Oleh pada 11 Oct 2019 kategori

Tidak kiralah manusia atau haiwan, "tidur" dianggap sebagai satu keperluan bagi setiap hidupan. Tidur merupakan satu proses merehatkan fizikal dan mental bagi memastikan badan kembali cergas dan berfungsi dengan sempurna. Malah, ianya juga penting untuk kesihatan otak.

Mengikut kajian, manusia dewasa secara puratanya memerlukan tidur antara 6 hingga 8 jam. Sementara itu, kanak-kanak pula memerlukan masa tidur yang lebih panjang. Berlainan dengan manusia, haiwan pula mempunyai masa tidur yang berlainan bergantung kepada spesis haiwan tersebut.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Percaya atau tidak, ada haiwan yang hanya memerlukan tidur beberapa minit sahaja dalam sehari? Benar. Kali ini, pihak Iluminasi ingin berkongsi beberapa spesis haiwan yang hanya memerlukan tempoh tidur yang paling singkat dalam masa sehari. Sila ambil maklum bahawa senarai ini tidak disusun mengikut tempoh tidur paling singkat.

1. Dolfin

dolfin tidur

Menurut organisasi National Sleep Foundation, dolfin dan beberapa haiwan mamalia laut yang lain mempunyai satu mekanisma tidur yang digelar "unihemispheric slow-wave sleep". Dolfin dan haiwan yang mempunyai ciri-ciri seperti ini mempunyai bahagian otak yang terbahagi kepada dua.

Apabila satu bahagian otak "tidur", satu lagi  bahagian otak akan berjaga menyebabkan haiwan ini tidak memerlukan tidur dalam tempoh yang sangat panjang. Apabila dolfin tidur sepenuhnya, ia akan berada berhampiran permukaan air dengan bahagian "blowhole" berada di udara dan ekornya akan bergerak secara sendirinya (pergerakan refleksi) untuk memastikan sebahagian badannya berada di atas air.

2. Zirafah

zirafah tidur 357

Secara purata, seekor zirafah dewasa hanya memerlukan 20 hingga 30 minit sahaja waktu tidur dalam sehari. Lebih menarik, haiwan ini biasanya hanya akan tidur kira-kira 5 minit untuk setiap kali sesi tidur dan akan tidur beberapa kali dalam sehari. 

Tidak seperti manusia dan haiwan darat lain yang berbaring semasa waktu tidur, zirafah akan tidur dalam posisi berdiri. Dengan kaki dan leher yang panjang, adalah berisiko untuk haiwan ini tidur berbaring kerana ianya akan menyukarkan mereka untuk berdiri semula apabila diserang haiwan pemangsa. Bagi zirafah yang masih muda pula, kebiasaannya mereka akan tidur secara duduk.

3. Kuda

kuda tidur 245

Secara puratanya, seekor kuda hanya tidur sekitar 2 jam sahaja dalam sehari. Sama seperti zirafah, kuda akan tidur beberapa kali dalam sehari dimana setiap sesi hanyalah sekitar 15 minit sahaja. Kuda berupaya untuk tidur dalam 2 posisi iaitu berdiri atau duduk dan kebiasaannya kuda yang lebih muda akan tidur lebih lama. 

Untuk memastikan dirinya selamat dari haiwan pemangsa, kuda biasanya akan tidur dalam kumpulan. Disebabkan inilah, kuda liar yang bersendirian kebiasaannya tidak akan tidur kerana khuatir akan keselamatan dirinya.

4. Gajah

gajah tidur

Saiz badan yang besar dan berat ternyata membataskan waktu tidur gajah. Haiwan ini hanya memerlukan tempoh tidur antara 3 hingga 4 jam sahaja sehari dan masa selebihnya digunakan untuk mencari makanan. 

Gajah kebiasaannya menghabiskan masa sehingga 18 jam sehari untuk makan memandangkan mereka memerlukan sekitar 90 hingga 270 kg makanan setiap hari. Gajah boleh tidur dalam keadaan berdiri atau bersandar pada pokok.

5. Burung Unta

burung unta

Kebiasaannya apabila tidur, mata kita akan berada dalam keadaan tertutup. Namun, perkara ini tidak berlaku bagi haiwan ini. Burung unta tidur dalam keadaan berdiri dengan matanya dalam keadaan terbuka.

Keadaan ini membolehkan badan dan otaknya untuk berehat tetapi pada masa yang sama berada dalam keadaan berjaga-jaga daripada serangan haiwan pemangsa. Namun, apabila berada dalam keadaan tidur nyenyak, haiwan ini akan membengkoknya lehernya ke bawah.

6. Rusa

rusa tidur

Rusa adalah satu lagi haiwan yang tidur dalam keadaan mata terbuka selain burung unta. Malah, haiwan ini juga hanya tidur dalam tempoh yang amat singkat pada satu-satu masa tidak kira siang atau malam. 

Waktu malam adalah waktu yang sangat kritikal bagi haiwan ini memandangkan ianya lebih berisiko diserang haiwan pemangsa yang kebanyakannya berburu pada waktu malam. Keadaan ini memaksanya untuk sentiasa berada dalam keadaan berjaga-jaga. 

7. Burung Alpine Swifts

alpine swift

Alpine Swifts adalah sejenis burung yang mendiami kawasan selatan Eropah hingga ke Himalaya. Haiwan ini menghabiskan kebanyakan masanya terbang dan bermigrasi ke kawasan selatan benua Afrika. Satu kajian yang dilakukan menunjukkan haiwan ini mampu terbang selama 200 hari, iaitu lebih 6 bulan ketika dalam tempoh migrasi ini. Jika diukur, jaraknya bersamaan 10,000 kilometer jauhnya.

Saintis masih mengkaji bagaimana haiwan ini mampu tidak tidur dalam tempoh yang panjang dan terdapat teori mengatakan burung ini mungkin mempunyai 2 bahagian otak seperti dolfin untuk membolehkannya berjaga dalam tempoh yang panjang.

Kredit:

  1. Phys.org
  2. World Atlas
  3. BBC
  4. Scientific American



Hakcipta iluminasi.com (2017)