Sebahagian manusia biasanya menganggap minuman alkohol atau arak sebagai bantuan untuk bersosial dengan rakan, keluarga mahupun orang yang tidak dikenali.

Jika anda terlihat seseorang mabuk, anda tahu bahawa alkohol jelas dapat mengubah tingkah laku manusia dengan pelbagai cara.

Persoalannya, bagaimanakah ini berlaku dan apa yang berlaku kepada otak kita untuk mencapai kesan ini?

Untuk lebih memahami kesan alkohol, kita perlu tahu terlebih dahulu bagaimana sel-sel otak kita berkomunikasi.

Hubungan dalam otak manusia

BESARKAN TEKS     A-  A+

Otak manusia hanyalah sebilangan besar sel saraf yang saling berkomunikasi atau dengan kata mudah, "bercakap" antara satu sama lain melalui isyarat elektrik.

Selain itu, terdapat utusan kimia yang dipanggil sebagai "neurotransmitter" atau pemancar neuro di dalam otak.

Setiap neuron menyimpan bahan-bahan kimia ini dalam vesikel kecil berhampiran hujung ekornya dan mengeluarkan "beg" kimia ini ketika mengirimkan isyarat ke sel berikutnya.

Bahan kimia ini kemudian pergi dan mengikat ke sel neuron seterusnya, sama ada menghantar isyarat atau tidak.

Neurotransmitter ini mempunyai tindakan khusus ketika mengikat protein yang disebut "reseptor" dalam sel saraf, sama seperti bagaimana kunci masuk ke dalam mangga.

substantia nigra

("Substantia nigra")

Neurotransmitter boleh mengirim isyarat yang dapat "menyeronokkan" (perangsang) atau membuatkan sel saraf "tertekan" (perencatan), atau menghalang sel saraf daripada menghantar isyarat.

Contoh baik bagi bahan kimia "menyeronokkan" ini adalah glutamat, manakala GABA (asid Gamma-aminobutyric) adalah neurokimia "penghalang".

Beberapa bahagian otak adalah spesifik dalam pemilihan neurotransmitter sebagai contoh, sel-sel di kawasan yang disebut "substantia nigra" menggunakan dopamin untuk memberi isyarat.

Oleh itu, substantia nigra ini dikenali sebagai neuron "dopaminergik".

Bahagian otak yang lain mempunyai campuran sel yang menggunakan pelbagai jenis neurotransmitter.

Mekanisme tindakan alkohol dalam otak

Apabila kita minum minuman beralkohol, ia masuk ke saluran darah selepas beberapa ketika dan kemudiannya sampai ke otak ketika darah beredar ke seluruh badan.

Dalam otak, ia mengikat kepada pelbagai reseptor neurotransmitter, yang membawa kepada pelbagai kesan.

Ia lebih cenderung mengikat reseptor GABA, sejenis neurotransmitter penghalang dan mengurangkan tindak balas sel saraf.

Jenis pengurangan keseluruhan aktiviti otak ini disebut sebagai "depresi sistem saraf pusat (CNS)".

Selain itu, alkohol juga menyebabkan berlakunya proses penghalangan ini di saraf tunjang dan bahagian bawah otak, yang disebut batang otak. Ini berlaku dengan mengganggu reseptor neurotransmitter yang disebut "glisin".

Kesemua tindak balas dalam otak ini membawa kepada keadaan "santai" secara keseluruhan.

Pergerakan otot seseorang menjadi perlahan, anak mata dalam keadaan rehat, pernafasan menjadi perlahan dan mungkin berlaku kekeliruan dan pening.

Daripada kesemua kesan ini, yang paling ketara adalah penurunan perencatan sosial, yang membolehkan seseorang itu berkelakuan luar biasa daripada apa yang dilakukan ketika sedar.

Malah, alkohol juga mengurangkan tindakan neuron rangsangan sekaligus mewujudkan kesan penenang.

Alkohol bertindak terhadap cerebellum atau otak kecil, bahagian otak yang bertanggung jawab dalam mengendalikan pergerakan, menjaga keseimbangan, serta mengatur posisi dan koordinasi gerakan tubuh manusia.

