Seandainya anda di tanya apa kesan jangkitan Covid-19 pada manusia - besar kemungkinan ramai yang akan menjawab bagaimana jangkitan itu menyebabkan masalah pernafasan yang kritikal disebabkan oleh paru-paru yang tersumbat.
Kesimpulan itu dibuat berdasarkan kepada ilmu pengetahuan yang sudah kita temui, apabila dibandingkan dengan kes-kes jangkitan coronavirus sebelum itu. Masalah pada paru-paru, demam, batuk kering - semua itu adalah simptom yang kita ketahui akan berlaku.
BESARKAN TEKS A- A+
Malang bagi manusia, beberapa penemuan baru menunjukkan virus SARS-CoV-2 yang menyerang diketahui hanya mampu menyerang paru-paru serta saluran perkumuhan, mempunyai kemampuan untuk turut sama menyerang bahagian paling penting tubuh kita - otak kita. Benarkah dakwaan ini?
Kajian terawal SARS-CoV-2 mampu menyerang otak
Dalam kajian antara paling awal yang dijalankan daripada 16 Januari hingga 19 Februari 2020 terhadap pesakit Covid-19 (ketika itu masih bergelar virus NCoV-2019), melibatkan 213 orang pesakit di Union Hospital of Huazhong di Wuhan.
Kajian yang dilakukan penyelidik mendapati wujud simptom-simptom serangan turut berlaku ke atas sistem neurologi pesakit yang merangkumi otak dan sistem saraf.
Antara faktor yang menjadi penentu tahap serangan ke atas otak dan saraf adalah usia, dengan 41.1% pesakit mengalami masalah jangkitan berbahaya di sistem neurologi mereka, sementara 58.9% selebihnya menunjukkan tahap serangan tidak berbahaya.
Selepas satu kajian berbeza dijalankan serta dilaporkan pada 27 Februari 2020 menyokong kajian lebih awal yang dijalankan di Wuhan, hipotesis tentang wujudnya risiko serangan virus SARS-CoV-2 kepada otak dan saraf - mula dikaji dengan lebih mendalam.
Sokongan pada teori awal jangkitan otak
Berdasarkan kajian terhadap SARS-CoV-2 serta dua virus miripnya sebelum ini, SARS-CoV dan MERS-CoV kita semua tahu keupayaannya untuk menyerang paru-paru manusia, menampakkan kesan yang serupa pada pesakit.
Selain itu, apa yang kita tahu berkenaan sifat-sifat coronavirus seperti SARS-CoV dan MERS-CoV adalah kemungkinan untuk berlakunya jangkitan virus pada sistem saraf tunjang sehingga menyebabkan masalah pada sistem neurologi seorang pesakit. Pada ketika ini, majoriti penyelidik menggunakan petunjuk bahawa jangkitan virus pada paru-paru merupakan punca utama jangkitan dan masalah pernafasan berlaku.
Kajian kedua yang menyokong kajian lebih awal di Wuhan cuba menemukan bukti bahawa masalah pernafasan yang berlaku, bukan sahaja disebabkan jangkitan virus pada paru-paru - tetapi turut sama disebabkan oleh jangkitan yang berlaku pada sistem saraf manusia.
Pandangan ini selari dengan kes melibatkan SARS pasa tahun 2003 yang menemui kesan jangkitan virus pada bahagian otak, khasnya pada bahagian batang otak (brain stem). Apa yang tidak diketahui sehingga kini adalah bagaimana jangkitan boleh tiba ke otak.
Terdapat dua teori bagaimana jangkitan sampai ke bahagian itu - sama ada melalui saluran darah (sistem hematogenik)atau saluran limfatik dalam badan, yang menjadi saluran utama dipanggil cecair limfa bertanggungjawab membekal sel darah putih bagi tubuh kita melawan jangkitan.
Berdasarkan pemerhatian yang dijalankan kepada pesakit-pesakit di Wuhan - ada kemungkinan SARS-CoV-2 juga mempunyai kemampuan serupa seperti 'abangnya.'
