Otak boleh dikatakan organ paling penting dalam tubuh manusia. Ia bukan sahaja mengawal organ lain seperti mengekalkan jantung anda berdegup dan paru-paru anda bernafas sepanjang masa tetapi ia juga merupakan repositori penting yang menjadikan anda seorang manusia. Semua fikiran, perasaan dan kenangan anda berlaku disebabkan otak.

Oleh itu, adalah penting untuk memastikan organ paling penting ini sentiasa sihat. Salah satu cara menjaga otak adalah dengan pemakanan yang betul. Bahkan, pemakanan sihat juga melambatkan kadar penuaan dan mengurangkan risiko mengalami gangguan mental.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Berlawanan dengan pemanakan sihat, terdapat juga makanan yang mampu melemahkan otak anda. Jika anda mengambil diet tidak sihat secara berterusan, anda mungkin akan mengalami kekeliruan, keresahan, angin yang tidak baik dan reaksi yang lebih perlahan. 

Pada dasarnya, diet tidak sihat akan membuatkan otak anda lebih tertekan dan sukar untuk membuat keputusan yang baik. Jika anda ingin meningkatkan kesihatan otak anda, jauhilah 7 makanan yang paling memberi kesan buruk terhadap otak anda ini.

1. Lemak Trans

lemak trans bahaya untuk otak

Berita baiknya ialah tidak semua lemak adalah buruk bagi anda. Namun, sejenis lemak yang dikenali sebagai lemak trans mempunyai kesan buruk pada otak.

Lemak trans adalah sejenis asid lemak tidak tepu yang terdapat secara semula jadi dalam produk haiwan termasuk daging dan tenusu. Akan tetapi, ia tidaklah seburuk lemak trans yang dihasilkan industri makanan untuk digunakan dalam pelbagai jenis makanan yang dipek.

Lemak trans yang juga dikenali sebagai minyak hidrogenasi ini banyak digunakan untuk menghasilkan marjerin, makanan dibakar seperti roti, kerepek, makanan sejuk beku dan makanan dalam tin.

Mereka yang mengambil lemak trans berlebihan berisiko tinggi untuk terkena penyakit Alzheimer dan nyanyuk. Kajian menunjukkan juga bahawa penggunaan lemak trans yang tinggi membawa kepada kemerosotan kognitif lebih awal, jumlah sel otak yang rendah dan lemah daya ingatan. (sumber)

2. Minuman manis

minuman bergula

Minuman manis seperti air berkabonat, minuman sukan, minuman tenaga dan mana-mana minuman bergula tinggi yang lain hampir tidak mempunyai nilai pemakanan.

Pengambilan minuman bergula secara kerap boleh membawa kepada gangguan fizikal seperti diabetes, tekanan darah tinggi, kolesterol tinggi, Alzheimer atau nyanyuk.

Selain itu, pengambilan fruktosa (pemanis dalam kebanyakan minuman) yang tinggi juga terbukti boleh mengurangkan keupayaan pembelajaran, ingatan, fungsi otak secara keseluruhan dan pembentukan neuron baru. Ia juga boleh menyebabkan radang pada otak. (sumber)

3. Karbohidrat halus

karbohidrat yang diperhalusi bahaya untuk otak

Karbohidrat halus sebenarnya adalah produk bijirin yang diproses seperti tepung putih, roti putih, nasi putih, pastri, soda, makanan ringan, pasta, bijirin sarapan pagi dan banyak lagi. Ia tidak semestinya rasa manis tetapi akan bertukar menjadi gula dalam badan dengan cepat.

Ini kerana proses menghalusi bijirin ini akan menghilangkan semua serat dan nutrisi daripada bijirin asal. Makanan yang kaya dengan karbohidrat halus ini merupakan beban glisemik yang tinggi dan akan merangsang gula dalam darah anda.

Karbohidrat halus ini memberi kesan yang sama seperti anda mengambil gula seperti gangguan ingatan, radang dan risiko tinggi untuk mengalami demensia. Kajian menunjukkan bahawa kanak-kanak yang mengambil karbohidrat halus dalam jumlah tinggi agak lemah dalam ujian kecerdasan nonverbal.

