mitos mengenai diet turunkan berat badan

Mendapatkan bentuk dan berat badan yang ideal adalah impian setiap orang. Hari ini terdapat terlalu banyak pakar pemakanan dan senaman sehinggakan kita tak tahu mana satu yang patut dipercayai lagi.

Ada yang mengatakan anda perlu makan hidangan yang kecil lebih kerap untuk kurangkan berat badan. Ada pula yang mengatakan anda perlu makan sarapan dengan banyak dan kurangkan makan malam.

Bagi mereka yang tak tahu, ini sangat mengelirukan dan membuatkan mereka akhirnya berputus asa.

iluminasi.com kongsikan 9 mitos tentang penurunan berat badan yang ramai masih percaya hingga hari ini, bagi memudahkan anda membuatkan keputusan dengan lebih mudah dalam menuruntkan berat badan anda.

1. Diet kurang karbohidrat adalah satu-satunya cara untuk turunkan berat badan

diet rendah karbohidrat bukanlah satu satunya cara untuk kuruskan badan

Diet rendah karbohidrat adalah teknik pengurangan berat badan yang sangat efektif, namun ia mempunyai pelbagai keburukan dalam jangka masa panjang. 

Salah satu mengapa diet ini tersangat popular adalah anda akan dapat melihat hasil yang sangat cepat kerana penurunan berat air.

Malangnya, sesetengah orang mengalami kekurangan tenaga mereka apabila mengambil karbohidrat terlalu rendah dalam diet.

Ramai orang terlalu fokus terhadap diet rendah karbohidrat tetapi tidak langsung mengambil tahu tentang pengambilan lemak dan minyak seharian.

Ingat, diet rendah karbohidrat bukanlah satu-satunya cara untuk turunkan berat badan, sebaliknya banyak lagi cara termasuklah diet rendah lemak.

2. Anda tak boleh makan selepas jam 6 petang

tak boleh makan selepas jam 6 petang

Pasti ramai yang pernah terdengar ayat, "Sarapan seperti seorang raja, makan tengahari seperti seorang putera dan makan makan seperti pengemis", menerangkan bagaimana kita harus makan dalam sehari.

Dan ramai juga yang mempercayai mitos bahawa anda tak sepatutnya makan apa-apa selepas pukul 6 petang.

Kajian terbaru menunjukkan bahawa waktu makan anda tidak penting, sebaliknya jumlah pengambilan kalori dalam sehari adalah lebih penting. 

Jadi, perkara yang lebih penting adalah untuk membakar lebih banyak kalori untuk menurukan berat badan.

Mitos ini wujud kerana beranggapan kebanyakan orang tidur pukul 10 malam, dan anda sepatutnya tidak makan 4 jam sebelum tidur kerana karbohidrat yang dimakan biasanya tidak akan digunakan dan ditukarkan menjadi lemak.

Tetapi jika anda mempunyai gaya hidup yang aktif, sebagai contoh anda biasanya bermain futsal atau badminton pada jam 9 malam dan tidur pada jam 11 malam, maka makan pada jam 6 hingga 8 malam tidak menjadi masalah.

3. Makan hidangan kecil lebih kerap sepanjang hari

makan dalam hidangan yang kecil dengan kerap

Makan hidangan yang kecil dengan kekerapan yang tinggi untuk meningkatkan metabolisma dan membantu menurunkan berat badan juga adalah satu mitos.

Malah, kajian yang dilakukan membuktikan bahawa individu yang makan lebih daripada 3 kali mempunyai berat yang lebih tinggi daripada mereka yang tidak kerap makan.

Juga, mereka yang makan 5 hingga 6 hidangan sehari lebih cenderung untuk terlebih makan.

4. Lebih lama anda bersenam, lebih cepat dan baik hasilnya

bersenam lebih lama dapat hasil yang lebih baik

Apabila bercakap mengenai gimnasium dan senaman, apa yang penting adalah kualiti senaman dan bukannya tempoh senaman.

Anda boleh habiskan masa 4 jam di dalam gimnasium setiap hari, tetapi tak akan nampak hasil jika anda tak tahu apa yang anda buat sebenarnya.