Pesakit hilang keupayaan mental
Sebuah laporan yang diterbitkan pada 31 Mac 2020 menceritakan tentang seorang wanita pekerja syarikat penerbangan di Amerika Syarikat, berusia lewat 50-an yang mengalami demam panas, batuk serta separa sedar seakan hilang kawalan minda.
Selepas disahkan menghidap Covid-19 berdasarkan kepada ujian saringan yang dijalankan, penyelidik menjalankan kajian ke atas wanita itu bagi mengenalpasti apa yang menyebabkan perubahan mental beliau berlaku.
Beberapa imbasan ke atas organ otak wanita itu mendapati berlaku jangkitan yang dikenali sebagai 'acute necrotizing hemorrhagic encephalopathy' atau 'sindrom akut pereputan otak berdarah' (terjemahan tidak rasmi kami) yang jarang berlaku, disebabkan oleh jangkitan virus.
Jangkitan pada bahagian otak itu menyebabkan pendarahan dalaman pada bahagian otak wanita tersebut. Dalam satu kes lain, seorang warga tua berusia 74 tahun hilang keupayaan untuk bercakap selepas dijangkiti Covid-19.
Kes-kes yang terpencil tetapi semakin kerap dilaporkan menunjukkan adanya risiko jangkitan Covid-19 bukan sekadar pada masalah pernafasan semata-mata, sebaliknya turut sama berkemungkinan menjangkiti otak dan saraf.
Berikutan pertambahan kes-kes jangkitan pada otak dan saraf, pihak penyelidik menasihatkan agar semua pihak yang bertugas merawat pesakit Covid-19 untuk turut sama memeriksa tahap kesihatan mental pesakit, bagi membolehkan sebarang bentuk jangkitan pada otak dapat dikenalpasti lebih awal.
Sifat jangkitan Covid-19 yang licik
Dalam tempoh 5 ke 6 bulan wabak Covid-19 melanda, masih terlalu banyak perkara tentang virus penyebabnya belum kita dapat kenalpasti. Walaupun mempunyai ciri-ciri yang serupa dengan SARS-CoV-1 sebelumnya, SARS-CoV-2 dikatakan lebih licik cara jangkitannya.
Beberapa kes yang berlaku didapati mempunyai kaedah jangkitan yang berbeza, di mana virus akan menginap dahulu di bahagian atas saluran pernafasan, menjalankan inkubasi di bahagian tekak tanpa pesakit menampakkan sebarang simptom jangkitan.
Apabila badan mula melawan, virus itu akan berpindah ke bahagian paru-paru dan perut, majoritinya di paru-paru disebabkan oleh kehadiran reseptor yang digemari SARS-CoV-2 di situ.
Ini semua adalah perkara yang secara amnya kita sudah berjaya kenal pasti. Apa yang belum dapat kita ketahui secara tepat adalah kadar jangkitannya pada reseptor-reseptor serupa yang ada pada pembuluh darah dan bahagian pangkal saraf.
Dua bahagian ini diramalkan menjadi pintu utama virus penyebab Covid-19 menyebabkan jangkitan di otak. Bagaimanapun harus diingatkan, setakat ini semua ini hanyalah hipotesis yang belum dapat diperjelaskan secara terperinci.
Kes kerosakan otak pertama diramalkan berpunca daripada jangkitan Covid-19 baru dilaporkan. Kita belum ada bukti kukuh mampu mengaitkan kedua-duanya, tetapi tak salah kalau pakar perubatan kita sentiasa berjaga-jaga. Ada pihak melaporkan daripada 3 orang pesakit Covid-19, seorang mesti akan mengalami masalah ketara pada tahap mentalnya.
Rujukan
Brain Affected in 1 in 3 Cases of Severe COVID-19
First Case Report of Acute Necrotizing Encephalopathy Associated with COVID-19