Ini sekaligus mengurangkan keupayaan untuk mengkoordinasikan pergerakan otot semasa berjalan, bercakap dan lain-lain. Ini terbukti apabila seseorang yang mabuk sering kali jalan terhuyung-hayang, tidak dapat memandu dengan baik serta bercakap perkara bukan-bukan.

Kesan jangka pendek dan jangka panjang 

Seperti yang dijelaskan di atas, pengambilan alkohol mengganggu neurotransmitter di dalam otak dan mempengaruhi interaksi neurotransmitter dengan sel otak.

Alkohol dilaporkan mempunyai beberapa kesan merosakkan pada otak, baik dalam jangka pendek mahupung jangka panjang. 

Kajian menunjukkan bahawa pengambilan alkohol walaupun dalam jangka masa pendek, dapat memberi kesan kepada ingatan dengan mengganggu dan merosakkan mekanisme pembentukan memori, yang terjadi di kawasan otak berbentuk seperti kuda laut yang disebut "hippocampus".

Dalam keadaan normal, otak manusia mengekalkan keseimbangan yang baik antara bahan kimia perangsang dan perencat. Apabila kita minum alkohol, keseimbangan ini terganggu sekaligus menghasilkan lebih banyak isyarat kimia perencatan secara keseluruhan.

Walau bagaimanapun, dalam kes pengambilan alkohol jangka pendek, keseimbangan ini akan dipulihkan selepas beberapa ketika dan kesannya biasanya boleh diterbalikkan.

Bagi pengambilan alkohol jangka panjang, keseimbangan ini boleh rosak secara kekal, yang boleh menyebabkan "toleransi".

Dalam kes sedemikian, individu menjadi kurang responsif terhadap sejumlah kecil alkohol dari masa ke masa, sekaligus membuatkan mereka sering mengambil alkohol dalam jumlah yang lebih banyak untuk merasa kesan alkohol tersebut.

kesan pengambilan alkohol tegar terhadap otak remaja

Imej di atas adala imbasan MRI kefungsian (fMRI) dua remaja semasa mereka menjalani ujian memori.

Imej tesebut menunjukkan bahawa remaja peminum alkohol tegar tidak menggunakan kawasan otak yang biasanya digunakan untuk menyelesaikan ujian ingatan, sementara yang tidak minum alkohol mengunakannya.

Penyelidik mencadangkan bahawa di sekolah, peminum alkohol tegar mungkin tidak mengaktifkan kawasan otak yang diperlukan untuk mengingati pelajaran.

Ketagihan alkohol

Alkohol boleh memberikan banyak kesan jangka pendek yang disalah anggap sebagai bermanfaat, yang kemudian boleh menggalakkan mereka mengambil alkohol dengan lebih kerap.

Bagi mereka yang mengambil alkohol untuk jangka panjang, berhenti daripada minum arak boleh menyebabkan ketidakselesaan atau "withdrawal".

Ketidakselesaan ini hilang serta-merta apabila mereka yang ketagihan alkohol meminum arak.

Ini dilihatkan sebagai satu kitaran yang tersangat bahaya dan memudaratkan, yang menyebabkan penagih alkohol meminum alkohol dengan lebih kerap.

Alkohol menyebabkan ketagihan melalui mekanisme kompleks yang melibatkan pelbagai neurotransmitter di otak.

Salah satu contohnya adalah dopamin, yang memberi isyarat dan membantu kita berasa seperti mendapat "ganjaran" sebagai tindak balas terhadap sesuatu tindakan. 

Manusia cenderung mengulangi tindakan memberikan ganjaran dan oleh itu, ketagihan boleh berlaku dengan mudah dengan mengubah tindakan dopamin di otak.

Rujukan:

1. National Institute on Alcohol Abuse and Alcoholism

2. Northwestern Medicine

3. Sciencea

4. Hazelden Betty Ford Foundation




Hakcipta iluminasi.com (2017)