Oleh pada 26 Jul 2017 kategori

Ramai anak zaman muda kini dibesarkan dalam keadaan mewah dan serba lengkap. Walaupun hidup sudahpun sedia ada senang-lenang, masih ramai yang mengeluh tidak cukup itu dan ini.

Rata-rata orang zaman kini tidak tahu apa erti susah yang sebenar dan hanya pandai mengadu domba. Ditambah pula dengan sikap ibu bapa yang gemar memanjakan anak, makin naik lemak dan besar kepalalah masing-masing apabila meningkat dewasa.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Ramai yang bercita-cita ingin menjadi berjaya, tapi kejayaan yang bagaimanakah yang mereka idamkan? Adakah sekadar mengambil alih perniagaan ayah ataupun bekerja jawatan besar, gaji lumayan di sebuah syarikat yang disyorkan oleh ibu?

Kami kongsikan 5 tokoh terkemuka yang berjaya mengubah kehidupan dari bawah sehingga dikenali di seluruh dunia, walaupun selepas zaman-berzaman. Tokoh-tokoh ini bukan hanya bergantung kepada nasib baik, kemahiran dan pengalaman tetapi mereka sentiasa bekerja dengan gigih dan tidak pernah berputus asa.

1. Colonel Sanders

Siapa yang tidak mengenali wajah pengasas Kentucky Fried Chicken (KFC) ini? Wajahnya barangkali merupakan ikon komersial yang paling dikenali di seluruh dunia.

colonel sanders kfc

Tapi tahukah anda, ayahnya telah meninggal dunia ketika beliau berumur 6 tahun dan sejak itu, beliau bertanggungjawab membesarkan dan menyara dua orang adiknya? Sebelum beliau popular dan dikenali, seawal usia 10 tahun lagi Colonel Sanders telah bekerja sebagai petani, konduktor, bomba kereta api dan jurujual insurans? 

Bermula tahun 1952, Colonel Sanders menjelajah ke seluruh negara dari sebuah restoran ke restoran yang lain dengan impian untuk memfrancaiskan perniagaan ayam gorengnya.

Beliau cuma menerima bayaran 5 sen bagi setiap ketul ayam yang terjual di setiap restoran. Akhirnya francais pertama dibuka oleh Pete Harman dari Salt Lake City.

Pada tahun 1964, Colonel Sanders menjual pegangan sahamnya dengan bilangan francais melebihi 600 cawangan pada harga USD2 juta kepada sekumpulan pelabur sehingga disenaraikan pada tahun 1966.

2. Howard Schultz

Anda mungkin kurang mengenali namanya tetapi anda mungkin tahu jenama yang pernah dikendalikan oleh Howard Schultz iaitu Starbucks.

Howard dilahirkan dalam keluarga yang susah di Brooklyn. Beliau merupakan seorang atlet yang aktif semasa di bangku persekolahan sehingga membolehkan beliau mendapat biasiswa untuk memasuki universiti.

starbucks howard schultz

Selepas tamat belajar, Howard pernah bekerja sebagai jurujual Xerox. Beliau kemudian berhijrah ke sebuah syarikat pergudangan barangan kopi bernama Hammarplast. Di situ beliau perlahan-lahan menaiki barisan hingga menjadi pengurus besar yang mengendalikan sekumpulan ahli jurujual.

Semasa bekerja di Hammarplast, Howard telah ditakdirkan menjumpai kedai kopi kecil di Seattle yang dinamakan Starbucks. Beliau bekerja sebagai pengarah pemasaran di situ selama beberapa ketika sebelum memulakan perniagaan kopi sendiri iaitu Il Giornale.

Selepas berjaya dengan Il Giornale, Howard membeli Starbucks dan menjadi Ketua Pegawai Eksekutif syarikat. Dari situ, Howard mula mengembangkan jenama Starbucks sehingga mempunyai lebih 24,000 cawangan di lebih 70 buah negara.

Kini, Howard lebih senang bekerja di sebalik tabir sebagai Pengerusi Eksekutif untuk memberi fokus kepada inisiatif sosial dan perkembangan jenama global itu.

