Pelancaran model Tesla Cybertruck oleh syarikat Tesla telah menjadikan produk terbaru itu, buah mulut orang ramai di seluruh dunia.

Ini disebabkan oleh kemampuan teknologi yang ada dalam spesifikasi trak tersebut merupakan antara inovasi yang layak dikatakan terkedepan, berbanding apa yang ditawarkan pengeluar lain. Walaupun demikian topik yang sering menjadi fokus dan tumpuan, adalah rekabentuknya yang agak aneh; mungkin disukai dan mungkin dibenci pihak yang berbeza.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Cubaan Tesla Cybertruck memperkenalkan model yang sengaja direka bentuk futuristik, bukanlah cubaan pertama pengeluar rekaan dengan prinsip serupa dibuat. Berikut adalah lima kenderaan komersial dengan rekaan futuristik paling aneh pernah ada.

1. Tesla Cybertruck

tesla cybertruck

Kita mulakan dengan model yang menjadi tumpuan sekarang - Tesla Cybertruck. Anda suka rekaannya? Kami duduk dalam kes suka.

Harus diakui rekaannya agak aneh dan jauh berbeza berbanding trak konvensional yang ada. Jika dibanding dengan rekaan produk Tesla yang lain pun, Cybertruck duduk dalam kategori berbeza.

Dengan badan diperbuat daripada logam aloi keras, yang dipercayai membantu melindungi badan trak tersebut daripada kesan kemik, calar, karat dan sebarang bentuk kecacatan - warna logam itu kekal menjadi satu-satunya tawaran warna yang ada, kerana logam aloi itu kurang sesuai untuk dicat dengan warna berbeza.

Diperkenalkan kali pertama pada penghujung 2019, hanya pada penghujung tahun 2023 pembeli model ini bakal menerima trak istimewa ini.

Setakat ini, Tesla Cybertruck dengan mod 3 motor merupakan antara kenderaan trak paling berkuasa dalam kelasnya, mampu mencapai kelajuan 96km/j hanya dalam tempoh 2.6 saat.

2. Carver One

kereta carver mobiliti

Apa akan anda dapat sekiranya anda cuba menggabungkan kestabilan sebuah kereta dengan kelincahan motorsikal? Inilah yang cuba dijawab pereka di Carver Europe B.V., sebuah syarikat dari Belanda yang menjadikan rekaan dalam spesifikasi tersebut sebagai tunjang utama syarikat mereka.

Selepas penubuhan syarikat pada tahun 1994, Carver Europe B.V. berjaya melancarkan model pertama mereka Carver One pada tahun 2007, dengan menggunakan sistem yang dinamakan sebagai Dynamic Vehicle Control atau DVC yang dipacu enjin buatan Daihatsu.

Pernah dilabelkan sebagai kereta/motorsikal paling seronok untuk dipandu oleh pengacara terkenal rancangan Top Gear, Jeremy Clarkson serta pelumba F1 Britain, Jensson Button - setakat ini sistem yang telah dibangunkan oleh Carver malangnya gagal diaplikasikan secara lebih meluas dalam industri automotif.

3. Glenfrome Facet

range rover modifikasi

Sebelum Tesla Cybertruck muncul dengan rekaan futuristik mereka, sebuah syarikat dari United Kingdom iaitu Glenfrome telah cuba memperkenalkan rekaan ala futuristik dalam salah satu model keluaran mereka, Facet.

Glenfrome bermula sebagai sebuah syarikat yang terkenal memodifikasikan kenderaan keluaran Range Rover, Jaguar dan Mercedes. Salah satu modifikasi mereka paling terkenal, Glenfrome Facet yang diasaskan daripada model Range Rover diubah sepenuhnya kerangkanya, menggunakan kaca fiber sebagai badan.

Harganya yang mencecah kira-kira GBP55,000 menjadikan model ini hanya mampu dimiliki golongan-golongan kaya; mendapat sambutan hangat di kalangan individu di Asia Barat membolehkan 50 unit model dengan rekaan futuristik ini terjual dalam tahun 1983.

4. L'Œuf électrique

kereta rekaan futuristik

Kami tak pasti bagaimana nak menyebut nama kenderaan ini, hahaha. L'Œuf électrique atau 'Telur Elektrik' merupakan sebuah kenderaan milik seorang pereka bernama Paul Arzens dari Paris, Perancis.

Ekoran perang di antara Jerman dan Perancis yang mengakibatkan bekalan minyak petrol ke negaranya terganggu, Arzens mencipta kenderaan ini yang dipacu motor elektrik berkuasa bateri. Rangkanya dibentuk menggunakan kaca pleksi dan aluminium menjadikan kenderaan ini ringan sahaja beratnya.

Mula digunakan pada tahun 1942 oleh Arzens sendiri, L'Œuf électrique mampu bergerak sejauh 100km pada kelajuan tertinggi 70km/j.

Kekangan terbesar yang dihadapi Arzens dalam rekaannya, adalah berat setiap bateri yang perlu dipasang di mana setiap unit mempunyai berat 60kg dan dia memerlukan 5 unit untuk mendapatkan jarak perjalanan yang lebih memuaskan.

5. Toyota i-Road

kereta yang rekaannya futuristik

Selain Carver One yang kami ceritakan di atas, gergasi automotif Jepun iaitu Toyota juga sebenarnya sedang giat membangunkan idea serupa dalam konsep sendiri.

Diperkenalkan kali pertama secara konsep dalam tahun 2013, sistem ini mula menjalani evolusi yang mematangkan teknologi yang ada khususnya sistem suspensi yang direka untuk memastikan semua unit i-Road yang dipandu tidak terbalik semasa mengambil selekoh, dalam kelajuan pantas.

Hanya mempunyai kelebaran 90cm, setiap model i-Road yang telah dibangunkan mampu membawa dua orang penumpang termasuk pemandu dalam satu-satu masa, menggunakan motor pacuan elektrik sepenuhnya. Walaupun telah digunakan dalam bentuk komersial, setakat ini Toyota masih belum bersedia melancarkan model ini ke dalam pasaran dunia.




Hakcipta iluminasi.com (2017)