diarahkan oleh Meor Hashim Manap dan antara pelakon-pelakonnya termasuklah Noor Aminuddin sebagai Anol Siregar atau Chempiang, Sasha Saidin yang memainkan watak jahat sebagai Hati Pecah dan juga Abon.
Hati Pecah (Watak jahat dalam Chempiang)
Misi utama Hati Pecah adalah untuk mencari dan menghancurkan Chempiang. Kebanyakan daripada penggambaran Chempiang dilakukan di Melaka termasuklah di Gudang KTM/Tentera yang menjadi markas Hati Pecah dan konco-konconya.
Menurut penonton, siri ini agak mengecewakan kerana watak Chempiang sering tewas dan ia dikatakan tergantung kerana tidak habis ditayangkan.
Antara dialog yang masih kekal dalam ingatan peminat setia Chempiang adalah "Chempiang is Chempiang, bukan Superman, bukan Batman" yang mana diulang-ulang berkali-kali dalam setiap episod.
kazar (degawan) sebagai Joe Jenin. Sasha Elite sebagai Hati Pecah
Noor Aminuddin sebagai Anol Siregar (Chempiang) Kredit IG MeorHashimManap
2. Cicak-Man
Jika ramai yang tak pernah mendengar tentang Chempiang, penulis pasti anda pernah menonton atau sekurang-kurangnya mengetahui tentang Cicakman.
Cicak Man merupakan sebuah filem adiwira komedi yang dikeluarkan pada tahun 2006 dan diarahkan oleh Yusry Abdul Halim. Filem ini merupakan yang pertama dalam genre ini dan menampilkan hampir 40% penggunaan CGI.
Saiful Apek memainkan watak protagonis, Hairi yang pemalu dan memperoleh kekuatan seperti seekor cicak secara tidak sengaja. Tidak biasa dengan kuasanya, Hairi mencuba yang terbaik untuk menyesuaikan dirinya yang baru ketika tinggal di bandar fiksyen, Metrofulus.
Sambungannya, Cicakman 2: Planet Hitam, dikeluarkan pada 11 Disember 2008 di Malaysia, Singapura dan Brunei berikutan kejayaan filem ini di box office Malaysia.
Filem ketiga bertajuk Cicak Man 3 telah dikeluarkan pada 12 Mac 2015 di Malaysia dengan pelakon baru, di mana Zizan Razak mengambil alih tempat protagonis Saiful Apek.
IMDb memberikan penarafan 3.8/10 kepada filem ini.
3. Pepaya
Pepaya adalah sebuah siri drama televisyen yang dibintangi oleh Zul Yahya sebagai seorang lelaki lurus bendul yang bertukar menjadi adiwira perkasa dengan hanya memakan buah betik.
Siri ini disiarkan melalui slot Aksi di TV3, setiap Isnin, 9 malam, mulai 18 Ogos 2008 hingga 9 Februari 2009.
Pastinya anda menyedari bahawa siri Pepaya ini mendapatkan ilham dari kartun Popeye, seorang kelasi yang menjadi kuat apabila memakan sayur bayam.
Menariknya, Zul Yahya sendiri yang memberikan ilham ini dan beliau menerangkan buah betik sebagai pilihan kerana buah betik adalah buah-buahan tempatan dan cukup berkhasiat terutamanya untuk melawaskan perut.
Pada mulanya, pisang dipilih namun disebabkan khuatir ia mungkin akan menimbulkan masalah dan ketidakselesaan kepada penonton dalam penghasilan kostum, maka buah lain dipilih.
Pepaya fanart kredit photo Ahmad Saiful
Watak Zul Yahya adalah seorang lelaki yang sangat lurus bendul, jujur dan tak pandai menipu. Kostum Pepaya menampilkan sepasang tangan besar buatan getah seberat 5kg sebelah.
Zul berkata, "Untuk memenuhi kehendak cerita ini, saya perlu memakai kostum yang diperbuat daripada getah itu. Bayangkan, sebelah tangan sahaja dah 5 kg. Jadi, untuk dua belah tangan dah berapa? Susah juga saya nak pikul benda tu."
4. Bio-Nik
Bio-Nik mungkin antara drama adiwira yang paling popular dalam senarai ini.
