Menghasilkan sesuatu karya filem bukanlah satu tugas yang mudah. Ianya satu bentuk pelaburan berisiko tinggi memandangkan perbelanjaan untuk menghasilkannya amatlah mahal dan mampu mencecah jutaan ringgit. Paling menakutkan, pelaburan besar ini belum tentu menjanjikan keuntungan.

Terdapat banyak faktor yang mampu mempengaruhi kejayaan dan kegagalan sesuatu filem yang ditayangkan antaranya jalan cerita, pemilihan pelakon, promosi dan sebagainya. Walaupun filem yang dihasilkan adalah untuk tujuan berkarya, seseorang penerbit dan produser filem sudah tentulah mahukan filem yang diterbitkan menjana keuntungan besar.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Namun, langit tidak selalunya cerah. Tidak semua filem yang ditayangkan mendapat keuntungan, ada yang mengalami kerugian besar. Kebanyakan filem ini adalah daripada Hollywood kerana bajet dan kos penghasilan filem di sana jauh lebih mahal daripada filem-filem tempatan.

Oleh kerana kerahsiaan sekitar kos dan margin keuntungan dalam industri filem, angka kerugian biasanya merupakan anggaran kasar yang terbaik. Selain itu, inflasi mata wang juga merupakan faktor yang mesti diambil kira. Kali ini, pihak Iluminasi ingin berkongsi 7 filem yang mencatatkan kerugian paling besar sepanjang zaman.

7. Sahara (2005)

filem terburuk hollywood

Jika dilihat pada pendapatan hasil tayangannya semata-mata, filem ini dilihat bagaikan sebuah filem yang berjaya. Filem ini memperoleh pendapatan kasar $119 juta dan menduduki tangga pertama carta Box Office Amerika Syarikat pada minggu pertama tayangannya dengan kutipan $18 juta.

Walau bagaimanapun, filem ini sebenarnya mencatat kerugian sebanyak $105 juta setelah membelanjakan $130 juta untuk pengeluaran dan $81.1 juta untuk pengedaran, menjadikannya salah satu filem paling mahal sepanjang zaman.

Filem ini dihasilkan berdasarkan buku terlaris yang ditulis oleh Clive Cussler. Filem ini juga menghadapi masalah undang-undang, menyaksikan Cussler dan produser Philip Anschutz terjebak dalam pergaduhan untuk hak dan kedua-duanya saling menyalahkan satu sama lain atas kegagalannya di pawagam.  

6. John Carter (2012)

john carter

John Carter adalah contoh sempurna bagaimana filem dengan anggaran yang besar menjadi pertaruhan besar bagi syarikat produksi. Filem fantasi fiksyen yang dibintangi oleh Taylor Kitsch sebagai pelakon utama, mempunyai anggaran kos pengeluaran dan pengiklanan yang mengejutkan sebanyak $350 juta.

Perubahan besar pendapatan Disney dari untung ke rugi pada suku fiskal kedua tahun 2012 majoritinya berpunca daripada filem John Carter ini dan keadaan ini menyebabkan Richard Ross (Ketua Studio Walt Disney) ketika itu mengundurkan diri.

Dengan kegagalan ini, Disney menjangkan dapat membuat kemunculan kembali dengan filem yang lebih baik pada tahun berikutnya (2013), namun nasib malang terus menimpa mereka dengan tayangan filem The Lone Ranger.

5. The Lone Ranger (2013)

the lone ranger

Setelah kegagalan filem John Carter pada 2012, ramai pihak menyangka bahawa pihak Disney akan mengembalikan keyakinan penonton dengan kehadiran filem ini. Dengan kos produksi sebanyak $225 juta dan kos pemasaran sebanyak $150 juta, filem ini dijangka memperoleh sekitar $650 juta hasil tayangannya seluruh dunia.

Malangnya, filem ini hanya menjana sekitar $260.5 juta walaupun dibarisi oleh nama-nama hebat seperti Johnny Depp dan Armie Hammer.

