Secara purata, seorang manusia biasa membuang kira-kira 3 kilogram sampah sehari. Bagi kebanyakan orang, sampah dan barang terpakai yang dimiliki tidak ada lagi gunanya bagi mereka. Ianya hanya perlu dilupuskan begitu sahaja.

Namun, tahukah ada ada segelintir individu menemui peluang dan bahkan kekayaan dalam sampah yang kita buang setiap hari. Malah, sebahagian daripada individu ini sudahpun menjadi jutawan dengan memanfaatkan barangan terbuang yang kita buang setiap hari.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Kali ini, pihak Iluminasi ingin berkongsi beberapa individu atau syarikat yang mengaut keuntungan besar dengan memanfaatkan sampah dan barangan terbuang. Diharapkan artikel ini dapat memberi sedikit sebanyak inspirasi kepada para pembaca bahawa segalanya boleh dimanfaatkan sekiranya kita tahu caranya.

1. Maen Mahfoud

replate 772

Tahukah anda, dunia bukan sahaja mengalami masalah kebuluran tetapi juga lebihan makanan yang terlampau banyak? Bayangkan jika lebihan-lebihan makanan daripada golongan bernasib baik ini disedekahkan pula kepada golongan yang kurang bernasib baik, pastinya pembaziran makanan dapat dikurangkan.

Itulah yang dilakukan oleh Maen Mahfoud. Beliau menubuhkan syarikat Replate bagi mengatasi masalah lebihan makanan ini. Syarikat ini ditubuhkan pada Januari 2016 dan telah mengembangkan operasi mereka lebih 300 buah bandar dan mengedarkan semula lebih 1.1 juta makanan kepada golongan kurang bernasib baik.

Syarikatnya mencipta satu teknologi yang membolehkan syarikat lain berkomunikasi dengannya bahawa terdapat lebihan makanan untuk diedarkan kepada orang lain. Ini membolehkan segala urusan pengedaran semula makanan dilakukan dengan pantas dan makanan yang diedarkan semula tentulah dalam keadaan baik dan tidak tercemar.

2. Piet Hein Eek

rekaan perabut 548

Perabot, baju, permaidani dan lain-lain barangan terpakai biasanya dilupuskan begitu sahaja. Piet Hein Eek adalah seorang pereka cipta yang bijak memanfaatkan barangan terbuang ini dan menggunakannya untuk menghasilkan barangan seni atau perabut baru yang boleh dijual pada harga ratusan malah ribuan dollar.

Idea ini timbul semenjak beliau berada di tahun akhir pembelajaran di Academy for Industrial Design dan akhirnya menjadi pekerjaan utamanya. Sebagai seorang peminat seni, barangan baru yang dihasilkan bukan sahaja cantik tetapi juga berfungsi dengan baik.

Malah, barangan-barangan yang dihasilkan turut dipamerkan di pelbagai galeri seluruh dunia. Beliau juga turut memiliki sebuah restoran dimana segala perhiasan dan perabutnya diperbuat daripada barangan terpakai.

3. Scott Hamlin dan Gary Peck

looptworks

Kedua individu ini juga bijak menggunapakai barangan terbuang untuk menghasilkan sesuatu yang baru dan boleh dijual. Mereka menubuhkan syarikat Looptworks pada tahun 2009. Tujuan mereka adalah mengurangkan pembuangan sampah dan mereka menggunakan tekstil terpakai untuk menghasilkan beg tangan, dompet dan beberapa aksesori harian.

Syarikat mereka bukan sahaja menghasilkan barangan untuk dijual, tetapi mereka juga terlibat secara langsung dalam mendidik dan memberi kesedaran kepada orang ramai tentang kepentingan mengurangkan sampah dan membeli barangan kitar semula.

4. Dan Phillips

Sektor pembinaan sememangnya menghasilkan begitu banyak lebihan "sampah" seperti konkrit, kayu, batu dan sebagainya. Dan Phillips adalah individu yang memanfaatkan barangan-barangan terbuang ini bagi membantu keluarga yang kurang bernasib baik membina rumah kos rendah mereka.

Beliau membekalkan barangan-barangan pembinaan serta segala kelengkapan untuk membina rumah ini pada harga yang lebih rendah tetapi pada masa yang sama masih membuat keuntungan. Bukan sahaja membantu golongan kurang bernasib baik membina rumah, beliau juga menggaji pekerja tidak terlatih sebagai pekerjanya agar mereka boleh meningkatkan kemahiran diri seterusnya mencerahkan peluang mereka untuk mencari pekerjaan lebih baik pada masa hadapan.

Walaupun nampak usahanya ini sebagai satu usaha kebajikan, beliau sebenarnya menjana keuntungan yang cukup banyak daripada aktiviti memanfaatkan semula barangan terbuang daripada sektor pembinaan ini.

5. Maria Rios

nation waste

Sewaktu zaman kolej, beliau bekerja dengan sebuah syarikat pengurusan sampah dan sudah bercita-cita untuk memiliki perniagaannya yang tersendiri. Selepas menamatkan pengajian, beliau berjaya memperoleh pinjaman bagi membeli dua buah lori sampah.

Apa yang membuatkan syarikatnya Nation Waste lebih menonjol berbanding syarikat pengurusan sampah yang lain adalah kualiti khidmat pelanggan dan inovasi yang dibawanya ke dalam industri ini. Malah, beliau telah diakui oleh majalah Fortune dan Goldman Sachs atas etika kerja yang cemerlang dan keupayaan untuk membawa tenaga dan harapan baru kepada salah satu pekerjaan paling kotor di muka bumi ini.

Kisah panjang lebar mengenai individu ini pernah kami tulis dalam artikel Maria Ros : Kisah Wanita Miskin Yang Kini Bernilai $120 Juta Kerana Sampah.

6.  Matt Malone

penyelam dasar laut

Kerjaya sebagai seorang penyelam cukup lumayan kerana risiko tinggi yang perlu dihadapi. Namun, bagi Matt Malone, beliau melakukan sesuatu yang jarang didengari iaitu menjadi penyelam dan pengutip sampah dasar laut.

Beliau mula menyelam sejak 10 tahun lalu dan aktiviti pencarian barangan terbuang dalam laut ini membolehkannya menjana sekitar $250,000 setahun. Lebih menarik, kerjaya ini hanya dibuatnya pada masa lapang memandangkan beliau menguruskan sebuah syarikat startup sepenuh masa.

Beliau menjana duit dengan menjual kembali barang-barang yang ditemui di dalam laut. Sudah tentu kerjaya seperti ini tidak mampu dilakukan oleh kebanyakan orang tapi sekurang-kurangnya ia menunjukkan bagaimana beliau menggunakan segala kelebihan yang dimiliki di tempat yang langsung tidak disangka-sangka.

7. Renee Hansen

upcycle

Berasal dari San Francisco, Renee Hansen merupakan seorang yang mempunyai minat mendalam dengan kegiatan kitar semula barangan. Beliau menubuhkan syarikat Hipcycle bagi membolehkan "upcycle", iaitu penghasilan barangan-barangan baru daripada barangan terpakai.

Syarikatnya ini akan mendapatkan barangan-barangan terbuang dan terpakai daripada syarikat-syarikat besar dan menghasilkan barangan baru daripadanya. Produk baru ini kemudiannya akan dijual semula kepada syarikat atau pengguna biasa.

Kredit:

  1. NBC
  2. Wired
  3. Waste360



Hakcipta iluminasi.com (2017)