Oleh pada 22 May 2020 kategori

Virus corona merupakan kumpulan virus yang dipercayai mampu menyebabkan jangkitan ke atas sistem pernafasan.

Wujud beratus-ratus jenis virus corona yang kali pertama ditemui selepas penemuan pada tahun 1964, namun di antara kesemuanya - hanya ada 7 jenis sahaja virus corona yang mampu berpindah kepada manusia.

4 daripada virus tersebut mampu menyebabkan jangkitan ringan, 3 daripadanya pula mampu membawa maut. Mari kita belajar tentang ketujuh-tujuh jenis virus corona ini yang mampu menyebabkan jangkita kepada kita.

BESARKAN TEKS     A-  A+

1. HCoV-229E (kelawar)

dorothy hamre berjaya menemui 229e

HCoV-229E atau lebih kerap dirujuk sebagai 229E, merupakan sejenis virus corona yang mampu menjangkiti kelawar dan manusia.

Ditemui pada tahun 1962, lima tahun sebelum rupa bentuk virus corona dapat dikenalpasti, virus 229E diberikan nama oleh individu yang menemuinya, seorang penyelidik bernama Dorothy Hamre (gambar) dari University of Chicago.

Mampu menyebabkan jangkitan selesema biasa kepada manusia, 229E dikategorikan semula sebagai 'virus corona' selepas kategori 'corona' diperkenalkan pada tahun 1975, bagi memudahkan pengecaman bentuk virus unik ini.

2. HCoV-OC43 (lembu)

bovine coronavirus

Sejenis 'betacoronavirus' yang mampu menjangkiti manusia hasil sentuhan atau penyebaran melalui haiwan ternakan seperti lembu, kesan jangkitan OC43 boleh dikatakan hampir menyamai jangkitan 229E.

Ini bermakna kadar jangkitan OC43 tidaklah berbahaya kepada manusia.

Virus ini ditemui kali pertama pada tahun 1967 (pautan PDF) pada seorang pesakit mengalami masalah selesema oleh kumpulan penyelidik dari Laboratory of Viral Diseases, National Institute of Health, Bethesda.

Hasil kajian kumpulan menggunakan sampel virus 229E untuk dijadikan perbandingan, mendapati virus tersebut berbeza bentuknya dengan 229E; mampu menjangkiti sel manusia serta dipercayai telah mula merebak sejak penghujung abad ke 19.

3. HCoV-NL63 (kelawar)

nl63 coronavirus

Kes penemuan HCoV-NL63 agak unik, kerana penemuan pertamanya melibatkan seorang pesakit yang baru berusia 7 bulan, di Amsterdam, Belanda pada tahun 2004.

Bayi itu didapati mengalami masalah pernafasan dengan simptom seperti demam serta mata merah kelihatan. Imbasan sinar-x mendapati bayi tersebut juga mengalami masalah bronchiolitis.

Kajian ke atasnya yang dijalankan mendapati NL63 besar kemungkinan adalah keturunan daripada jenis 229E yang telah mengalami penggabungan semula - membentuk jalinan baru.

Dikategorikan tidak berbahaya kerana hanya menyebabkan masalah pernafasan tahap sederhana, negara-negara beriklim sejuk menjadi lokasi utama penemuan virus corona jenis ini.

4. HCoV-HKU1 (tikus)

hcov hku1 virus

Ditemui tidak lama selepas berlakunya pandemik SARS di China, jenis HCoV-HKU1 ditemui kali pertama menjangkiti seorang warga tua berusia 71 tahun dari Hong Kong yang dilaporkan berlaku di Shenzhen, China selepas warga tua itu melawat negeri tersebut pada tahun 2004.

Berikutan penemuan kali pertama virus itu, warga tua itu diklasifikasikan sebagai pesakit indeks atau 'patient zero' jangkitan virus tersebut. Beliau dimasukkan ke hospital pada bulan Januari tahun 2004 akibat demam serta batuk teruk selama 2 hari, diburukkan lagi dengan tabiat merokok yang kuat.

