Pernahkah anda tertanya-tanya atau terbayang bagaimana keadannya hidup di zaman dahulu di mana gajah gergasi dan dinosaur masih hidup?

Sayang sekali kita tidak boleh berpatah balik dan mimpi ini hanya akan kekal sebagai mimpi.

Namun, dengan perkembangan bioteknologi yang semakin pesat, hal-hal sains fiksyen mungkin bakal menjadi kenyatan tidak lama lagi, melalui proses yang disebut sebagai "de-extinction" atau nyah-pupus.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Apa itu nyah-pupus?

gajah bulu klon

Garis panduan International Union for the Conservation of Nature (IUCN) mendefinisikan nyah-pupus sebagai penghasilan proksi spesies yang telah pupus, yang setara secara fungsi dengan spesies pupus yang asli, tetapi bukan 'replika serupa'.

Dalam bahasa yang lebih mudah, nyah-pupus adalah seperti menekan ‘ctrl-Z’ pada papan kekunci untuk haiwan yang pupus, tetapi haiwan yang dihasilkan itu bukanlah 100% sama dengan haiwan yang telah pupus.

Terdapat tiga teknik utama nyah-pupus:

1. "Back breeding"

proses back breeding

Spesies yang masih wujud yang mempunyai sifat yang serupa dengan spesies yang pupus dapat dikenal pasti dan dibiakkan secara selektif untuk menghasilkan keturunan yang lebih menyerupai spesies yang pupus.

Sebagai contoh, auroch yang telah pupus iaitu nenek moyang kepada lembu moden, sedang dalam proses untuk dicipta semula dalam satu program yang dikenali sebagai "Program Tauros".

Dengan membiakkan lembu yang ada secara selektif yang menyerupai auroch secara genetik, para saintis berharap dapat menghasilkan haiwan yang sangat menyerupai auroch liar asli Eropah.

Ini adalah kaedah yang sangat asas, berbanding dengan kaedah nyah-pupus lain yang lebih kompleks.

2. Pengklonan

kambing liar pyrenean ibex

Sudah tentunya ini adalah apa yang anda akan bayangkan apabila kita berbincang berkenaan dengan menghasilkan semula haiwan yang telah pupus, kan?

Klon haiwan yang pupus diciptakan dengan mengekstrak nukleus, yang mengandungi DNA haiwan yang pupus, daripada sel-selnya yang telah diawetkan.

DNA ini kemudian dimasukkan ke dalam sel telur (diperoleh dari spesis terdekat haiwan yang masih hidup) yang tidak mempunyai DNA sendiri.

Sel telur ini akan berkembang dengan lengkap di dalam rahim ibu tumpang dan setelah dilahirkan, ia akan mempunyai genetik yang sama seperti spesies yang telah pupus.

Kaedah ini hanya digunakan untuk haiwan yang berada dalam ambang kepupusan atau baru sahaja diisytiharkan pupus, kerana ia memerlukan telur yang dipelihara dengan nukleus yang utuh.

pengklonan haiwan 574

Sebagai contoh, teknik ini digunakan pada tahun 2003 untuk menghasilkan kembali kambing liar yang dikenali sebagai bucardo (Pyrenean ibex), yang terdapat di pegunungan Pyrenees di Eropah, walaupun hanya bertahan hidup selama 10 minit.

Haiwan yang dilahirkan itu tidak dapat bernafas disebabkan oleh lobus yang besar dan padat pada salah satu paru-parunya.

Malangnya, bucardo ini menjadi haiwan pertama yang mengalami kepupusan sebanyak dua kali.

Walau bagaimanapun, ini adalah yang paling hampir pernah dicapai oleh manusia melibatkan proses nyah-pupus.

3. Kejuruteraan genetik

gajah berbulu raksasa

Ini adalah teknik terbaru yang wujud berikutan perkembangan teknologi moden.

Ia menggunakan alat penyuntingan gen, seperti CRISPR, untuk memasukkan gen terpilih dari haiwan yang pupus sebagai pengganti gen yang ada dalam spesis terdekatnya.

Genom hibrid yang dihasilkan dimasukkan ke dalam ibu tumpang.

Projek Harvard Woolly Mammoth Revival sedang berusaha untuk mengenal pasti gen penting yang diperlukan untuk menyesuaikan diri dengan iklim tundra sejuk.

menghasilkan mammoth hibrid 158

Setelah dikenal pasti, gen ini dapat dimasukkan ke dalam genom gajah Asia.

Harapan mereka adalah untuk menghasilkan sel hibrid yang sebahagian besarnya mempunyai DNA gajah, bersama-sama dengan gen gajah gergasi (mammoth).

Oleh itu, apa yang terhasil bukanlah 100% serupa dengan gajah gergasi tetapi gajah hibrid yang telah diubahsuai secara genetik untuk menyerupai gajah gergasi.

