Oleh pada 05 Jul 2018 kategori

Pemanasan global merupakan isu global alam sekitar yang terjadi akibat daripada kerakusan manusia. Walaupun kesan pemanasan global ini tidak begitu ketara, namun ia sebenarnya mempunyai kesan dahsyat terhadap glasier di kawasan Artik dan Antartika.

Kali ini, kami ingin berkongsi 7 kesan buruk pencairan glasier ini kepada manusia dan alam sekitar. Semoga tulisan ini akan memberi kita sedikit kesedaran betapa pentingnya isu pemanasan global ini untuk diselesaikan.

1. Pengurangan sumber air tawar

BESARKAN TEKS     A-  A+

97% daripada air yang wujud di bumi adalah air laut dan hanya 3% sahaja air tawar yang wujud. Sumber tawar inilah yang diperlukan untuk menampung keperluan kira-kira 7 bilion manusia yang hidup di muka bumi ini. Sementara itu, sekitar 75% air tawar terperangkap dalam glasier dengan 90% glasier air tawar ini terletak di kawasan Antartika. 

Pemanasan global menyebabkan glasier lebih cepat mencair daripada menjadi ais. Ini menyebabkan lebih banyak sumber air tawar ini yang akan hilang ke laut dan bercampur dengan air masin. Pemanasan global ini juga menyebabkan pencairan ais di kawasan pergunungan dan tanah tinggi yang menjadi sumber air di sungai, seterusnya mengurangkan juga sumber air bersih untuk manusia. 

2. Kejadian banjir

banjir akibat pencairan glasier

Pencairan glasier dengan pantas ini akan menghasilkan air yang banyak dan mengalir ke sungai-sungai. Walau bagaimanapun, sekiranya terlalu banyak air yang memasuki sungai maka ia akan melimpah keluar kerana sungai tersebut tidak dapat menampung kemasukan air yang terlalu banyak ini.

Sekiranya ini berlaku, maka kawasan-kawasan di terletak berhampiran sungai terutamanya yang berada di kedudukan yang rendah akan mengalami banjir. Rekod dan statistik seluruh dunia juga menunjukkan kebanyakan kawasan yang terletak di pesisir pantai dan berdekatan sungai mencatatkan peningkatan paras air pasang surut dan laut kerana peningkatan jumlah air ini.

3. Ancaman kepupusan binatang

beruang kutub diancam kepupusan

Mengikut statistik, jumlah beruang kutub menyaksikan penurunan beberapa tahun kebelakangan ini kerana pencairan ais di Kutub Utara dan Kutub Selatan. Kawasan bersalji ini merupakan habitat semulajadi haiwan ini tetapi akibat pencairan glasier, maka habitat semulajadinya ini semakin mengecil dan berkurang.

Selain kehilangan habitat dan tempat tinggal, pencairan glasier ini juga memberi impak buruk kepada sumber makanan mereka. Keadaan ini menyebabkan haiwan ini semakin sukar hidup dan makin diancam kepupusan.

4. Kemusnahan terumbu karang

kemusnahan terumbu karang

Terumbu karang memainkan peranan penting dalam laut. Ianya berfungsi sebagai habitat semulajadi pelbagai jenis haiwan di laut, membantu pengawalan oksigen dan karbon dioksida serta melindungi pantai daripada hakisan ombak. Terumbu karang biasanya tumbuh di perairan cetek di kawasan tropika di mana mereka memerlukan cahaya matahari untuk hidup.

Pencairan glasier menyebabkan peningkatan aras laut. Peningkatan aras laut ini menyebabkan terumbu karang ini akan mati kerana tidak mendapat sumber cahaya matahari yang mencukupi. Kematian dan kehancuran terumbu karang ini pula kemudiannya akan memberi kesan buruk kepada populasi ikan yang bergantung padanya sebagai habitat semulajadi.

5. Pelepasan gas metana

pelepasan gas metana

Secara semulajadinya, terdapat banyak gas semulajadi yang terperangkap di bawah glasier. Salah satu gas ini adalah gas metana yang bukan sahaja toksik malah merupakan salah satu gas rumah hijau. Pencairan glasier ini akan menyebabkan gas metana ini terbebas ke udara.

Pelepasan gas metana ini akan memburukkan lagi pemanasan global, seterusnya mempercepatkan lagi pencairan glasier. Menurut kajian, dianggarkan lebih daripada 50 gigatan gas metana di kawasan Artik ini akan terbebas ke udara dalam masa beberapa tahun sekiranya kadar pemanasan global ini tidak dikurangkan atau diperlahankan.

6. Pengurangan tenaga elektrik dijana daripada hidroelektrik

tenaga hidroelektrik

Penjanaan tenaga elektrik daripada hidroelektrik sangat bergantung kepada jumlah air yang mengalir di sungai dan empangan. Air sungai ini berpunca daripada kawasan yang lebih tinggi. Walau bagaimanapun, pencairan ais di kawasan tanah tinggi yang berpunca daripada pemanasan global ini akan mengurangkan sumber air dalam jangka masa panjang.

Sekiranya ini berlaku, maka air di sungai akan berkurang dan menyebabkan penghasilan tenaga elektrik daripada hidroelektrik semakin berkurang. Kejadian ini mungkin terjadi di kawasan yang mempunyai ais. Di Malaysia, kita mungkin tidak mengalami masalah ini memandangkan Malaysia menerima hujan yang banyak sepanjang tahun.

7. Kewujudan semula penyakit berbahaya

penyakit berjangkit

Ais berfungsi sebagai pembersih dan untuk beratus tahun lamanya, glasier berfungsi untuk menyerap dan memerangkan pelbagai bahan kimia berbahaya, racun perosak, virus dan bakteria sejak dahulu kala yang tidak aktif apabila berada dalam suhu beku.

Malanganya, akibat pencairan ais dan glasier ini, bahan-bahan kimia dan berbahaya ini mempunyai risiko untuk terbebas kembali ke persekitaran melalui udara dan air. Sekiranya ini berlaku, maka manusia berisiko untuk dijangkiti kembali penyakit-penyakit ratusan tahun dahulu.

Kredit:

  1. National Geographic
  2. NASA
  3. News Week



Hakcipta iluminasi.com (2017)