Oleh pada 13 Sep 2019 kategori

Pada 26 Disember 2004, gempa bumi yang berlaku di sepanjang lantai Lautan Hindi telah menyebabkan berlakunya tsunami. Tsunami paling membunuh dalam sejarah itu telah mengorbankan lebih daripada 230,000 nyawa merentasi 14 buah negara.

Di sebalik kemusnahan teruk yang berlaku, para pegawai hidupan liar Taman Negara Yala di Sri Langka melaporkan bahawa tiada kematian haiwan yang ketara akibat tsunami. Taman Negara Yala didiami oleh pelbagai jenis haiwan liar seperti gajah, harimau bintang, monyet dan banyak lagi.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Kelakuan pelik haiwan sebelum bencana alam

Para penyelidik percaya bahawa haiwan-haiwan itu selamat kerana dapat mengesan gempa bumi lebih awal dan bergerak ke tempat lebih tinggi sebelum tsunami yang menyebabkan gelombang besar dan banjir teruk melanda. 

haiwan menyelamatkan diri sebelum bencana alam

Sebenarnya, terdapat banyak laporan lain bagaimana anjing mula berkelakuan luar biasa sebelum berlakunya gempa bumi, gajah menjadi tidak tentu arah sebelum kejadian tanah runtuh dan pergerakan ikan yu mula berubah sebelum laut dilanda ribut taufan.

Pada tahun 2009, katak di L'Aquila, Itali, telah meninggalkan tempat mengawan mereka sebelum gempa bumi. Katak-katak itu tidak kembali sehingga beberapa hari selepas gegaran terakhir berlaku.

Pada 2011, saintis di Taman Negara Yanachaga, Peru, mengesan penurunan aktiviti yang mendadak pada burung dan mamalia lain sebelum berlakunya gempa bumi. Haiwan-haiwan ini menunjukkan perubahan sehingga tiga minggu sebelum berlakunya bencana.

anjing panjat bumbung ketika banjir

Perubahan itu menjadi semakin ketara seminggu sebelum berlakunya gempa bumi. Para pengkaji mendapati berlakunya perubahan dalam ionosfera sekitar tujuh hingga lapan hari sebelum bencana.

Semua kejadian unik ini mencadangkan satu fakta menarik. Adakah haiwan mungkin dapat meramal bencana alam atau sekurang-kurangnya merasai beberapa perubahan awal yang tidak dapat dikesan manusia? Setakat ini, tiada bukti kukuh bagaimana haiwan dapat meramal gempa bumi.

Adakah haiwan mempunyai deria keenam?

Haiwan sememangnya mempunyai deria tajam bagi membantu mereka mengelak pemangsa atau memburu. Dipercayai bahawa deria ini jugalah yang dapat membantu mereka mengesan bencana yang bakal berlaku.

ayam panjat bumbung masa banjir

Terdapat dua teori bagaimana haiwan dapat mengesan gempa bumi. Teori pertama ialah haiwan dapat merasakan getaran yang dihasilkan Bumi. Satu lagi, mereka dapat mengesan perubahan dalam udara atau gas yang dibebaskan Bumi.

Para saintis sukar untuk mengakui bahawa haiwan mempunyai "deria keenam" yang membantu mereka mengesan bencana. Sebaliknya, haiwan hanya menggunakan deria mereka yang sedia ada dengan sangat efisien. Deria haiwan adalah jauh lebih efisien berbanding manusia.

Sebagai contoh, deria pendengaran. Manusia dapat mendengar bunyi yang berada dalam lingkungan antara 20 hertz hingga 20,000 kilohertz sahaja. Walau bagaimanapun, haiwan tertentu seperti anjing, gajah, kelawar atau rusa dapat mendengar bunyi yang jauh melangkaui julat yang mampu didengari manusia.

Maka, tidak begitu pelik jika mereka mampu meramal gempa bumi. Ini kerana mereka dapat mendengar gerakan plat tektonik yang berada jauh dalam permukaan bumi. Gelombang seikmik di dalam tanah ini menghasilkan bunyi inframerah yang mempunyai frekuensi lebih rendah daripada 20 Hertz. 

haiwan kesan gempa bumi

Kebolehan mengesan bencana alam ini tidak hanya terhad kepada haiwan di darat sahaja. Haiwan akuatik juga dapat mengesan bencana alam lebih awal. Haiwan akuatik sudah biasa dengan keadaan lautan seperti tekanan hidrostatik. 

Apabila ribut atau taufan mula berlaku, tekanan udara dan tekanan hidrostatik ini akan menurun. Haiwan akuatik akan menjadi cepat terkejut dengan perubahan ini dan mula berkelakuan ganjil.

Secara automatik mereka akan menggunakan mekanisme pertahanan semula jadi. Inilah sebab mengapa jerung atau ikan lain dilihat akan berenang ke laut yang lebih dalam semasa ribut untuk selamat.

Haiwan sebagai pengesan bencana alam

kuda terselamat bencana alam

Beberapa buah negara telah mula menjalankan penyelidikan mengenai deria haiwan yang mampu meramal bencana alam seperti gempa bumi sebelum ia berlaku.

Manakala para penyelidik lain masih ragu-ragu untuk menggunakan haiwan sebagai pengesan semula jadi bencana alam dan gempa bumi. Mereka menyatakan kesukaran untuk membangunkan kajian terkawal yang boleh membuktikan tingkah laku tertentu haiwan berkaitan gempa bumi.

Tinjauan Geologi Amerika Syarikat secara rasminya menyatakan bahawa perubahan tingkah laku haiwan tidak dapat digunakan untuk meramal gempa bumi. Terdapat sesetengah kes mengenai tingkah laku pelik haiwan sebelum berlakunya gempa bumi telah didokumentasikan. Namun, ia tidak dapat disahkan sepenuhnya kerana peluang untuk membuat kajian ulangan amatlah sukar.

haiwan kesan bencana alam

Walaupun kebanyakan saintis tidak bersetuju menggunakan haiwan untuk meramal gempa bumi dan bencana alam lain, mereka semua bersetuju bahawa haiwan dapat merasakan perubahan dalam persekitaran lebih awal berbanding manusia.

Kini, penyelidik di seluruh dunia masih terus mengkaji tingkah laku pelik haiwan berkaitan bencana alam. Dengan pendekatan dan teknologi yang betul, kajian ini mungkin dapat membantu untuk meramal bencana alam sebelum ia berlaku.

Rujukan:

1. Benarkah haiwan mampu meramal bencana alam

2. Haiwan mengesan gempa bumi lebih awal berbanding manusia

3. Bagaimana haiwan terselamat dari bencana alam




Hakcipta iluminasi.com (2017)