Mengapa manusia cuba lakukan nyah-pupus?

mengapa manusia cuba hidupkan kembali haiwan pupus

Jika manusia cuba untuk menghasilkan Jurassic Park, menghidupkan semula haiwan yang pupus adalah idea yang dahsyat.

Namun kita tidak perlu risau kerana DNA dinosaur telah hancur dalam tempoh 65 juta tahun sejak kepupusan haiwan ini.

DNA hanya dapat bertahan selama beberapa juta tahun dan dalam keadaan yang jarang berlaku,.

Jadi secara teknikalnya, pada zaman ini, proses menghidupkan semula haiwan yang telah pupus boleh dilakukan, namun persoalannya adalah perlukah kita berbuat demikian?

Pada tahun 2016, ahli ekologi dari University of California Santa Barbara menerbitkan garis panduan untuk menentukan spesies mana yang harus dihidupkan semula untuk memberi kesan terbaik kepada ekosistem Bumi.

Spesies yang dipilih adalah spesies yang telah pupus baru-baru ini, unik dari segi ekologi dan dapat dihidupkan kembali dalam jumlah yang banyak.

Spesies yang memenuhi ketiga-tiga kriteria tersebut adalah kelawar pipistrelle (Pipistrellus murrayi), kura-kura raksasa (Cylindraspis indica) dan tikus Leporillus apicalis.

Walau bagaimanapun, tidak ada program nyah-pupus yang dilakukan untuk haiwan-haiwan ini.

Program nyah-pupus lebih mengutamakan ekologi daripada pelancongan

haiwan di zoo

Menurut ahli ekologi Ben Novak, jika haiwan yang mahu dihasilkan semula akan diletakkan di zoo untuk tontonan orang ramai, maka ia tidak seharusnya dihidupkan semula ke dunia.

Oleh kerana setiap haiwan memainkan peranan penting dalam ekosistemnya, maka kepupusan haiwan sudah tentunya merugikan kita.

Sebagai contoh gajah gergasi berbulu adalah adalah "tukang kebun" yang sangat baik. Haiwan ini memakan anak pokok dan menyebarkan benih-benih melalui tahinya yang tinggi nutrien ke seluruh padang rumput Artik pada ketika itu.

Kepupusan haiwan ini diikuti oleh kerugian dalam biodiversiti dan mengubah padang rumput menjadi kawasan tundra berlumut.

Walaupun begitu, proses nyah-pupus dilihatkan sebagai peluang keemasan kepada kita untuk memperbetulkan kesalahan masa lalu kita.

Aktiviti manusia adalah antara penyebab utama kepupusan haiwan melalui pemburuan, pencemaran dan penghapusan habitat.

Sebagai contoh, burung passenger pigeon banyak dijumpai di Amerika Utara, tetapi sekitar tahun 1900, haiwan liar ini terakhir ditembak oleh seorang budak lelaki dengan pistol mainan.

harimau tasmania thylacine

Harimau Tasmania atau thylacine adalah marsupial karnivor yang berasal dari Tasmania, New Guinea dan Australia, namun pupus pada tahun 1936 akibat kehilangan habitat, kekurangan mangsa dan pemburuan.

Pyrenean ibex (bucardo) adalah kambing gunung Eropah yang menikmati kedamaian selama ribuan tahun sebelum pemburu tiba dan mengubah nasib haiwan ini, spesis yang terakhir meninggal pada tahun 1999. yang terakhir meninggal pada tahun 1999.

Namun, terdapat bantahan terhadap tindakan nyah-pupus yang mana dilihatkan sebagai cuba menjadi Tuhan.

Mereka yang menentang mendakwa bahawa oleh kerana haiwan yang dihidupkan semula ini tidak akan mampu menjadi 100% seperti yang pupus, maka nyah-pupus ini tidak akan membalikkan kerosakan ekologi yang disebabkan oleh manusia.

Namun, yang lain khuatir bahawa ketika kita berjaya menghidupkan semula satu spesies, planet ini akan kehilangan seribu yang lain.

Menurut Phil Seddon, individu yang membantu merumuskan garis panduan IUCN, percaya bahawa kita harus terlebih dahulu melindungi haiwan yang masih hidup.

Walaupun begitu, Dr Axel Moehrenschlager, yang bekerjasama dengan Phil Seddon dalam menghasilkan garis panduan IUCN, percaya bahawa oleh kerana kita mempunyai kepakaran, ia harus digunakan terutamanya terhadap haiwan yang terancam secara kritikal.

Rujukan:

1. International Union for the Conservation of Nature

2. Tauros Project

3. Science

4. National Geographic




Hakcipta iluminasi.com (2017)