Tempoh yang disyorkan untuk bersenam adalah di antara 30 hingga 60 minit, dengan syarat anda benar-benar bersenam ke tahap maksimum.

5. Tempoh anabolik

makan selepas bersenam

Tempoh anabolik adalah tempoh 30 minit selepas senaman di mana pengambilan nutrisi seperti protein boleh meningkatkan hasil senaman anda.

Walaubagaimanapun, terdapat kekurangan bukti santifik yang membuktikan bahawa tempoh anabolik ini sebenarnya wujud.

Kajian menyatakan bahawa terdapat keraguan terhadap hubungan antara nutrisi yang diambil betul-betul selepas senaman dengan hasil senaman yang lebih baik.

6. Lemak membuatkan anda gemuk

lemak baik

Setiap 1 gram lemak, terkandung 9 kalori manakala setiap 1 gram protein mengandungi 4 kalori. Makan makanan yang berlemak menyumbang kepada kalori yang tinggi dan menggemukkan, oleh anda perlu berhati-hati dengan makanan tinggi lemak.

Namun, ia tak bermaksud anda perlu membuang lemak 100% daripada diet anda. Untuk menurunkan berat, kira pengambilan kalori yang anda harus ambil untuk sehari dan imbangkan di antara pengambilan protein, karbohidrat dan lemak.

Malah, untuk buang lemak, anda perlu makan lemak, iaitu lemak yang baik seperti lemak tak tepu. Contoh makanan yang mengandungi lemak baik ini adalah buah alpukat, ikan salmon, kacang badam, minyak zaitun dan banyak lagi.

7. Berat badan anda akan bertambah apabila usia semakin meningkat

usia bukan penghalang untuk kekal sihat dan tampan

Berat badan anda tak akan meningkat dengan berlebihan apabila umur anda semakin meningkat jika anda mengekalkan gaya hidup yang sihat.

Jika anda sering bersenam dan makan secara sihat sepanjang anda ketika muda, anda tak akan mengalami masalah berat badan ketika berusia 50 atau 70 tahun.

Kunci untuk kekal sihat dengan berat badan sesuai adalah senaman sepanjang hayat. Ya, anda harus bersenam secara konsisten dan bukannya hanya untuk bentuk badan yang menarik sahaja.

Ramai orang mengatakan "usia tua" adalah penyebab mengapa mereka mengalami masalah berat badan, tetapi itu hanyalah alasan mereka yang malas.

8. Senaman anda berkesan hanya jika anda berasa sakit

berasa sakit selepas bersenam

Ramai orang yang masih percaya bahawa senaman yang berkesan adalah apabila anda tak boleh menggerakkan tubuh badan keesokan harinya, yang mana adalah tidak benar.

Anda akan berasa sakit selepas senaman apabila anda menggunakan otot-otot yang anda tak senam sebelum ini ataupun bersenam dengan berat beban yang lebih daripada biasa.

Terdapat pelbagai faktor yang menyumbang kepada rasa sakit ini malah mereka yang profesional mengalami rasa yang berbeza-beza selepas bersenam.

Jadi, jika anda tak berasa sakit tak bermakna senaman anda itu tidak berkesan.

9. Melakukan regangan badan sebelum senaman

melakukan regangan sebelum bersenam

Sejak dari sekolah rendah, kita diajar untuk meregangkan badan sebelum bersenam untuk membuatkan badan kita lebih bersedia. Namun, regangan badan sepatutnya dilakukan selepas senaman.

Kajian mendedahkan bahawa mereka yang tidak melakukan regangan badan mampu untuk melakukan senaman "squat" dengan berat 8.36% lebih daripada mereka yang meregangkan badan.

Regangan patut dilakukan selepas bersenam untuk merehatkan otot-otot yang digunakan. Apa yang sebenarnya patut dilakukan adalah memanaskan badan dengan melakukan senaman kecil yang melibatkan pergerakan seperti melompat dan sebagainya.


tags : , , , , , ,




Hakcipta iluminasi.com (2017)