Oleh pada 11 Jul 2020 kategori

Pada bulan Mei tahun 2019, badak sumbu Sumatera terakhir di Malaysia yang dinamakan sebagai Iman, mati disebabkan sakit kanser.

Kematian haiwan tersebut menyebabkan pupusnya spesis badak tersebut di negara kita, meninggalkan hanya 80 ekor lebih lagi di kawasan asalnya Sumatera, Indonesia - tempat di mana namanya juga diambil.

Insiden itu menimbulkan satu persoalan pada penulis, jika Iman adalah badak Sumatera; apa agaknya nasib spesis haiwan ini yang membawa nama negara kita ketika ini?

BESARKAN TEKS     A-  A+

1. Tapir Malaya

tapir malaya

Spesis Tapir Malaya merupakan spesis tapir terbesar di dunia, yang hanya boleh ditemui di Asia; sama ada di Semenanjung Malaysia, Myanmar, Thailand dan juga kepulauan Sumatera.

Nama spesisnya adalah 'tapirus indicus,' dikategorikan sebagai haiwan terancam ketika ini berikutan jumlahnya yang agak rendah - hanya sekitar anggaran 2,500 kesemuanya yang masih hidup di Asia, 1,500 daripadanya di negara kita..

Kajian terhadap tapir agak sukar dijalankan, kerana cara hidupnya yang nokturnal. Tapir Malaya dewasa mempunyai ketinggian hanya menghampiri 1 meter tetapi beratnya mampu mencecah 350 kg seekor.

2. Malayan Peacock Pheasant

merak malaya

Keunikan Malayan peacock pheasant atau dalam bahasa tempatan, burung merak pongsu yang membezakan burung tersebut dengan spesis merak yang lain, adalah saiznya yang lebih kecil serta ekornya yang lebih pendek.

Dari segi saintifiknya, burung merak pongsu digelarkan sebagai 'polypectron malacensis.' Macam nama watak siri Transformers pula namanya.

Membiak di sekitar semenanjung Malaysia sehinggalah ke kawasan Segenting Kra di Thailand, tebaran burung ini tidak merata kerana dipercayai bergerak jauh berbanding lokasi asalnya.

Populasi burung merak pongsu ini semakin hari semakin berkurangan, walaupun satu ketika dahulu sangat senang ditemui. Dianggarkan tinggal lebih kurang 7,000 spesis ini di sekitar hutan-hutan di negara kita serta beberapa kelompok lagi di Thailand.

3. Katak terbang Malaya

malayan flying frog katak terbang

Antara spesis katak unik yang mempunyai keupayaan untuk terapung di udara dalam jangkamasa terhad, katak terbang Malaya atau 'Malayan flying frog' mempunyai saiz yang agak besar.

Katak betinanya mampu mencecah sehingga 7.6 cm panjang, sementara jantan pula lebih kecil sekitar 6.2 cm. Mempunyai warna hijau terang dengan bintik-bintik merah, katak terbang Malaya hidup di Thailand, Semenanjung Malaysia dan Sumatera.

Dikelaskan secara saintifik kali pertama pada tahun 1924 di bawah nama spesis 'Zhangixalus prominanus', nama lama katak ini adalah Johore Flying Frog sebelum ditukar kepada 'Malayan' bagi menunjukkan lokasinya dengan lebih tepat.

Setakat ini taburan populasi ini masih belum masuk kategori terancam.

4. Tenggiling Malaya

tenggiling malaya

Dipersalahkan sebagai punca utama merebaknya Covid-19 pada awalnya, tenggiling Malaya merupakan sejenis haiwan terancam yang berdepan satu masalah besar - dagingnya diburu untuk dijadikan makanan.

Diletakkan di bawah kategori haiwan terancam kritikal serta berdepan penurunan ketara jumlah yang masih ada, tenggiling ini ditemui di Malaysia, Indonesia, Thailand dan Vietnam.

Berikutan taburannya yang luas itulah, tenggiling Malaya turut sama dirujuk sebagai 'tenggiling Sunda' atau 'tenggiling Jawa', sempena nama saintifiknya 'Manis Javanica.'

tenggiling emak dan anak

Tahukah anda tenggiling tidak mempunyai penglihatan yang baik, tetapi mempunyai kemampuan menghidu yang membolehkan mengenalpasti sesuatu dengan sangat baik? Selain itu, ibu tenggiling juga akan membawa anak mereka ke mana-mana sahaja dengan anaknya akan berpaut kepada ekor ibunya sepanjang perjalanan.

5. Harimau Malaya

harimau malaya

Tidak ramai tahu bahawa harimau Malaya, simbol kebanggaan negara kita hanya diisytiharkan sebagai satu spesis berbeza berbanding harimau lain sejak tahun 2004.

Pada mulanya pengkaji mengkelaskan harimau yang ada di Semenanjung Malaysia sebagai sebahagian daripada spesis panthera tigris corbettie atau harimau Indo-China, sebelum kajian DNA yang dijalankan berjaya mengenalpasti perbezaan yang ada.

Berikutan penemuan itu, kerajaan kita menerusi Persatuan Taman Zoologi dan Aquaria Malaysia (MAZPA) menghantarkan laporan untuk mencadangkan pengenalan nama baru bagi spesis harimau Malaya iaitu 'panthera tigris malayensis' untuk diiktiraf penyelidik dunia.

Permohonan serta bukti-bukti yang dihantar diterima, melayakkan kewujudan sub-spesis baru tersebut secara rasmi dalam bidang penyelidikan haiwan. Bagaimanapun, usaha untuk memulihara spesis harimau Malaya ini berdepan kesukaran, selepas sasaran menambah populasinya kepada 1,000 menjelang tahun 2020 gagal dicapai.

Apa yang lebih malang, beberapa insiden penemuan harimau yang 'jinak' menerusi video yang tular seperti di Mersing dan Dungun, sebenarnya disebabkan oleh jangkitan virus yang menyebabkan haiwan tersebut berkelakuan aneh.

Kini dianggarkan tinggal lebih 200 sahaja spesis haiwan tersebut di negara kita.




Hakcipta iluminasi.com (2017)