Bagi warga emas yang mengambil karbohidrat halus sebanyak 58% dalam kalori harian akan mempunyai dua kali ganda risiko kecacatan mental dan nyanyuk berbanding mereka yang makan lebih banyak buah-buahan dan sayur-sayuran. (sumber)

4. Makanan yang Diproses dan Dipek

makanan yang diproses dan dipek bahaya untuk otak

Makanan yang diproses atau dipek biasanya kehilangan nutrisi penting secara keseluruhan dan digantikan dengan gula, lemak dan garam. Makanan seperti ini semakin popular di kalangan orang yang sibuk bekerja kerana ia mudah dan cepat disediakan berbanding makanan yang dimasak.

Walau bagaimanapun, adalah penting untuk memasak makanan yang penuh dengan nutrisi sekerap yang anda boleh kerana makanan yang diproses atau "Diet Barat" ini terkenal kerana menyebabkan pengumpulan lemak di sekeliling organ-organ penting.

Ia juga sering dikaitkan dengan kerosakan pada tisu dan mengurangkan sel-sel otak. Selain itu ia boleh menyebabkan gangguan pada sawar darah otak atau BBB (blood brain barrier), membran yang bertanggungjawab melindungi otak daripada bahan berbahaya. (sumber)

5. Alkohol

alkohol bahaya untuk otak

Tidaklah begitu mengejutkan bahawa alkohol adalah salah satu diet yang boleh merosakkan otak. Ini kerana ramai yang melakukan perkara bodoh apabila di bawah pengaruh alkohol. Mengambil alkohol secara berlebihan untuk jangka panjang boleh menyebabkan kerosakan kekal pada otak.

Ini kerana pengambilan alkohol yang kronik boleh mengecutkan otak dan mengganggu neurotransmiter yang digunakan otak untuk berkomunikasi. Alkohol juga akan mengakibatkan kekurangan vitamin B1 yang boleh menjurus kepada perkembangan sindrom Korsakoff.

Sindrom ini bertanggungjawab terhadap kerosakan teruk pada otak yang menyebabkan masalah seperti hilang ingatan, kekeliruan, tidak stabil, dan masalah penglihatan. (sumber)

6. Ikan yang tinggi kandungan merkuri

ikan tinggi merkuri bahaya untuk otak

Secara umumnya ikan adalah diet tambahan yang sihat untuk anda. Ia rendah lemak tepu dan mengandungi asid lemak omega-3 yang sihat serta vitamin B12, zink, besi dan magnesium.

Walau bagaimanapun, sesetengah ikan mempunyai kandungan merkuri yang sangat tinggi iaitu bahan tercemar logam berat dan racun neurologi. Merkuri akan berada dalam tisu haiwan dan manusia untuk jangka masa yang lama.

Ikan yang merupakan pemangsa dan hidup lebih lama cenderung untuk mempunyai konsentrasi merkuri yang tinggi dalam daging mereka. Ini kerana selagi mereka hidup, mereka akan memakan ikan lain yang mengandungi paras merkuri yang lebih rendah.

Adalah lebih baik untuk mengelak atau mengehadkan daripada makan ikan tuna, todak, tenggiri, yu, tilefish dan beberapa lagi jenis ikan yang mengandungi kandungan merkuri yang tinggi untuk mencegah gangguan neurotransmiter otak anda. (sumber)

7. Aspartame

gula gantian bahaya untuk otak

Penggunaan gula berlebihan memang memudaratkan badan dan otak anda tetapi menggantikan gula dengan pemanis buatan tidaklah begitu selamat, terutamanya aspartame.

Walaupun pengeluar gula gantian ini mendakwa bahawa gula ini selamat digunakan, beberapa kajian telah menghubungkan aspartame dengan masalah tingkah laku dan kebolehan kognitif. Ia boleh menyebabkan kesan buruk terhadap keupayaan untuk belajar dan mengawal emosi.

Dalam satu kajian yang dilakukan, hanya 8 hari diet yang melibatkan penggunaan aspartam yang tinggi boleh menyebabkan peserta mendapat markah rendah dalam ujian mental. Peserta juga mudah berasa marah dan tertekan.

Kajian lain pula mendedahkan bahawa orang yang germar meminum minuman ringan diet seperti diet coke yang menggunakan pemanis buatan mempunyai peningkatan risiko demensia atau strok. (sumber)




Hakcipta iluminasi.com (2017)