Drama adiwira bersiri terbitan KRU Studios yang disiarkan di slot Aksi (Isnin, 9 malam) di TV3 ini, mengisahkan seorang remaja bernama Nik (lakonan Kamal Adli) yang cedera parah dalam kemalangan jalan raya.
Nik lalu dibangkitkan semula dengan dilengkapi oleh pelbagai ciri-ciri robotik yang canggih yang dipasangkan pada badannya, membuatkannya mempunyai kuasa ajaib.
Bio-Nik yang diterbitkan selama 2 musim ini adalah siri TV pertama terbitan syarikat KRU Studios. Antara pelakon-pelakon lain termasuklah Hafizuddin Fazil , Intan Ladyana, Tam Suhaimi, Along Eyzendy dan Shahz Jaszle.
5. Badang
Seperti yang semua tahu, Badang adalah watak lagenda yang berubah menjadi kuat selepas memakan muntah jin, yang mana ditangkap ketika mencuri hasil tangkapan ikannya.
Terdapat banyak versi Badang, namun antara yang paling popular dan kekal dalam ingatan penonto Malaysia adalah versi lakonan Dato Alif Syukri, yang menimbulkan kontroversi dalam pelbagai segi.
Antaranya adalah melalui pelakon utamanya yang dikatakan kurang berkemahiran dalam bidang lakonan dan hanya menjadi watak utama disebabkan oleh pengaruh dan kekayaannya.
Kontroversi lain filem arahan Profesor Datuk Dr. A. Razak Mohaideen termasuklah mutu dan kualiti penceritaan yang rendah membuatkan ia menjadi bahan ketawa penonton tempatan menjurus kepada kutipan yang agak rendah iaitu sekitar RM74,148.67 sahaja.
6. Armour X
Selain superhero realiti seperti Chempiang, terdapat lagi superhero yang boleh dikira ala-ala Tokusatsu, Gaban dan Kamen Rider versi Malaysia yang wujud. Namun penulis rasa ia lebih kepada CyberCop versi Malaysia.
Mungkin ramai yang tak mengetahui namun Armor-X agak menarik dan memberikan satu nafas baru kepada filem dan drama genre ini di Malaysia.
Siri Armour X diterbitkan oleh sebuah syarikat produksi multimedia tempatan yang dikenali sebagai Shen's Imagineering dalam bentuk 4 siri VCD.
Ia mengisahkan tentang situasi pada masa hadapan, satu skuad khas dikenali sebagai Cyber SWAT menghadapi ancaman kumpulan pengganas yang diketuai Fernandez Carlos.
Skuad elit Cyber SWAT telah ditewaskan oleh pengganas apabila senjata mereka mampu merobek pakaian armor pasukan Cyber SWAT.
Penghasilan filem ini juga dibantu oleh syarikat motosikal Kris yang menyumbangkan motosikal prototaip untuk digunakan ketika penggambaran.
Dan dengan bantuan teknologi terkini, saintis kerajaan telah menghasilkan satu sut armor yang tercanggih, dikenali sebagai Armor X!
Malang sekali,
Yg sayangnya, tiada susulan untuk siri Armour X 4. Dengan skrip dan arahan yang bagus serta peruntukan penerbitan yang sederhana, Armour X dikatakan boleh menjadi siri TV lebih daripada 30 episod.
Malah, pasaran bagi watak figura aksi tempatan juga boleh dikembangkan.
7. Supermak
Jarang sekali kita dapat melihat Nasha Aziz berlakon namun beliau pernah memegang watak adiwira dalam drama Supermak di TV3.
Memegang watak Amy Salim atau Supermak, Nasha Aziz merupakan ibu yang yang sangat luar biasa dan mempunyai kuasa istimewa termasuklah kekuatan serta kepantasan yang diwarisi daripada nenek moyangnya yang bergelar Thani dari kepulauan Riau.
Menurut sejarah dan latar belakang keturunannya, Thani telah menyelamatkan hidup seekor burung mitos yang dipanggil garuda. Kisah bermula apabila burung garuda itu terkena panah, lalu cedera dan terus rebah ke tanah.
Lebih merumitkan, panah itu dibuat dari sejenis kayu yang sukar di cari. Setelah diselamatkan oleh Thani, burung garuda tersebut berubah rupa menjadi seorang wanita jelita.
