Oleh pada 26 May 2019 kategori

Chimpanzee merupakan salah satu haiwan yang dikatakan mempunyai kepintaran luar biasa berbanding haiwan lain.

Mempunyai kebolehan berjalan dua kaki dengan badannya tegak seperti seorang manusia serta mempunyai kebolehan menggunakan bahan yang ada disekitarnya untuk dijadikan peralatan. Chimpanzee juga mempunyai sistem komuniti yang mengamalkan cara hidup hirarki, dengan seekor pemimpin akan dilantik menjadi chimpanzee alpha yang dominan.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Chimpanzee mempunyai tabiat memakan haiwan lain, seperti semut, babun, tikus dan monyet lain. Cuma belum pernah direkodkan berlaku chimpanzee makan mana-mana haiwan reptilia. Bagaimanapun, penemuan penyelidik yang dilaporkan pada 23 Mei 2019, bakal mengubah tanggapan ini.

Tidak pernah dalam mana-mana laporan dan kajian yang dijalankan mendapati wujud tabiat memakan haiwan reptilia di kalangan chimpanzee. Bagaimanapun, sekumpulan chimpanzee liar yang tinggal di Taman Negara Loango, Gabon menunjukkan beberapa sifat baru yang belum pernah didapati selama ini.

Chimpanzee yang bijaksana

chimpanzee berdiri tegak

Kajian yang dijalankan sejak Jun 2016 sehingga Jun 2018 itu membuktikan chimpanzee turut sama mempunyai kemahuan untuk makan binatang kura-kura. Apa yang menjadi persoalan kepada penyelidik adalah kenapa tidak ada kajian menemui tabiat serupa sebelum ini, berjaya dilakukan.

Pemerhatian yang dilakukan dalam beberapa sesi yang mengambil masa berbulan lamanya menemui bukti yang chimpanzee sebenarnya cukup gemarkan daging kura-kura. Penemuan itu hanya sekadar satu topik.

Apa yang lebih menakjubkan, adalah bagaimana kumpulan chimpanzee itu mengaplikasikan kemahiran mereka dalam mendapatkan daging kura-kura itu.

Kita semua tahu kura-kura tidak boleh memanjat pokok dan kelajuannya yang sangat perlahan, memudahkan haiwan itu menjadi mangsa. Bagaimanapun, sistem pertahanan cangkerangnya serta kebolehan kura-kura untuk bersembunyi di dalam cangkerang sudah beribu tahun lamanya melindungi haiwan tersebut.

Kura-kura daripada spesis kinixys erosa memang banyak didapati di kawasan taman negara tersebut. Berdasarkan pemerhatian penyelidik, mereka mendapati mana-mana kura-kura yang tidak bernasib baik bakal menjadi santapan chimpanzee yang lapar, khasnya chimpanzee jantan.

Kemahiran hidup chimpanzee yang menakutkan

kura kura yang dimakan

Pada mulanya, chimpanzee tadi akan mengutip kura-kura itu lalu di bawa naik ke atas pokok. Dengan menggunakan tangan mereka, chimpanzee tadi akan menghentakkan cangkerang kura-kura itu ke dahan pokok sehinggalah cangkerang tadi pecah.

Mereka juga menonjolkan sikap saling bantu membantu, seandainya ada yang gagal memecahkan cangkerang. Chimpanzee jantan yang lebih tua akan menolong memecahkan cangkerang yang keras, seterusnya sama-sama berkongsi makanan beramai-ramai.

Satu peristiwa yang paling menakjubkan disaksikan oleh penyelidik, melibatkan seekor chimpanzee alpha yang turut sama memburu kura-kura. Dia bertindak memecahkan cangkerang mangsanya, makan separuh sahaja dan kemudiannya meletakkan badan kura-kura itu di sebatang dahan. Keesokannya, selepas bangun tidur dan pergi berjalan selama 13 jam - dia kembali semula ke dahan tersebut lalu kembali makan makanan yang telah 'disimpan.'

Penyelidik berpendapat bukti penemuan kemahiran memecahkan cangkerang kura-kura ini merupakan satu penemuan yang membuka lebih banyak persoalan, yang perlu dijawab.

Terbuktilah - chimpanzee makan haiwan reptilia

chimpanzee makan kura kura

Walaupun banyak kajian berjaya menunjukkan chimpanzee menggunakan teknik serupa untuk memecahkan kacang misalnya, kajian ini adalah kajian pertama menemui bukti kemampuan chimpanzee dalam memecahkan cangkerang kura-kura dan juga bukti chimpanzee makan haiwan reptilia.

Salah satu perkara yang perlu dibuktikan sekarang adalah bagaimana kemahiran itu diperolehi oleh majoriti chimpanzee dalam kawanan tersebut. Teknik menghentak untuk memecahkan kacang merupakan kemahiran yang diajar dan dipelajari sehingga benar-benar mahir, kebiasaannya hanya ketika chimpanzee sudah berumur 9 ke 10 tahun.

Untuk menemui sekumpulan chimpanzee yang rata-ratanya sudah berkebolehan sedemikian rupa, merupakan sesuatu penemuan unik yang secara tak langsung memerlukan kita menukar kefahaman kita tentang tabiat makan chimpanzee dan haiwan-haiwan lain yang mirip dengan spesisnya.

Penulis cukup berminat dengan filem trilogi fantasi 'Rise of the Planet of the Apes', filem memaparkan chimpanzee yang mempunyai kemampuan melebihi biasa - jadi penemuan ini sedikit sebanyak membuatkan penulis seram juga.

Rujukan

Nature




Hakcipta iluminasi.com (2017)