Filem ini terpaksa bersaing dengan Despicable Me 2 minggu pembukaan tayangannya tetapi The Lone Ranger hanya menjana 1 per 3 jumlah pendapatan Despicable Me 2 dan mempunyai kos tiga kali lebih besar daripada komedi animasi tersebut.

4. Mars Needs Moms (2011)

mars needs moms

Walaupun banyak filem animasi komedi yang mencapai kejayaan membanggakan sejak beberapa tahun kebelakangan ini, filem ini bukanlah salah satu daripadanya.

Syarikat Walt Disney membelanjakan anggaran $150 juta untuk menghasilkan filem tetapi hanya menjana hanya $49 juta di box office, menjadikannya filem box office terbesar keempat paling rugi dalam sejarah (setelah diambil kira kadar inflasi).

Dikatakan bahawa sebahagian daripada sebab ia gagal adalah kerana subjek filem ini iaitu mengenai seorang ibu diculik daripada anak. Selain itu, filem ini juga dikritik kerana gambaran manusia animasinya terlalu realistik dan kebanyakan penonton kanak-kanak mendapatinya menyeramkan.

3. Cutthroat Island (1995)

cutthroat island

Filem ini begitu teruk sehingga menyebabkan pihak produksi Carolco Pictures mengalami masalah besar selama beberapa tahun dan hanya muncul kembali pada tahun 2015 dengan filem baru.

Filem ini daripada awal lagi semenangnya mempunyai banyak masalah dalaman antaranya skrip yang diubah beberapa kali sehingga memaksa pelakon melakonkan semula babak mereka dan juga beberapa orang krew yang berhenti tanda protes setelah ketua jurukameranya dipecat.

Anggaran asal kosnya sekitar $65 juta tetapi meningkat kepada $115 juta dengan pengarahnya Renny Harlin terpaksa menambah $1 juta daripada poket sendiri bagi memastikan sesi penggambaran dapat dihabiskan. Filem ini hanya memperoleh $10 juta daripada tayangannya.

2. 47 Ronin (2013)

47 ronin

Filem 47 Ronin yang dibintangi oleh Keanu Reeves dan Hiroyuki Sanada adalah filem aksi samurai mengenai kehidupan sebenar sekumpulan samurai di abad ke-18 di Jepun. Filem ini menjejaskan reputasi Universal Studios dengan begitu teruk dan kerugiannya setelah disesuaikan dengan inflasi, adalah sekitar $ 152 juta, menjadikannya kegagalan box office kedua paling mahal (di belakang The 13th Warrior).

Filem ini mempunyai anggaran kos produksi $225 juta dan menjana $151 juta hasil tayangannya. Filem ini diterima dengan buruk terutamanya di Jepun di mana penonton menetapkan harapannya tinggi memandangkan ianya berlatarbelakangkan kehidupan pada zaman Jepun purba.

Selain daripada harapan yang terlalu tinggi terhadap filem ini, ianya juga ditayangkan pada waktu yang kurang sesuai ketika musim Hari Natal dimana banyak filem baru turut ditayangkan pada masa yang sama.

1. The 13th Warrior (1999)

filem paling rugi hollywood

Filem The 13th Warrior yang dihasilkan berdasarkan novel Eaters of the Dead oleh Michael Crichton ini terkenal dengan kegagalannya yang besar di box office pada tahun 1999. Anggaran kos awalnya sekitar $85 juta, tetapi beberapa penggambaran semula bersama dengan perbelanjaan promosi menyaksikan kos produksinya mencecah sebanyak $160 juta.

Filem ini hanya menjana $61.7 juta di box office, menjadikan kerugiannya sekitar $70- $130 juta. Selain kos produksi yang melebihi anggaran awalnya, filem ini juga  terkesan teruk kerana bersaing dengan filem hebat The Sixth Sense.

Persembahan filem itu begitu teruk sehingga pelakon utamanya, Omar Sharif mengambil keputusan bersara selama 10 tahun  dengan menyatakan bahawa filem ini benar-benar teruk sehingga mencalarkan imejnya.

Kredit:

  1. Goliat



Hakcipta iluminasi.com (2017)