Demi membalas jasa, wanita tersebut menganugerahkan lima kuasa sakti yang berlainan kepada Thani dan empat suku yang lain.
Wanita itu turut menghadiahkan sebuah pingat yang unik kepada Thani yang boleh digunakan untuk menyeru semula burung garuda mitos yang sangat berkuasa dan mampu menakluk dunia.
Kuasa dan keistimewaan yang dimiliki Supermak ini terpaksa dirahsiakan dan disembunyikan daripada suaminya yang merupakan seorang anggota polis bernama Rees lakonan Azhan Rani.
8. Mantera
Mantera yang mengisahkan seorang anak muda yang mempunyai kuasa luar biasa. Mantera bukan hanya sekadar nama tetapi ia mempunyai maksud disebaliknya iaitu Manusia Jentera atau Man Transformable Exo-Robotic Armor.
Kisah ini memaparkan perselisihan dua kumpulan robotik, sama seperti yang berlaku dalam filem Transformers dan Iron Man.
Mempertaruhkan dua wajah yang masih baru dalam industri perfileman tanah air sebagai tunjang utama iaitu Tomok dan Shiqin Kamal, filem ini kini menjalani proses pasca produksi membabitkan penggunaan imej janaan komputer (CGI).
Pemenang musim ketiga One In A Million (OIAM) ini yang memegang watak hero yang bernama Azman dan Syiqin, artis baru yang membintangi filem Lagenda Budak Setan pula menjadi heroin filem ini iaitu Deena.
9. Wira Waja
Tidak banyak maklumat yang kami dapat berkaitan superhero ini. Namun kami masukkan sekali kerana kostumnya yang "super cool". Amat merugikan sekiranya superhero ini dilupakan oleh rakyat Malaysia.
Dikatakan Wira Waja adalah telemovie adiwira yang ditayangkan di Astro Ceria/Prima pada tahun 2010. Drama ini diarahkan oleh Zaki Zamani Osman. Paling penting sekali, drama ini juga dilakonkan oleh Daphne Iking.
antara watak utama dalam Wira Waja. Lash Mokhtar dan Daphne Iking
karakter jahat dalam wira wajah bernama Kerambit Merah (tengah)
Kredit gambar sepenuhnya kepada Zakkizamani Osman
disebalik tabir pembikinan telemovie superhero Wira Waja
Wira Waja adalah antara karakter adiwira yang memiliki kostum paling cool dalam senarai kami. Kisahnya bermula di mana seorang ejen elite bernama Razif, secara tidak sengaja telah menyuntik solusi nano ketika berlaku satu serangan ganas di makmal rahsia yang Razif sedang bekerja. Solusi Nano ini menyebabkan Razif bertukar menjadi cyborg yang memiliki kehebatan luar biasa.
Wira Waja dilengkapi dengan sut-Bio dan berusaha keras untuk menentang pihak lawannya iaitu Kerambit Merah. Seperti plot cerita adiwira yang lain, pihak jahat telah menculik Daphne Iking untuk mengugut Wira Waja.
10. Satria Mega
Drama adiwira bersiri ini mengisahkan seorang pemuda bernama Azam yang memiliki kuasa luar biasa dan mampu bergabung menjadi pahlawan siber bergelar Satria Mega. Satria Mega datang ke Bumi adalah untuk menentang Putera Sandora dan pengikutnya Uka, Rika yang telah bebas di Bumi.
kostum Satria Mega yang cool
Antara watak utama dalam Satria Mega
Namun kuasa Satria Mega terhad di bumi dan memaksa dia bergabungan dengan Azam bagi mengembalikan semula kuasanya. Sejak kehadiran Sandora dan pengikutnya, Bumi tidak lagi aman dan timbul banyak kes jenayah.
Azam dan Satria Mega bekerja keras untuk menghalang agenda jahat Sandora. Sehinggalah berlaku pertarungan sengit antara Satria Mega dan Sandora, dan memaksa Satria Mega meminta bantuan penduduk Bumi untuk menewaskan Sandora
Yang sangat unik dan menarik dalam episod adiwira Satria Mega ini adalah kerana ia menyelitkan juga unsur-unsur seni mempertahankan diri silat Melayu.
Kostum seakan-akan Space Sheriff Gavan dan pandai bersilat. Cool bukan? Bagi anda, adiwira mana yang paling cool?