Selepas menjalani rawatan selama lima hari di hospital bagi merawat jangkitan pneumonia pada paru-paru, warga tua itu dibenarkan pulang. Namun kajian ke atas beliau terpaksa diteruskan selama 5 minggu selepas itu, memandangkan dia adalah individu pertama dijangkiti virus baru itu.

Hasil daripada kajian itulah, didapati risiko kematian akibat jangkitan HKU1 tidaklah menyamai virus SARS yang baru ditemui sebelum itu, meletakkan HKU1 yang dipercayai datang dari tikus; sama kategori dengan 229E, OC43 dan NL63.

5. SARS-CoV (kelawar)

sars cov 2003 china

Empat virus corona di atas mampu berpindah kepada manusia serta layak dikatakan tidak berisiko tinggi. SARS-CoV merupakan penemuan pertama virus corona yang dikategorikan sebagai sangat berbahaya kepada manusia.

Ditemui pada tahun 2003, kesan pandemik SARS yang bermula dari Hong Kong melibatkan seorang warga China yang berkunjung ke sana membuka mata banyak pihak, tentang risiko sebenar virus corona.

Transmisi jangkitan pertama berlaku dipercayai pada tahun 2002 di sekitar Guangdong, yang terletak di bahagian selatan China. 8,098 kes terjadi mengakibatkan hampir 800 kematian.

Hasil kajian menyimpulkan bahawa kelawar merupakan perumah utama kepada virus SARS-CoV, sebelum berpindah kepada manusia.

6. MERS-CoV (unta)

mers cov sampel virus

Ditemui pada tahun 2012, di antara ketujuh-tujuh virus corona yang diketahui mampu menjangkiti manusia - MERS-CoV merupakan virus paling berbahaya, disebabkan oleh kadar kematiannya yang tinggi - kini diketahui sekitar 65%.

Kes pertama jangkitan MERS-CoV melibatkan seorang lelaki yang hadir ke hospital di Arab Saudi pada 13 Jun 2012, yang mengalami masalah pernafasan. Bagaimanapun, simptom yang semakin melarat sehingga mengakibatkan kegagalan buah pinggang menyebabkan lelaki itu menghembuskan nafas terakhir, 11 hari selepas diterima masuk.

Penyelidik yang sempat mendapatkan sampel beranggapan lelaki itu dijangkiti SARS, namun ujian pengesanan SARS ke atas sampel memberikan keputusan negatif, mengesahkan bahawa apa yang sedang mereka hadapi bukanlah SARS, sebaliknya sejenis virus corona yang belum pernah ditemui sebelum itu.

Dari mana datang virus ini? Banyak pihak beranggapan unta menjadi punca utama disebabkan penemuan antibodi dalam badan unta yang dikaji, tetapi ada juga pihak mendakwa kelawar merupakan punca utama.

7. SARS-CoV-2 (kelawar/tenggiling?)

covid19 model virus

Sebagai penulis kami akui - membaca tentang SARS-CoV-2 penyebab jangkitan Covid-19 agak memenatkan. Ini kerana kisah tentang jangkitan ini agak berbeza-beza, berbanding dengan 6 virus corona lain dalam senarai yang lebih sekata sifatnya.

Setakat ini, walaupun semakin banyak yang telah kita fahami tentang SARS-CoV-2, setiap hari pasti akan ada penemuan baru yang menggusarkan kita.

Kita masih belum tahu tentang asal-usulnya yang sebenar. Jangkitan pertamanya setakat ini diramal berlaku pada bulan November tahun 2019. Punca jangkitannya dikatakan sama ada datang daripada kelawar atau tenggiling.

Peranan pasar besar Huanan di Wuhan sebagai ejen penyebar juga setakat ini belum disahkan. Mungkin gambaran lebih jelas akan kita ketahui tidak lama lagi, bagi menjelaskan keadaan.




Hakcipta iluminasi.com (2017)