3. Michael Jordan

Tahukah anda, sebelum Michael Jordan dikenali sebagai pemain bola keranjang terhebat sepanjang zaman, beliau pernah disingkirkan daripada menyertai pasukan universiti kerana dikatakan tidak cukup ketinggian pada 5'11"?

Ketika NBA Draft pada tahun 1984, Michael tidak dipilih oleh pasukan Portland Trail Blazers yang ketika itu berada pada posisi pemilihan kedua. Sebaliknya, Blazers lebih rela memilih Sam Bowie yang sudahpun mengalami banyak kecederaan.

michael jordan

Namun, Michael tidak patah semangat dan tidak pernah mencemuh pasukan Blazers. Sebaliknya, beliau mula mengukir sejarah bersama-sama pasukan Chicago Bulls sehingga menjuarai kejohanan NBA sebanyak 6 kali dan menjadi pemain All-Star sebanyak 14 kali.

Semasa mula-mula menyertai liga, lompatan jaringan Michael dinilai sebagai "tidak begitu baik." Michael kemudian berusaha keras memperbaiki lompatannya setiap hari sepanjang tempoh luar musim sehingga jaringannya tepat dan sempurna.

Sekiranya Michael tidak gigih berusaha dan berasa kecewa setelah di'tolak jatuh' beberapa kali, adakah anda rasa beliau mampu menjadi "Air Jordan" pada hari ini?

4. Oprah Winfrey

Oprah Winfrey merupakan salah seorang wanita berkulit hitam yang paling disegani dalam dunia.

Beliau telah menempuhi pelbagai ranjau dan onak berduri sepanjang kehidupan. Dibesarkan dalam keluarga yang sangat miskin, beliau telah didera secara seksual pada usia 9 tahun; melarikan diri dari rumah pada usia 13; mengandung ketika berumur 14 tahun; menjadi ratu cantik semasa 17 tahun; menyalahgunakan dadah pada awal usia 20-an dan menjadi wanita pertama berkulit hitam di Amerika yang muncul di kaca TV serta jutawan pada usia 32 tahun.

oprah 781

Beliau juga amat terkenal sebagai dermawan yang sangat bermurah hati. Selain memberikan hadiah-hadiah percuma kepada peminat yang datang ke set penggambaran, Oprah juga telah mendermakan jutaan dollar kepada badan-badan kebajikan melalui The Angel Network, The Oprah Winfrey Foundation dan juga The Oprah Winfrey Operating Foundation.

5. Thomas Edison

Kita sedia maklum tentang kejayaan besar Thomas Edison yang mencipta mentol lampu. Tetapi tahukah anda bahawa beliau hanya mula belajar bercakap pada usia 4 tahun? Thomas juga mengalami masalah di sekolah kerana dikatakan terlalu aktif sehingga gurunya tidak tahan dengan perangai Thomas. Akhirnya Thomas hanya berjaya mendapatkan pendidikan formal selama 3 bulan sahaja.

Semasa berusia 12 tahun, beliau juga sudah mula bekerja dengan menjual snek dan surat khabar di stesen kereta api.

Sepanjang zaman kanak-kanaknya juga beliau mengalami masalah pendengaran sehingga menyebabkan telinga kirinya pekak sepenuhnya pada usia 14 tahun.

thomas edison cipta lampu mentol pertama

Namun cabaran dan kesukaran hidup tidak mematahkan semangat Thomas. Beliau sememangnya seorang kanak-kanak yang pintar dan luar biasa. Beliau amat suka membaca buku dan mencuba sendiri eksperimen-eksperimen sains di rumah.

Pada tahun 1879, Thomas Alva Edison berjaya mencipta mentol lampu pertama di dunia dan menjadi tokoh inspirasi yang terkenal walaupun sehingga ke hari ini.

Selain mentol lampu, Thomas juga telah mencipta mesin fonograf pertama dan juga kamera kinetograf untuk merakam video.

Jadi, masih belum terlambat untuk anda berusaha membuat perubahan dalam hidup untuk menempa kejayaan. Berhenti memberikan alasan dan mulakan sekarang!

Rujukan:




Hakcipta iluminasi.com (2017)